Siakap Keli

Tunjuk Perasaan Ganas Di Nicaragua Ragut 10 Lagi Nyawa

MANAGUA, 16 Julai (BERNAMA-NNN-AGENCIES) — Polis Nicaragua dan kumpulan separa tentera yang setia kepada Presiden Daniel Ortega telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang pada Ahad, kata satu pertubuhan hak asasi manusia ketika angka kematian daripada pertempuran sengit di negara Amerika Tengah itu terus meningkat.

Kesemua mangsa terbunuh apabila pasukan keselamatan kerajaan menyerang komuniti Monimbo dan berhampiran bandar Masaya, kira-kira 25 kilometer di tenggara ibu negara, Managua, kata Alvaro Leiva dari Persatuan Hak Asasi Manusia Nicaragua.

“Kita bercakap tentang lebih 10 kematian ketika ini,” kata Leiva kepada sebuah stesen televisyen tempatan.

Pihak kerajaan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkkan komen.

Hampir tiga bulan pertempuran antara pasukan keselamatan pro-Ortega dan para penunjuk perasaan yang menggesa agar beliau dipecat telah meragut lebih 300 nyawa, dalam protes berdarah paling teruk Nicaragua sejak perang saudara negara itu berakhir pada 1990.

Pada Sabtu, para biskop telah berjaya membebaskan berpuluh-puluh penunjuk perasaan daripada kalangan pelajar yang terperangkap semalaman di sebuah gereja yang dihujani peluru susulan tembakan sekumpulan penyokong kerajaan bersenjata, yang meragut nyawa seorang individu dalam gereja itu, kata kumpulan hak asasi manusia.

Nicaragua terjerumus dalam kancah pergolakan sejak April, apabila Ortega, seorang pemimpin gerila Marxis, mencadangkan pengurangan manfaat pencen untuk meredakan tekanan belanjawan.

Meskipun pelan itu kemudian digugurkan, ia telah menimbulkan pertempuran ganas dan menggesa Ortega meletak jawatan.

Satu mogok di seluruh negara telah mengosongkan jalan-jalan pada Jumaat apabila perniagaan-perniagaan ditutup pada Jumaat, menyahut seruan kumpulan masyarakat sivil yang mahu Ortega meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya awal. – Bernama

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu