Siakap Keli
Gambar : Weibo

Gara-gara Asap Vape, Pesawat ‘Jatuh’ 10,000 Kaki

Penumpang pesawat Air China berdepan detik mencemaskan selepas pesawat tersebut ‘terjatuh’ 10,000 kaki gara-gara asap vape.

Insiden itu berlaku selepas pembantu juruterbang dipercayai menggunakan rokok elektronik di dalam kokpit.

Difahamkan, anak kapal terpaksa melakukan prosedur bantuan kecemasan selepas tahap oksigen di dalam kabin menurun menyebabkan topeng oksigen juga turut terkeluar secara automatik.

Gambar : Weibo

Namun, mereka bernasib baik apabila pesawat kemudiannya berjaya naik semula untuk meneruskan destinasi penerbangan.

Menurut China News, tahap oksigen yang menurun itu dikaitkan dengan penggunaan vape di dalam pesawat.

Gambar : Weibo

Sebelumnya, peraturan penerbangan China telah melarang penumpang daripada menggunakan rokok eletronik dalam penerbangan pada tahun 2006.

Menurut siasatan, dipercayai asap vape tersebar ke dalam kabin penumpang dan komponen penghawa dingin dimatikan tanpa memaklumkan kepada kapten menyebabkan kekurangan oksigen.

China News melaporkan pembantu juruterbang itu yang mematikan unit penghawa dingin berkenaan.

Gambar : Reuters

Pegawai CAAC (Civil Aviation of China), Qiao Yibin berkata, penutupan penghawa dingin mencetuskan penggera menyebabkan anak kapal melakukan prosedur bantuan kecemasan.

Katanya lagi, anak kapal kemudiannya menyedari masalah itu dan menghidupkan penghawa dingin semula, membolehkan tekanan udara di dalam kabin kembali normal.

Air China mengumumkan dalam laman sosial bahawa mereka akan menghentikan kontrak pekerja yang terlibat dan mendesak CAAC untuk membatalkan lesen penerbangan mereka.

Syarikat penerbangan itu juga berkata, dalam satu kenyataan di Weibo bahawa mereka tidak akan bertoleransi terhadap sebarang salah laku ditimbulkan kakitangannya.

Sumber : Mirror

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.