Siakap Keli

Makan Pil Kurus Selama 7 Tahun, Sudahnya Ini Yang Berlaku Kepada Wanita Ini

Demi mendapatkan tubuh yang lansing, ramai orang sanggup melakukan apa sahaja termasuklah seorang wanita ini.

Dia sanggup mengambil pil kurus selama tujuh tahun, namun hasil yang berlaku adalah sebaliknya.

Dia kini perlu menjalani pembedahan perut apabila berat badannya naik lebih 40kg berbanding sebelum makan pil kurus tersebut.

Wanita dari China itu, Xiaoli, 25, mula mengambil pil kurus tujuh tahun lalu, selepas menonton iklan yang meyakinkan di TV.

Pada masa itu berat badannya hanyalah sekitar 45kg tetapi dia merasakan dia perlu mengurangkan sedikit berat lagi dengan bantuan pil.

Mengimbas peringkat awal pengambilan pil, menurut Xiaoli hasilnya adalah menggalakkan tetapi sebaik sahaja dia berhenti mengambil pil itu, berat badannya bukan sahaja sukar turun, malah semakin bertambah.

Sejak itulah dia sedar bahawa dia telah membelanjakan kira-kira 200,000 yuan (RM120,000) untuk pelbagai pil kurus dan rancangan diet khas dalam tempoh tujuh tahun dan akhirnya berat badannya meningkat dua kali ganda.

Kisah Xiaoli baru-baru ini diterbitkan oleh akhbar Chengdu Business Daily, selepas wanita berusia 25 tahun yang berasal dari Yibin itu pergi ke Chengdu untuk melakukan pembedahan perut.

Difahamkan, dia tiba di Hospital Rakyat Chengdu dan memberitahu doktor di sana bahawa selepas tujuh tahun bergelut untuk kurus dan tidak menunjukkannya perubahan positif, pembedahan itu merupakan satu-satunya peluang.

Wanita itu berkata selepas pengalaman pertama mengambil pil kurus, dia terus mencari pil atau program penurunan berat badan lain dalam talian tetapi keputusannya selalu sama.

Dia tidak dapat mengingati semua ubat yang telah diambilnya dalam tempoh tujuh tahun, tetapi apa yang dia sedar, tidak ada satu pun daripadanya berhasil seperti dalam iklan.

Bagaimanapun dia mengakui ada yang berhasil sehingga dia turun 13kg sebulan, tetapi apabila dia berhenti mengambilnya, berat badannya kembali ke asal, malah lebih meningkat lagi.

Pada satu ketika, hingga dia merasa kecewa dengan pengiklanan palsu, dia menghubungi perkhidmatan pelanggan mengenai program penurunan berat badan untuk bertanya mengapa mereka mendakwa perkhidmatan mereka menghalang kenaikan berat badan walaupun ia sebenarnya tidak.

Namun, mereka memberikan jawapan dengan hanya mengesyorkan program yang lebih kompleks dan beberapa pil kurus yang lain.

Xiaoli memberitahu Chengdu Business Daily bahawa dia telah membelanjakan kira-kira 200,000 yuan untuk pil kurus dan rancangan diet khas dalam tempoh 7 tahun lalu, dan menunjukkan rekod pembeliannya dalam talian sebagai bukti.

Wanita itu mendakwa dia mahu orang ramai sedar bahawa pengiklanan adalah sangat berbeza berbanding realiti untuk produk penurunan berat badan dan dia adalah contoh terdekat.

Doktor berkata walaupun tabiat makan Xiaoli turut menyumbang kepada kenaikan berat badannya, pil yang diambilnya selama tujuh tahun adalah punca utama.

Timbalan pengarah Jabatan Nutrisi, Wang Zhong, memberitahu pemberita bahawa pil kurus berfungsi dengan menyekat selera makan untuk penurunan berat yang cepat tetapi kesannya tidak stabil dan tahan lama.

Sumber : odditycentral

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.