Siakap Keli
KUALA LUMPUR 06 MARCH 2017. Suasana baru didalam Dewan Rakyat selepas menjalani proses pengubahsuaian pada Majlis Istiadat Pembukaan Penggal ke 5 Majlis Parlimen Yang Ketiga Belas 2017 di bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Tiada Sekatan, Ahli Parlimen Bebas Berucap Di Dewan Rakyat – Tun M

Anggota Parlimen akan menpunyai kebebasan untuk mengutarakan sebarang isu di Dewan Rakyat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk tidak mengenakan sekatan berucap ke atas wakil rakyat di Dewan Rakyat.

“Ahli Parlimen ini susah sikit nak control. Biasanya dia nak cakap dan dasar kita ialah tiada sekatan. Nak cakap apa, cakap,” katanya kepada wartawan selepas selesai majlis perasmian Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Dewan Rakyat akan bermula bersidang Rabu.

Perdana Menteri juga memberitahu bahawa beliau telah meneliti soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen dan terdapat banyak soalan yang ditujukan dan perlu dijawab beliau.

Kata Dr Mahathir, bagaimanapun beliau belum lagi melihat Rang Undang-Undang dan Akta yang akan dibawa ke sesi ini.

Tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kerajaan sedang melihat supaya Parlimen membatalkan akta itu setelah pelaksaaan GST pada kadar sifar pada Jun.

Tentang soalan yang mengkritik rancangan kerajaan memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus bagi barangan dan enam peratus bagi perkhidmatan, Dr Mahathir menjelaskan bahawa SST tidak sama dengan GST.

“Sepuluh peratus jika anda beli, jika tidak beli tak perlu bayar, manakala GST adalah cukai yang menyerang punca. Sama ada anda beli atau tidak, semua harga akan meningkat,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan spontan dan mencuit hati Sultan Muhammad V pada awal ucapan perasmian apabila baginda secara bersahaja menitahkan supaya semua “anggota Parlimen duduk dan tidak lari”, Dr Mahathir berkata siapa yang makan cili, dia akan berasa pedas.”

Kenyataan spontan itu dipercayai merujuk kepada tindakan kebanyakan anggota Parlimen BN dan PAS keluar dewan semalam ekoran ketidakpuasan dengan prosedur pelantikan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.

Dr Mahathir berkata, mesej Yang di-Pertuan Agong dalam ucapannya adalah jelas iaitu supaya rakyat negara ini perlu bersikap sederhana dalam semua perkara dan bertimbang rasa terhadap agama yang dianuti orang lain.

“Dan mereka juga harus respect kita punya agama. Kalau kita mula cabul agama lain, then kita akan terima padahnya,” katanya. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)