Siakap Keli
This is a general view of men searching the site of the plane wreckage near Ndola, Zambia on Sept. 19, 1961. Passenger U.N. Secretary General Dag Hammarskjold was en route to a meeting with Katanga's President Moise Tshombe to negotiate the Congo crisis at Ndola when his plane crashed in a forest near the city on Sept. 18. (AP Photo)

Microsleep Juga Pernah Menyebabkan Berlakunya Nahas Kapal Terbang Dan Letupan Nuklear

Sudah banyak kes yang berlaku melibatkan pemandu kenderaan yang kemalangan akibat terlelap ketika memandu. Dari cedera kecil, ke wad kecemasan, patah anggota badan malah ada yang kehilangan nyawa.

Rata-rata pemandu yang selamat daripada kemalangan itu mendakwa mereka tidak sedar bila sebenarnya mereka terlelap, ada juga yang mengatakan bahawa mereka hanya terpejam mata selama 2-3 saat sahaja dan tidak menyangka bahawa ‘tragedi malang’ itu akan berlaku sepantas itu. Saksi juga kerap kali mendakwa kereta yang dipandu akan ‘terhuyung-hayang’ sebelum merempuh atau bertembung dengan kenderaan lain (1).

Sumber : Utusan

Siapa yang sangka hanya beberapa saat mampu untuk mengubah segala-galanya. Terdapat satu kisah di mana seorang suami yang ‘tertidur’ beberapa saat sahaja dan mengakibatkan ‘pembunuhan’ isterinya sendiri.

Mendengarkan perkataan saat, umum akan terus terfikir tentang betapa sekejapnya masa tersebut dan tidak mungkin sesuatu akan terjadi sepantas itu. Namun, sebenarnya dengan kelajuan 65 batu  sejam, seseorang mampu memandu merentasi satu padang bola dalam tempoh tersebut.

Fenomena ‘Tertidur Sekejap’

Semestinya hampir setiap orang pernah merasai pengalaman mata terpejam (tertidur) sebentar ketika memandu, malah kadang-kadang perkara tersebut berlaku tanpa sedar. Seperti dadah, rasa mengantuk akan menyebabkan tindak balas segera, ia akan menyebabkan pemandu mengurangkan kewaspadaan dan mengganggu pertimbangan pemandu.

Oleh kerana sikap lalai, ramai yang mengambil mudah tanda-tanda mengantuk. Ada di kalangan pemandu yang menambah kelajuan kenderan supaya cepat sampai ke rumah (misalnya) untuk tidur. Pemandu pada kebiasaannya akan menguap beberapa kali, tersengguk-sengguk, terlepas papan tanda jalan, gagal mengingati apa yang baru terjadi dan termasuk ke laluan sebelah atau bahu jalan(2).

Fenomena ‘tertidur atau terlelap sekejap’ itu dinamakan sebagai Microsleep (Tidur Mikro). Microsleep ini didefinisikan sebagai ‘terlelap’ dalam beberapa saat dan diikuti dengan perasaan keliru (tidak sedar) yang kebiasaanya akan dilalui oleh individu yang kekurangan tidur (3).

Selain itu, microsleep ini juga akan kerap kali terjadi kepada mereka yang bekerja shift malam, mempunyai gangguan tidur seperti insomnia atau apnea ketika tidur. Apnea merupakan satu keadaan di mana pesakit itu mengalami gangguan di bahagian saluran udara (pernafasan) ketika tidur. Saluran tersebut akan tersekat dan menghalang aliran udara daripada masuk (4).

Microsleep bukan sahaja akan mengakibatkan kemalangan kenderaan di jalan raya malah terdapat lagi pelbagai bencana seperti tragedi nuklear Chernobyl pada tahun 1986 dan letupan Challenger, tumpahan minyak Exxon Valdez 1989, dan beberapa kemalangan penerbangan.

Pesawat Ndola United Nations DC-6 yang Terhempas (Sumber : VICE News)

Antara nahas udara popular yang pernah terjadi adalah pada tahun 1961. Tragedi tersebut melibatkan sebuah pesawat udara Ndola United Nations DC-6. Penganalisis penerbangan Patrick Smith mengatakan bahawa penerbangan pada lewat malam sememangnya mempunyai risikonya yang tersendiri.

Tambahnya lagi, anak-anak kapal mempunyai kemungkinan besar untuk alami tidur mikro yang menyebabkan mereka ‘terlena’ untuk beberapa ketika. Perkara tersebut nyata mampu ‘membunuh’ apabila juruterbang memandu kapal terbang secara manual. Itu akan mengakibatkan pesawat tersebut hilang kawalan dari ‘landasan’ yang sebenar.

Kehilangan kawalan beberapa ribu kaki dari tempat mendarat semestinya akan memberi kesan yang sangat merbahaya. Pesawat itu nyata telah tersasar daripada laluan yang sebenarnya dah hilang kawalan yang menyebabkannya terhempas (5).

Punca Microsleep

Microsleep juga boleh terjadi selama dua ke tiga minit dan kebiasaannya individu yang mengalami tidak akan menyedari perkara tersebut. Malah, Microsleep juga boleh terjadi dalam keadaan mata  terbuka.

Dalam keadaan tersebut, individu akan gagal memberi sebarang respon kepada maklumat luar (contohnya, apabila orang bercakap, mereka tidak akan mampu dengar dan menjawab soalan yang diajukan). Malah mereka juga akan terlepas pandang (tidak fokus) lampu isyarat mahupun simpang yang ingin mereka masuk.

Pemandu yang Melanggar Lampu Merah (Sumber : Utusan)

Microsleep akan berlaku pada waktu-waktu tertentu apabila badan ‘diprogramkan’ untuk tidur seperti  waktu tengah malam (hampir pagi), waktu subuh dan tengah hari. Hal ini didefinisikan sebagai Circadian Rhythm.  Circadian Rhythm merupakan satu proses dalam kitaran harian tubuh badan. Secara literalnya, kitaran tersebut mengikut aturan siang dan malam (putaran bumi). Oleh sebab itu, manusia telah di ‘set’ kan untuk tidur tepat pada waktunya (6).

Circadian Rhythm (Sumber: TreeHugger)
Circadian Rhythm (Sumber : Google)

Kebarangkalian untuk seseorang itu mengalami Microsleep akan tinggi apabila individu tersebut kurang tidur atau kerap menangguh dan ‘berhutang’ waktu tidur mereka. Apabila seseorang merasa mengantuk, beberapa bahagian otak kita sebenarnya mula tetidur (walaupun orang itu masih berjaga).

‘Hutang tidur’ (Sleep deprivation) bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Semakin lama seorang itu tidak tidur (mengangguhkan tidur,kurang tidur atau ‘berhutang tidur’) semakin besar peluang seseorang itu akan mengalami tidur mikro. Perkara tersebut (‘hutang tidur’) hanya boleh dielakkan atau ‘dibayar’ dengan tidur yang mencukupi.

Antara punca lain yang menyebabkan tidur mikro adalah insonmia. Menurut pandangan doktor, insomnia merupakan keadaan di mana seseorang itu mengalami kesukaran untuk tidur dan kerap kali terjaga waktu tidur (sukar tidur semula). Individu yang mengalami insomnia tidak akan berpeluang untuk menikmati masa tidur mereka (tidak puas tidur). Kebiasaannya, individu tersebut akan mengalami simptom seperti keletihan, kurang tenaga, mood terganggu, sukar untuk fokus dan gangguan prestasi di tempat kerja mahupun tempat belajar (7).

Selain itu, gejala insomnia juga turut dipengaruhi oleh tabiat tidur yang ekstrem pada waktu siang ataupun disebut sebagai excessive daytime sleepiness. Rasa mengantuk berlebihan pada siang hari disebabkan oleh ‘tidur yang tertangguh’ pada waktu malam. Hal ini menjelaskan keadaan sekiranya individu tersebut tidak dapat tidur pada waktu malam (insomnia), tubuh mereka secara semulajadi ‘mengganti’ tidur tersebut pada waktu siang (8).

Peratusan Orang yang Tertidur Ketika Memandu (Sumber : CDC)

Microsleep bukan sahaja terjadi kepada mereka yang mengalami insomnia tetapi juga kepada individu yang ‘menghidapi’ narcolepsy. Narcolepsy adalah keadaan di mana seseorang itu telah memperolehi tidur yang cukup pada waktu malam namun masih boleh tertidur secara spontan pada waktu siang. Malah, narcolepsy

Sama seperti insomnia, narc0lepsy juga dipengaruhi oleh simptom excessive daytime sleepiness. Narcolepsy juga boleh menyebabkan ‘serangan tidur secara tiba-tiba’ yang boleh terjadi dalam masa beberapa saat atau minit.

Para ‘penghidap’ narcolepsy sering terlelap pada waktu yang tidak sepatutnya seperti ketika sedang makan, bekerja, memandu malah ketika sedang berbual dengan seseorang. Perkara ini semestinya akan memberi kesan negatif kepada kehidupan berkerluarga dan sosial ‘pengidap’ tersebut (9).

Apa Terjadi Kepada Otak Manusia Ketika Microsleep

Terdapat penyelidikan yang dilakukan untuk mengkaji keadaan otak ketika Microsleep. Kajian tersebut melibatkan sekumpulan sukarelawan yang perlu berjaga selama 22 jam. Mereka ditempatkan di dalam sebuah mesin fMRI yang gelap dan diminta supaya tidak tidur.

Mesin fMRI (Sumber : Google)

Pengimbas tersebut dapat mengesan sekiranya mereka tersengguk-sengguk (menahan mengantuk) secara berkala dan dapat ‘melihat’ apa yang berlaku dalam otak manusia. Semasa microsleep, didapati aktiviti thalamus berkurang. Thalamus merupakan struktur kecil di dalam otak terletak di antara serebrum dan brain stem. Fungsi utama thalamus adalah untuk menyampaikan isyarat motor dan deria kepada korteks serebrum. Ia juga mengawal semua aktiviti yang berkaitan dengan tidur (10).

Kedudukan Thalamus (Sumber : Medical.Net)

Dalam pada itu terdapat peningkatan aktiviti di kawasan otak yang mengawal deria dan daya tumpuan. Ini menunjukkan bahawa bahagian otak tertentu tetap bersedia dalam ‘mood bangun’  manakala bahagian lain (otak) lebih ‘memilih’ untuk tidur (11).

Kajian bukan sahaja dilakukan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan. Contohnya pada tahun 2011, beberapa ekor tikus ‘dipaksa’ untuk berjaga dalam jangka masa yang panjang. Tikus-tikus berkenaan mula menunjukkan tanda ‘local sleep‘ setelah dibiarkan lama berjaga. ‘local sleep‘ merupakan fenomena neurologi di mana aktiviti otak dalam organisma (manusia atau haiwan) yang masih berjaga (tidak tidur) memasuki tahap ‘hampir’ tidur (12).

Sumber : ScienceDaily

Tanda-Tanda Microsleep

Microsleep boleh dikesan dengan mudah. Sekiranya pemandu mempunyai sebarang tanda-tanda yang disenaraikan dibawah, pemandu dinasihatkan agar berhenti di tepi jalan dan berehatuntuk mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi (13).

  1. Kerap kali menguap
  2. Hilang tumpuan ketika memandu
  3. Mata terasa letih dan sakit
  4. Berasa gelisah ketika memandu
  5. Berasa bosan ketika memandu
  6. Memberi respon yang lambat (berkhayal)
  7. Selalu terlepas simpang atau papan tanda
  8. Kerap kali termasuk lorong lain
  9. Sukar mengawal stereng
Sumber : Giphy.com

Tips Elakkan Microsleep Ketika Memandu

1) Elakkan memandu semasa mengantuk

Bukan terhad pada waktu siang sahaja, hal ini oleh kerana sistem badan manusia juga mengikut circadian biological seperti yang diterangkan sebelum ini. Ini membuatkan manusia akan berasa mengantuk pada waktu siang juga khususnya tengahari.

2) Pastikan untuk tidur secukupnya sebelum memandu (perjalanan panjang)

Jangan memandu jika mengantuk dan tidurlah sekurang-kurangnya selama 20 minit (20 minutes power nap). Pemandu juga boleh berhenti rehat di tepi jalan ataupun R&R (Hentian Rehat dan Rawat) untuk tidur sebentar. Pemandu hendaklah mematikan enjin kereta dan menarik kunci keluar untuk langkah keselamatan.

3) Memandu dengan teman

Untuk perjalanan panjang terutamanya memang digalakkan untuk travel bersama rakan. Hal ini dapat membantu pemandu mengurangkan rasa mengantuk ketika memandu (boleh berbual). Malah, rakan tersebut juga boleh berganti-ganti memandu sekiranya berasa letih atau mengantuk.

4) ‘Segar’kan fikiran

Untuk mengelakkan rasa mengantuk, pemandu boleh mendengar saluran radio. Pemandu juga boleh menggerak-gerakkan tubub badan (menari sedikit apabila dengar lagu) dan menyanyi mengikut lagu di radio. Nanum jangan sampai terleka sehinggakan menganggu pemanduan. Tetapi jangan pula melihat phone (membalas mesej, lihat instagram ataupun facebook) untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Sumber : Aceable

Rujukan 

(1) Sinar Harian, 2012, Kereta terbalik akibat terlelap, Sumber dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/semasa/kereta-terbalik-akibat-terlelap-1.107564

(2) Shafinaz, 2006, Gangguan tidur dan kemalangan jalan raya, Sumber dipetik daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

(3) Microsleep, 2012, Sumber dipetik daripada http://www.dictionary.com/browse/microsleep

(4) National Heart, Lung and Blood Institude, 2015,  Sleep Apnea, Sumber dipetik daripada https://www.nhlbi.nih.gov/health-topics/sleep-apnea

(5) 24News, 2011, Fatigue may have caused 1961 UN plane crash, Sumber dipetik daripada https://www.news24.com/World/News/Fatigue-may-have-caused-1961-UN-plane-crash-20110914

(6) Paul Hordan, 2012, Your Circadian Rhythm: The Mechanism Behind Your Sleep Schedule, Sumber dipetik daripada  https://sleephabits.net/circadian-rhythm

(7) National Sleep Foundation, 2018, What is Insomnia, Sumber dipetik daripada https://sleepfoundation.org/insomnia/content/what-is-insomnia

(8) National Sleep Foundation, 2013, Sumber dipetik daripada https://sleepfoundation.org/category/excessive-daytime-sleepiness-disorders

(9) Narcolepsy, 2018, Sumber dipetik daripada https://www.tuck.com/narcolepsy/

(10) Ananya Mandal, 2014, What is the Thalamus, Sumber dipetik daripada https://www.news-medical.net/health/What-is-the-Thalamus.aspx

(11) Alexandra, 2015, Parts Of Your Brain Go Berzerk On Microsleep, Sumber dipetik daripada https://www.popsci.com/heres-what-happens-your-brain-when-youre-trying-not-fall-asleep

(12) Cirelli, Charia & Giulio Tuononi, 2013, “Perchance to Prune”. Scientific American.

(13) The Danger of Having a Microsleep, 2012, Sumber dipetik daripada http://www.rms.nsw.gov.au/geared/your_driving_skills/staying_safe/freaky_sleep.html

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.