Siakap Keli

Lelaki Sekali Lalu Dah Ingat, Perempuan 5 Kali Lalu Jalan Sama Belum Tentu Ingat, Kenapa?

Sense of Direction merupakan keupayaan untuk mengetahui lokasi tempat, seseorang mahupun sesuatu. Apabila ditanya tentang arah jalan untuk pergi ke mana-mana, ramai orang menjelaskan mereka lebih percaya kepada lelaki berbanding perempuan. Hal ini kerana masyarakat mempunyai perspektif tersendiri bahawa lelaki lebih bijak dan lebih mengetahui tentang arah (direction).

Namun perkara tersebut bukanlah ‘tin kosong’ semata apabila ianya telah dibuktikan melalui beberapa kajian di luar negara. Kajian tersebut telah menyatakan bahawa lelaki mempunyai strategi navigasi yang lebih baik berbanding wanita. Navigasi merupakan perbuatan menentukan jarak dan mencari arah dari satu tempat ke satu tempat yang lain (1).

Kajian itu menunjukkan bahawa lelaki secara konsisten lebih baik berbanding wanita dalam beberapa spatial. Keupayaan spatial adalah kemampuan untuk memahami dan mengingat sesuatu yang berkaitan dengan ruang antara objek. Keupayaan ini boleh dilihat sebagai satu kecerdasan yang unik seperti keupayaan lisan, menaakul dan kemahiran ingatan. Spatial terdiri daripada banyak subskills yang saling berkaitan antara satu sama lain dan berkembang sepanjang hayat manusia (2).

Sumber : The New York Times

Evolusi kajian juga menunjukkan satu eksperimen yang melibatkan pelajar kolej (lelaki dan perempuan) serta beberapa ekor tikus jantan dan betina. Pakar psikologi berpendapat bahawa manusia dan haiwan mempunyai strategi navigasi yang berbeza. Pakar tersebut menambah bahawa pelajar lelaki dan tikus jantan mempunyai strategi  navigasi yang lebih baik. Hal ini oleh kerana lelaki dan tikus jantan lebih cenderung mengunakan gerak hati manakala pelajar perempuan dan tikus betina mencari arah dengan berpandukan tanda (landmarks) (3).

Terbaru, universiti Sains dan Teknologi Norway telah melakukan penyelidikan melibatkan 18 peserta lelaki dan perempuan. Peserta dikehendaki untuk mencari jalan keluar dari laluan maya (Virtual Maze) itu dengan memakai kacamata 3D sambil memegang joystick selama satu jam.

Para peserta kemudiannya diberikan 30 saat untuk setiap 45 tugas navigasi yang melibatkan aktiviti seperti mencari kereta kuning dari titik permulaan yang berbeza. Ketika peserta menjalankan tugasan mereka, pengkaji mengukur aktiviti otak mereka dengan menggunakan fMRI (4).

Carl Pintzka (Sumber : EurekAlert)

Ketua pengkaji Carl Pintzka yang merupakan calon Ph.D dalam bidang neuroscience di universiti itu mengeluarkan kenyataan bahawa lelaki mempunyai sense of direction yang lebih baik (efektif) berbanding perempuan. Beliau mengatakan peserta lelaki sampai ke destinasi dengan cepat dan mudah.

Para pengkaji mendapati lelaki menggunakan arah kardinal (Cardinal Direction) untuk sampai ke destinasi mereka. Arah kardinal adalah empat titik utama kompas iaitu utara, selatan, timur, dan barat yang juga dikenali dengan huruf pertama: N, S, E, dan W. Keempat arah ini juga dikenali sebagai mata kardinal (cardinal Point) (5).

Arah Kardinal (Sumber : Google)

Pengkaji turut menambah bahawa lelaki akan menggunakan kaedah ‘world-centered strategy‘ untuk mencari untuk arah sesuatu destinasi. ‘world-centered strategy‘ merupakan kemahiran menggunakan arah kardinal dan peta kognitif. Peta kognitif sering disebut sebagai peta mental atau model mental merupakan keadaan yang membenarkan individu untuk memperoleh kod, menyimpan, mengingat dan mendekod (menghuraikan) maklumat mengenai lokasi relatif dan fenomena harian yang berlaku (6).

Peta Kognitif (Sumber : Psychology Today)

Imbasan fMRI mendedahkan beberapa perbezaan aktiviti otak antara jantina. Lelaki menggunakan lebih banyak bahagian hippocampus  (bahagian otak yang membantu kita memahami arah kardinal). Hippocampus yang lebih besar dikaitkan dengan kemahiran navigasi yang lebih baik. Wanita lebih bergantung pada pra-korteks dan orbitofrontal otak, yang terlibat dalam membuat keputusan (7).

Sumber : Google

 

Rujukan 

(1) Navigation, Sumber dipetik daripada https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/navigation

(2) Carl W.S, Pintzka. Hallvard R, Evensmoen, Hanne Lehn, Asta K.Håberga, 2016, Changes in spatial cognition and brain activity after a single dose of testosterone in healthy women, Sumber dipetik daripada https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0166432815302680

(3) Sandra, 1992, Why Don’t Men Ask Directions? They Don’t Feel Lost, Sumber dipetik daripada https://www.nytimes.com/1992/05/26/science/why-don-t-men-ask-directions-they-don-t-feel-lost.html?pagewanted=all

(4) Louis Chan, 2015, Study Says Men Have Better Sense Of Direction Than Women, Sumber dipetik daripada https://www.techtimes.com/articles/114219/20151208/study-says-men-have-better-sense-of-direction-than-women.htm

(5) Caitlin, 2013, Cardinal Directions and Ordinal Directions, Sumber dipetik daripada https://www.geolounge.com/cardinal-directions-ordinal-directions/

(6) Tolman, Edward C. (July 1948). “Cognitive maps in rats and men”. Psychological Review. 55 (4): 189–208. doi:10.1037/h0061626. PMID 18870876.

(7) Carolyn, 2015, Study Says That Men Have The Better Sense Of Direction, Sumber dipetik daripada https://www.huffingtonpost.com/entry/men-women-navigation-study_us_5665b14ce4b08e945ff01357

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.