Siakap Keli

18 Kes Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut Dikesan Di Sabah

18 kes penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD) dikesan berlaku di Kampung Kiau, Kota Belud sejak 11 Julai lepas menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Daripada jumlah tersebut, 9 kes melibatkan kanak-kanak pra sekolah dari Sekolah Kebangsaan Kiau.

“Hanya pra sekolah  sahaja yang diarah tutup kerana terdapat kanak-kanak yang dijangkiti HFMD setakat ini. Penutupan itu dibuat untuk membolehkan premis  dibersihkan dan rangkaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Maimunah Suhaibul berkata setakat ini hanya sebuah pra sekolah di Sabah ditutup sementara susulan penularan HFMD, iaitu  pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Kiau, Kota Belud, yang ditutup selama 10 hari sejak 11 Julai lepas.

HFMD adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada virus mudah berjangkit terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). HFMD boleh merebak menerusi air liur, cecair luka dan najis.

Antara tanda-tanda penyakit HFMD adalah demam, ruam dan bintik-bintik di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah, selain jangkitan pada saluran pernafasan atas dan sesak nafas.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.