Siakap Keli

”Ia Bukan Angan-Angan Saya Reka, Tetapi Ia Cita-Cita Tun”, Wanita Utus Surat Terbuka Buat Perdana Menteri

Sejak kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu, pelbagai cabaran dan isu terpaksa ditempuhi oleh pentadbiran kerajaan Malaysia baru di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Antara isu-isu yang sering disebut-sebut terutamanya di media sosial adalah isu harga minyak dan cukai barangan. Namun ada satu isu yang sangat menonjol ketika ini iaitu isu pengiktirafan sijil UEC (Unified Examination Certificate) yang sedang hangat di perkatakan ketika ini.

Isu pengiktirafan UEC ini adalah satu isu yang sangat sensitif, namun kebimbangan yang disuarakan segelintir rakyat Malaysia itu ada benarnya juga. Ramai daripada kita, walaupun yakin dengan kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam membuat keputusan, tidak dapat menyembunyikan kerisauan sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengiktiraf UEC terutamanya ia melibatkan soal perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Malaysia.

Sama seperti wanita ini, Maziah Ghuraba yang memuat naik satu surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri melalui laman facebooknya. Menurut Puan Maziah, kita tidak seharusnya lupa kerajaan pernah menjadikan sistem pendidikan kebangsaan sebagai jalan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum yang ada di Tanah Melayu, ketika itu.

Dakwa Puan Maziah lagi, sikap tidak endah dan kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan juga dilihat menjadi penyebab kenapa sesetengah pihak berdiam diri dan tidak membantah, sekaligus menunjukkan generasi hari ini sudah tidak ada jiwa dan kecintaan lagi untuk mempertahankan kedaulatan dan khazanah bangsa.

Atas semangat keterbukaan dan Malaysia Baru, kami kongsikan dengan anda surat terbuka kepada Perdana Menteri yang dikongsikan oleh Puan Maziah di bawah.

SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI : APAKAH TUN M MASIH INGAT AKAN IMPIANNYA TERHADAP PERPADUAN KAUM ?

Kehadapan Tun M yang dikagumi,

Sedari kecil, kita mendengar kejayaan demi kejayaan yang dilakar oleh Tun M. Perubahan demi perubahan yang telah dilakukan Tun untuk membangunkan Malaysia. Bukan itu sahaja, bahkan seantero dunia seakan-akan hanya mengenal satu nama sahaja dalam banyak-banyak pemimpin Malaysia yang ada – Mahathir Mohamad.Tidak dilupa jua Wawasan 2020 yang menjadi visi utama Perdana Menteri ketika memerintah selama 22 tahun ( 1981 hingga 2003) . Kini sekali lagi Tun dipilih rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai kabinet Malaysia.

Tun,

Sebelum saya melanjutkan penulisan, mari kita soroti sejenak sejarah Tanah Melayu yang mungkin sudah lama kita lupakan iaitu saat kerajaan mula-mula mengambil langkah untuk menyatupadukan bangsa melalui sistem pendidikan kebangsaan. Ketika itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada dan ia dikenali sebagai Penyata Razak.

Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini telah mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama. Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, dengan tujuan untuk memupuk perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk komunikasi dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik, serta masyarakat pelbagai dialek atau bahasa.

Oleh itu masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majmuk seharusnya mencuba untuk mengelak masalah polarisasi kaum yang merupakan impak daripada perbezaan kebudayaan, corak hidup dan menganuti kepercayaan. Faktor lain yang turut menyumbang kepada perbezaan tersebut juga ialah bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.

Hari ini, apabila kerajaan mula mempertimbangkan pelaksanaan pengiktirafan UEC (Unified Examination Certificate) dalam sistem pendidikan Malaysia sudah tentu ia amat menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia. Namun yang menjadi kerisauan saya ialah apabila rata-rata anak melayu sendiri yang kurang cakna akibat baik buruk perlaksanaan UEC.

Bahkan sikap tidak endah dan kenyataan mengelirukan daripada Menteri Pendidikan sendiri juga menjadi salah satu penyebab kenapa sesetengah golongan berpendirian untuk memilih diam dan tidak tercabar untuk menyatakan bantahan. Betapa hari ini kita lihat apa yang berlaku dalam Malaysia menyebabkan golongan generasi yang bakal mewarisi negara tercinta ini sudah tidak ada jiwa dan kecintaan lagi untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan khazanah bahasa yang boleh dibanggakan.

Perpaduan kaum yang cuba diwujudkan melalui Dasar Pendidikan Negara tidak lagi menjadi sesuatu yang penting untuk diperjuangkan demi menyemai semangat patriotisme sesama kaum terhadap negara Malaysia tercinta.

Apakah Tun masih ingat akan hasrat Tun terhadap idea Sekolah Wawasan yang digagaskan sewaktu ketika dahulu? Sekolah yang berkonsep untuk menggabungkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kompleks persekolahan. Tiada hasrat yang lebih murni dari penubuhan sekolah tersebut melainkan hanyalah untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid dari pelbagai bangsa dan latar belakang dan memupuk semangat integrasi antara pelajar pelbagai aliran.

Bayangkan semenjak dari sekolah rendah, semua menjalankan gagasan sekolah wawasan yang Tun idamkan. Persekolahan dimulakan dengan perhimpunan pagi yang terdiri daripada para pelajar pelbagai kaum. Menyemai semangat patriotik dan menyanyikan lagu Negaraku bersama sama.

Membaca ikrar dan membacakan perlembagaan negara Malaysia dengan penuh semangat. Kemudiaan ketika waktu rehat duduk makan bersama sama, sebelah menyebelah antara pelajar Melayu, Cina dan India. Berborak dan bergaul sesama mereka. Interaksi yang sihat seperti inilah yang akan memupuk dan mendidik para pelajar untuk bertoleransi dan berlapang dada. Dan inilah yang akan terus menyuburkan semangat nasionalisme dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Apa yang saya coretkan disini bukan suatu yang baru. Dan ia bukanlah angan angan yang sengaja saya cipta dan reka melainkan ia adalah idea dan cita cita Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia 13 tahun yang lalu. Mungkin atas faktor kesibukan dan lambakan beban amanah yang perlu Tun fikirkan dan laksanakan oleh kerajaan membuatkan Tun terlupa akan impian Tun ini. Dulu, sebelum Tun mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003 Tun pernah menyatakan satu impian terakhir buat rakyat Malaysia.

“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini. Kerajaan amat menekankan penghantaran anak ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan kerana mahu mengekalkan kejayaan negara dalam memupuk perpaduan kaum sampai bila-bila.”

Begitulah seruan Tun ketika itu agar rakyat dapat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan walaupun sekolah vernakular tetap dikekalkan. Sedikit pun tidak berhasrat untuk menafikan hak pendidikan bagi masyarakat Cina dan India melainkan menggalakkan agar nikmat pendidikan ini dirasai secara bersama sama di bawah satu bumbung.

Masih segar juga dalam ingatan rakyat Malaysia pada tahun 2012, dimana timbul isu hangat pada ketika itu yang menzahirkan sikap tegas dan prinsip Tun dalam sistem pendidikan iaitu ketika isu cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baharu di Kuantan. Tun menyerang sekolah pendidikan vernakular yang didakawa menjarakkan rakyat dan menyekat hubungan hubungan antara kaum di negara ini. Tun juga mengatakan sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka, kita akan mungkin ada 3 rakyat yang berlainan, dengan setiap satu bercakap dengan bahasa yang berbeza.

Malah Tun juga berpendapat bahawa kita tidak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain. Saya kagum dengan ketegasan dan kelantangan Tun pada ketika itu, bukanlah bermakna kita mahu menyekat kebebasan bangsa lain tetapi dengan melihat kesan jangka masa panjang hasil penubuhan institusi pendidikan yang berbeza sistem pendidikan seperti ini tidak akan menatijahkan masa depan yang baik dalam kelangsungan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Berbalik semula kepada tujuan utama penulisan ini agar kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan janji manifesto Pakatan Harapan yang ingin mengiktiraf sistem UEC. Saya mencadangkan agar lebih baik sekiranya Tun bertindak lebih tegas dan menyatakan prinsip seperti yang pernah Tun lakukan sebelum ini. Apakah Tun rela membiarkan lahirnya generasi kaum Cina yang semakin terpisah daripada idea asimilasi dan pergaulan antara kaum? Apakah masih ada jaminan untuk kita membangunkan perpaduan yang dikenali sebagai Bangsa Malaysia sedangkan jarak hubungan antara kaum semakin besar akibat berbezanya sistem pendidikan?

Saya berpendapat adalah lebih baik Tun bersama para jemaah menteri yang lain terutamanya menteri Pendidikan sebulat suara dalam menangani isu ini. Melaburkan lebih banyak usaha dan perhatian dan untuk memperbaiki sistem pendidikan yang sedia ada adalah cara yang terbaik untuk memenangi semula keyakinan para ibu bapa terhadap sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini.

Mereka yang bersekolah persendirian Cina dan mengikuti sijil UEC ini sebenarnya tidak yakin dengan dasar Pelajaran Kebangsaan sebab itu mereka memilih untuk belajar dalam satu sistem di luar dasar pendidikan kebangsaan. Malah Kementerian Pendidikan masih belum terlambat untuk ‘merawat’ semula sistem pendidikan negara agar menjadi lebih ideal dan bukannya mengambil langkah mengiktiraf UEC sebagai jalan pintas.

Kita juga turut melihat rakan-rakan dari bangsa lain juga menzahirkan luahan hati mereka dan tidak menyokong pengiktirafan UEC kerana jelas ia bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan Negara, bahkan Akta Bahasa Kebangsaan juga. Masyarakat faham yang kita perlukan sistem pendidikan yang seragam yang menjadi teras perpaduan sosial pelbagai kaum di negara ini. Sepatutnya sistem pendidikan yang mengutamakan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tanah air yang sebagai teras untuk membina negara bangsa dan memastikan keharmonian antara kaum dikekalkan.

Tun ,

Akhir kata, harapan besar saya sandarkan kepada Tun sebagai benteng terakhir untuk bersuara tegas dalam isu ini dan menyatakan pendirian Tun. Setelah sekian lama keharmonian dan maruah bangsa kita di bumi Malaysia ini dipelihara Perdana Menteri sebelum ini, saya tidak mampu melihat UEC ini diiktiraf ketika saat kembalinya Tun M memegang tampuk pemerintahan negara hari ini.

Nurul Maziah binti Mohd Nor

Sumber : Maziah Ghuraba

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di