Siakap Keli

Apa Beza Dewan Negara Dan Dewan Rakyat Di Parlimen

Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu yang menyaksikan Malaysia mendapat kerajaan baru selepas 60 tahun, apabila Pakatan Harapan yng diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menafikan penguasaan Barisan Nasional yang pada waktu itu diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak buat kali pertama.

Lebih daripada sebulan PRU berlalu, 16 Julai lalu menyaksikan Parlimen Malaysia kembali bersidang buat kali pertama. Walaupun majlis angkat sumpah ahli parlimen digamatkan dengan tindakan Blok Pembangkang yang memboikot majlis tersebut setelah tidak berpuas hati dengan proses perlantikan Speaker Dewan Rakyat, namun ia sedikit sebanyak menjadi warna-warna dalam amalan demokrasi negara.

Tapi ramai daripada kita sebenarnya masih lagi keliru dengan terma-terma yang melibatkan Badan Perundangan tertinggi negara. Istilah-istilah seperti Parlimen, Dewan Rakyat, Dewan Negara, Ahli Parlimen dan Senator, masih ada dalam kalangan kita sebenarnya mencampur-adukkan penggunaan istilah tersebut apabila merujuk sesuatu isu yang diperkatakan.

Jadi kali ini kami di Siakap Keli dengan anda untuk berkongsi beberapa perkara mengenai Badan Perundangan negara kita ini.

Parlimen

Adakah Parlimen atau biasa disebut sebagai Dewan Parlimen itu sama dengan Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara? Seperti yang kita tahu, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagi ketua negara.

Parlimen bukanlah Dewan Negara atau Dewan Rakyat. Sebaliknya ia adalah Badan Perundangan tertinggi negara kita yang bertanggungjawab menggubal undang-undang. Parlimen sebenarnya terdiri daripada tiga kompenan iaitu :

1. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

2. Dewan Negara

3. Dewan Rakyat

Parlimen akan terus bersidang selama lima tahun daripada tarikh pertama Parlimen bersidang selepas PRU, kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal. Sekiranya tidak, parlimen Malaysia secara sendirinya akan terbubar setelah melepasi tempoh lima tahun.  Apa yang berlaku selepas Parlimen terbubar adalah, PRU mestilah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran dan Parlimen perlu kembali bersidang dalam tempoh 120 hari selepas PRU diadakan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Seperti yang disebutkan tadi, YDPA berperanan sebagai Ketua Negara dan mempunyai kedudukan tertinggi dalam kompenan yang membentuk Parlimen.

Sebagai Ketua Negara, hanya YDPA seorang sahaja mempunyai kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang, menghenti atau membubarkan Parlimen. Kuasa yang dimiliki oleh YDPA ini disebut dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia dan Parlimen ketika ini diketuai oleh YDPA Ke-15, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V yang memulakan tugas pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Dewan Negara

Dewan Negara merupakan kompenan kedua dibawah Parlimen negara. Berbeza dengan Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara yang digelar sebagai Senator tidak dipilih melalui sistem pilihan raya.

Bilangan Senator yang berkhidmat di Dewan Negara adalah seramai 70 orang dan ia terbahagi kepada dua jenis lantikan :

1. Lantikan Dewan Undangan Negeri

Dewan Undangan Negeri bertanggungjawab melantik seramai 26 orang senator iaitu setiap negeri akan diwakili oleh dua orang Senator (13 negeri).

2. Lantikan YDPA

Baki 44 orang Senator pula akan dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua orang wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing seorang wakil Putrajaya dan Labuan.

Jika anda mempunyai impian menjadi seorang Senator, anda perlulah memenuhi syarat-syarat ini iaitu :

1. Warganegara Malaysia

2. Berumur tidak kurang daripada 30 tahun

3. Sempurna akal

4. Tidak muflis

Senator-senator ini layak untuk memgang jawatan tersebut selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh dilantik sepenggal lagi melalui mana-mana lantikan di atas.

Senator-senator yang dipilih merupakan individu-individu yang menyumbang khidmat cemerlang kepada negara melalui profesion masing-masing seperti dalam bidang kesenian, perdagangan, industri, pertanian dan sebagainya serta wakil kumpulan atau kaum minoriti yang boleh dipercayai menjaga kepentingan kaum tersebut.

Dewan Rakyat

Berbeza dengan Dewan Negara, ahli Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Ahli Parlimen (MP) dilantik mengisi kedudukan tersebut melalui pilihan raya. Ini bermakna, anda turut berfungsi dan bertanggungjawab dalam memilih ahli yang paling layak untuk mengisi kedudukan tersebut supaya Badan Perundangan negara dapat berfungsi dengan efektif, dan pada masa yang sama mewakili kepentingan anda di peringkat nasional.

Dewan Rakyat diisi oleh 222 orang ahli Parlimen, terdiri daripada ahli Parlimen yang bertindak sebagai Kerajaan dan ahli Parlimen daripada Pembangkang. Ketika ini, ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan berada di blok Kerajaan manakala wakil Barisan Nasional berada di blok Pembangkang. Selain Kerajaan dan Pembangkang, ada juga ahli-ahli Parlimen yang bergerak secara bebas.

Untuk menjadi ahli Parlimen, anda perlu memenuhi beberapa syarat iaitu :

1. Warganegara Malaysia

2. Berumur tidak kurang dari 21 tahun

3. Sempurna akal

4. Bukan seorang muflis

5. Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa

Jadi, itu serba sedikit mengenai Badan Perundangan tertinggi negara yang boleh kami kongsikan. Anda minat tak nak jadi salah seorang daripada ahli Dewan Negara atau Dewan Rakyat?

Sumber : Portal Parlimen Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.