Siakap Keli

(Video)”Khurafat, Sama Seperti Tangkal”, Respon Mufti Tentang Isu Tular Blouse Muslimah ‘Kalis Sihir’

Sejak beberapa hari yang lau, tular beberapa iklan yang menjual baju jenis ‘Muslimah blouse’ yang didakwa oleh penjual mampu mengelak serangan sihir, saka, santau dan gangguan mistik.

Malah, melalui iklan yang sama, penjual tersebut turut mendedahkan bahawa baju yang dihasilkan tersebut dijahit hanya menggunakan kaedah yang dinamakannya sebagai kaedah falaq itu tanpa penggunaan ayat atau jampi.

Bagi menyakinkan pengguna, penjual turut memberi jaminan sekiranya baju tersebut tidak memberi kesan seperti yang diiklankan, pengguna boleh menuntut kembali wang yang dibayar.

Sepasang baju tersebut dijual pada harga RM 313 dengan tawaran potongan kepada RM 270 untuk harga ahli. Selain blouse tersebut, penjual yang sama turut menjual topi dengan harga tidak munasabah iaitu RM 1,200 (Brain Synchronized Cap) dan RM 1,000 untuk harga ahli.

Netizen nyata menjadikan iklan tersebut sebagai bahan jenaka apabila ada yang bertanya sama ada baju tersebut dapat mengelak serangan penyakit kebodohan, malah ada yang bertanya sama ada jahitan kaedah falaq yang sinonim dengan bidang astronomi itu dibuat berdasarkan arah dan kedudukan bintang di langit.

Bagaimanapu, iklan tersebut turut didakwa sebagai khurafat oleh netizen turut menarik perhatian bijak pandai agama untuk mengulas isu tersebut, antaranya Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad yang menyifatkan memakai baju tersebut sama seperti amalan mempercayai dan memakai tangkal  atau amalan khurafat lain.

”Walau apa cara sekalipun, cara jahit atau cara tenunannya, semua itu sama kedudukannya dengan tangkal-tangkal yang dibuat, ditulis dengan ayat-ayat, dibungkus dan dipakai pada badan.

”Semua tangkal-tangkal ini adalah benda khurafat yang bertentangan dengan agama dan pegangan akidah kita,” kata beliau.

Datuk Mohd Yusuf pada masa yang sama turut mengingatkan agar penjual tersebut agar tidak mempergunakan agama untuk meraih keuntungan peribadi. Selain itu katanya, pengguna juga disarankan untuk meneliti terlebih dahulu produk-produk yang menggunakan nama Islam sebelum membuat pembelian.

Sumber : Berita TV9

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.