Siakap Keli

“Dulu Sering Dibandingkan Dalam Keluarga,” Kisah Hebat Jutawan Muda Jual Rumpai Laut Goreng Ini

Aku Anak Yang Sering Dibandingkan Oleh Keluarga

Seorang pemuda merenung ke langit memikirkan kata-kata yang diucapkan oleh ayahnya tadi. Terngiang-ngiang di kepala kata-kata ayahnya tadi. Setiap bait perkataan muncul satu persatu. Tiada masa depan! belajar malas! Tahu membuang masa dan duit sahaja! tidak tahu ikut perangai siapa, abang dan kakak dah berjaya tapi kau? Hanya tahu main game sahaja!

Rasa terhina? Tidak, sebab dia sudah terbiasa. Terbiasa mendengar kata-kata tersebut daripada ibu dan bapanya. Bukannya dia tidak mahu belajar namun fikirannya yang tidak boleh fokus apabila dalam kelas. Malah di sekolah juga, guru-guru kerap memarahinya dan menggelarnya pelajar nakal, pelajar bermasalah! ah, dia dah lali! Datang sekolah cukup sekadar untuk puaskan hati ibu dan bapanya yang sudah berhabis wang membayar yuran. Hatinya? dia sendiri tidak mengerti.

Sumber : The Billionaire Movie

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, punyai cukup keperluan, punyai seorang abang dan kakak bukanlah kepuasan sebenar dirinya apabila kerap dibanding-bandingkan dengan kedua mereka. Tengok abang kau belajar pandai, tengok kakak kau dah berjaya, tengok mereka dah belajar di luar negara, tengok itu, tengok ini!

Kakinya lantas melangkah menuju ke bilik dan duduk di hadapan komputernya. Dia termangu lagi. Sekadar mengimbas memori tentang duit yang dia peroleh ketika menjual senjata. Bukan senjata nyata, cuma senjata di dalam game semata. Lebih dikenali sebagai ‘weapon trading‘ dalam permainan atas talian. Ia merupakan pembelian senjata untuk watak-watak dalam permainan maya tersebut (1).

Contoh Senjata yang Boleh Dijual Untuk Permainan Atas Talian (Sumber : Digital Academy Portal)

Kecanduannya bermain permainan atas talian itu membuah hasil apabila dia berjaya mendapatkan 1 juta baht. Matanya merenung ke luar jendela, terlihat sebuah kereta. Ya, dia puas! Hasil ‘perniagaannya terparkir megah’ di situ. Dia menggunakan 600 baht (RM65.000) wangnya sendiri untuk membeli kereta tersebut. Kenderaan pertamanya menggunakan duit hasil ‘perniagaanya’ yang pertama.

Namun, matahari bukan sentiasa terang, kadang-kadang mendung menjengah di pertengahan. ‘Perniagaannya’ itu telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa dan akaun gamenya telah ditutup malah diharamkan terus untuk bermain.

Keluhan dilepaskan. Cukup-cukuplah mengenang nasib dan mengingat perkara lepas, apa yang perlu dilakukan olehnya adalah mencari cara lain untuk mendapatkan wang. Ya, pasti ada cara lain! Tekadnya.

Penipuan yang Hampir Melemahkan Semangatku

Pagi keesokkannya.

Dia berjalan-jalan di sekitar pasar yang menjual pelbagai keperluan, dari barang dapur, perabot dan barangan eletronik. Terhenti dia di sebuah kedai. Matanya tertancap pada sebuah rak yang di atasnya ada pemain DVD. Pemain DVD merupakan peranti yang memainkan cakera DVD yang dihasilkan di bawah kedua-dua standard teknikal DVD-Video dan DVD-Audio, dua piawaian yang berbeza. Sesetengah pemain DVD juga akan memainkan CD audio. Pemain DVD disambungkan ke televisyen untuk menonton kandungan DVD seperti filem, rancangan TV yang dirakam atau kandungan lain (2).

Pemain DVD (Sumber : Sony)

Akalnya tiba-tiba dijengah idea! Pemain DVD merupakan salah satu keperluan orang masa ini (2004), setiap rumah pasti memilikinya. Kalau dia beli pemain DVD dalam kuantiti yang banyak mesti harga akan menjadi lebih murah. Maka dia akan dapat untung jika menjualnya dengan harga dua kali ganda, fikirnya.

Dia memusingkan badannya dari kedai DVD tersebut, ‘menimbang-nimbang’ tentang idea tersebut. Duitnya masih ada baki dari hasil ‘perniagaan senjata’ dulu. Jika dia menggunakannya sebagai modal pasti tidak menjadi masalah kerana duit tersebut akan diperoleh semula setelah menjual pemain DVD itu nanti, benaknya berkata.

Lantas, dia memulakan perbualan dengan penjual tersebut, lebih kepada untuk meminta harga jualan pemain DVD dikurangkan. Setelah ‘timbang tara’  segala kos, penjual itu memberikan harga murah kepadanya dengan syarat beli pemain DVD tersebut dalam kuantiti yang banyak. Sudah terbayang keuntungan yang bakal diperolehinya, deal!

Tombol pintu rumahnya diselak, kepalanya menjenguh-jenguk ke dalam. Belum sempat melangkah ke dalam, namanya dipanggil disuruh duduk. Dia akur, punggungnya dilabuhkan di sofa mengadap ibu dan bapanya. Dalam hatinya sudah tidak sabar untuk memberitahu ibu dan bapanya tentang perancangan untuk menjual pemain DVD.

Dia terdiam saat ditanya tentang keputusan peperiksaanya, ah! Bagaimana dia boleh lupa tentang keputusan peperiksaan yang sudah keluar. Mindanya hanya sibuk mencari akal untuk memulakan perniagaan baru. Dia hanya tunduk ke bawah mendengarkan bebelan ibu tentang keputusan peperiksaannya. Keputusannya teruk! Bagaimana kalau dia tidak dapat masuk ke universiti? Ayahnya hanya diam. Mungkin penat mahu memarahinya.

Dia diam, memikirkan bahawa dia boleh masuk ke universiti swasta dengan duit yang keluarganya ada, apa mahu dia risaukan? Malah dia juga boleh dapat wang dengan menjual pemain DVD (3).

Sumber : The Billionaire Movie

Cis, Malang!

Pemain DVD tersebut rosak! Dia ditipu oleh penjual itu! Pemain DVD tersebut rupanya bukan yang original tetapi dikilangkan dari China. Oleh itu semua pemain DVD tersebut tidak boleh digunakan , barangan ciplak!

Hampir tersungkur dia apabila mendengarkan penjual tersebut tidak mahu memulangkan semula duitnya. Bukan sedikit nilainya! Alasan penjual tersebut adalah pemain DVD tersebut tidak mempunyai warranty. Malah penjual berkenaan turut menyalahkannya kerana tidak berfikir panjang sebelum membeli.

Betulkah salahnya? Diakah yang mengakibatkan kerugian dirinya sendiri? Mungkin betul kata ibunya, dirinya tak berguna sekiranya tidak belajar di univeristi. Apakah kejayaan dunia ini untuk orang cerdik pandai yang mampu masuk ke univeristi sahaja? Dia buntu (4).

Aku Manusia Yang Tidak Lelah Mencuba

Langkah demi langkah dia berjalan menyusur laluan pasar tani yang riuh dengan pekikan penjual melariskan barangan mereka. Terganggu? Tidak sama sekali. Bahkan dia khayal dalam lamunan sendiri memikirkan nasib malang dirinya.

Satu aroma asing telah menyekat langkahnya. Menariknya ke sebuah gerai, buah berangan (chestnut)! Wanginya bau! Seorang wanita (penjual) dalam lingkungan 50-an menghulur dan menyuruh dia merasa buah itu, hmm sedap! Hatinya terdetik, kalau dia jual buah ini mesti laris.

Buah Berangan Panggang (Sumber : Google)

Pulang sahaja ke rumah, terus dia mendapatkan pakciknya. Wajah tua itu direnung. Pakciknya sahajalah tempat dia menceritakan segala, tempat dia meluahkan rasa. Malah dia lebih rapat dengan pakciknya itu berbanding ibu dan bapanya sendiri. Pakciknya tidak suka beri ‘ceramah’ seperti mereka dan disebabkan itu, dia berasa lebih selesa untuk berkongsi segala cerita.

Semua keperluan dan kelengkapan untuk menjual telah tersedia, semestinya dengan bantuan pakcik kesayangannya. Kiosk kecil itu dijaga oleh pakciknya sementara dia perlu ke kelas (universiti swasta) untuk belajar. Walaupun ketika berada dalam kelas, mindanya tetap melayang keluar memikirkan kedai buah berangan panggangnya. Jiwanya meronta ingin segera ke kiosk jualan namun jasadnya harus tetap di dalam kelas, demi memenuhi kehendak kedua ibu bapanya yang mahu dia masuk ke universiti (5).

Sumber : The Billionaire Movie

Rezeki tuhan, pada mulanya kioks jualan buah berangan panggangnya kosong langsung tiada pelanggan namun berubah setelah ditukar tempat jualannya. Bibirnya sudah boleh mengukirkan senyuman apabila melihat pelanggan berpusu-pusu membeli. Dia mula mencongak-congak keuntungan yang bakal diperolehi.

Bukan Malaikat, Aku Juga Diuji, Hampir Hilang Semua

Sangkaan bahawa dugaannya sudah berakhir dengan pembukaan beberapa buah kiosk buah berangan panggang ternyata silap. Pihak pengurusan tempatnya berniaga telah membatalkan kontrak perniagaan mereka kerana kiosk tersebut telah melanggar penjanjian. Asap yang terhasil daripada mesin pemanggang nyata telah mengganggu peniaga lain dan merosakkan bumbung kawasan tersebut.

Bahu ibunya dicari, angannya hancur. Kenapa lepas satu masalah selesai, satu lagi masalah menimpanya? kenapa dugaan datang tidak pernah putus? Air matanya jatuh, dia penat.

Si ibu dengan tenang mengusap belakang anaknya. Menyalurkan semangat layaknya seorang ibu. Lantas memujuk menyuruh anak mengemas barang untuk berangkat ke luar negara, China! Cukuplah, tinggalkan semua derita di sini, niat mulakan hidup baru di sana.

Dia yang mendengar ajakkan ibunya tersentak dari ‘lena’. Renungan anak difahami, ibunya lantas mengatakan bahawa hutang keluarga mereka terlalu besar sampai tidak mampu dilunaskan. Oleh itu, segala aset mereka di sini (Thailand) telah disita oleh pihak bank (6).

Dugaan apa pula kali ini!

Sumber : The Billionaire Movie

Pasrah? Mungkin. Menyerah? Tidak sesekali. Dia tekad, apa pun yang terjadi lepas ini dia perlu tepis asalkan dia dapat kembalikan aset keluarganya seperti dulu. Hutang 40 juta? Bukan sedikit!

Namun Aku Yakin ‘Cahaya’ Itu Ada

Dia cuma punya kereta, rumah yang disita dan pakciknya. Hanya pakciknya yang sudi menemani di sini setelah ibu bapanya berpindah ke China. Dia sudah berjanji untuk membawa keluarganya semula ke sini. Dia bukan seorang dangkal yang tidak tahu mengenang budi ibu dan bapanya.

Sumber : The Billionaire Movie

Suatu hari, ketika dia menumpangkan rakannya pulang, dia melihat rakannya itu kusyuk mengunyah sesuatu. Tidak berbuat apa selain menyunyah, krup, krup, krup! Tidak langsung mengendahkan dia di sebelah.

Eh, sedap sangat tidak bercakap, fikirnya. Rakannya menunjukkan makanan yang dimakan olehnya dari tadi. Hanya kepingan rumpai laut.

Sumber : Melanie Cook

Kepingan rumpai laut boleh buat rakannya ‘terdiam’ ketika makan. Mesti ada yang istimewa tentang kudapan tersebut. Lalu, dia pun pergi sebuah kawasan pemborong yang menjual longgokan rumpai laut kering. Dia membeli secara pukal longgokan tersebut menggunakan sisa duit yang dia ada.

Dia tidak makan sebaliknya memberikan rumpai laut kering tersebut kepada orang ramai untuk dirasa. Rata-rata memberikan pendapat bahawa makanan tersebut sangat sedap! Dia melihat sekeliling, tiada lagi peniaga yang menjual rumpai laut. Ini peluang keemasan, fikirnya (7).

Tiba-tiba bayangan kegagalannya muncul, imej perniagaan yang tidak berjaya sebelum ini menjengah satu persatu. Hatinya berbelah bahagi, betulkah ini pilihan yang baik? atau perniaagaannya akan hancur seperti sebelum ini? Adakah aku ini terlalu suka membuat keputusan terburu-buru? Hatinya berbisik.

Aku Tetap Degil Melawan ‘Takdir’

Dia yakin bahawa tiada satu manusia pun yang akan gagal sekiranya berusaha. Tiada istilah semua orang yang nakal di sekolah, selalu gagal dalam peperiksaan ditakdirkan malang dalam kehidupan hadapan mereka. Dia yakin itu!

Tidak berpatah balik, dia nekad untuk memulakan perniagaan baru menjual rumpai laut goreng. Pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk menyimpan rumpai laut tersebut kerana ianya cepat membusuk (basi). Namun dia telah pergi sebuah jabatan yang berkaitan dengan kajian makanan di sebuah universiti untuk mendapatkan nasihat tentang masalah tersebut.

Jualan kecil-kecilan tidak mencukupi, dia perlu memikirkan sesuatu yang besar untuk meneruskan legasi perniagaan rumpai laut gorengnya.

7eleven! Ya, kedai serbaneka. Sekiranya dia dapat ‘meletakkan’ produk tersebut di sana, pasti dia dapat memperkenalkan produknya di merata-rata tempat dalam dan luar negara.

Sumber : Inside Retail Thailand

Nasib dia baik apabila berjaya dapat menghubungi pengurus bahagian produk di ibu pejabat 7Eleven. Namun tidak semudah itu, dia perlu mengikuti semua prosedur sebelum produknya dibawa masuk ke dalam syarikat (7Eleven) tersebut. Dia perlu mempunyai syarikat, barisan pengeluaran (production line) di samping pihak 7Eleven akan melakukan peperiksaan kualiti dan keselamatan kepada produk tersebut.

Tetapi…

Dia tidak mempunyai syarikat mahupun production line dan yang paling penting dia tidak mempunyai wang! Bagaimana dia ingin mendirikan kilang sekiranya tiada duit? Dia hanya berumur 19 tahun, tiada bank atau syarikat pinjaman yang akan memberi pinjaman wang kepadanya. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui latar belakang keluarganya yang sudah muflis.

Tiada pilihan, dia terpaksa menjual semua peralatan menjual buah berangan panggang dan keretanya. Baginya, itulah keputusan hidup dan mati, kalau gagal, dia akan kehilangan semua!

Berkat keyakinannya itu, dia telah menyewa sebuah lot rumah kedai untuk memulakan ‘kilang’ pertamanya. Biarpun kecil, itu lebih baik dari tiada langsung.

Aku Akhirnya di ‘Atas’

Cerita di atas mengisahkan tentang diri Aitthipat Kulapongvanich atau lebih dikenali Top Ittipat. Mungkin ada yang masih tidak kenal dengan nama tersebut tetapi lebih kenal tentang produknya iaitu Tae Kae Noi. Tae Kae Noi adalah perkataan dalam bahasa Thailand yang membawa maksud usahawan atau boss muda.

Sumber : Google

Kini, jenama Tae Kae Noi telah terkenal di seluruh dunia, memasuki lebih 7000 cawangan 7Eleven, kedai serbaneka lain serta pasaraya dan berada di 27 buah negara. Top juga telah membuka ladang rumpai laut di korea utara.

Sumber : Google

Di Malaysia sendiri, snack laut goreng ini sangat popular.  Ianya didatangkan dengan pelbagai perisa.

Top Ittipat (Sumber : Google)

Kisah berbelas tahun dahulu tetapi masih segar untuk dijadikan panduan kepada semua orang, khususnya remaja. Usia Top kini sudah menjangkau 34 tahun dan pernah disenaraikan oleh Forbes Thailand sebagai jutawan termuda! (8)

Sumber : Forbes Thailand

Malah, perjalanan hidupnya juga turut difilemkan untuk dikongsi sebagai pengajaran. Filem tersebut berjudul ‘Top Secret : The Billionaire‘ (9).

Filem Top Secret : The Billionaire (Sumber : iMDb)

Ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri, mungkin dia ‘kurang bijak’ dalam pelajaran tetapi dia bijak dalam perniagaan. Mereka harus diberikan galakkan bukan hinaan.

Top mungkin pernah dilabelkan sebagai pelajar yang degil, namun dengan sikap ‘degil’nya itu lah yang membawa dia ke ‘atas’ sekarang. Dia ‘degil’ untuk jatuh, dia terus berusaha walaupun telah gagal beberapa kali. Dia ‘degil’ untuk takut, dia berani mencuba sesuatu yang belum dicuba oleh orang lain. Dia ‘degil’ untuk mengalah, dia mengambil risiko untuk menjayakan impiannya.

Mungkin dia pernah gagal dalam peperiksaan namun dia ‘lulus’ ujian kehidupan. Tidak mengapa gagal ketika mencuba, namun gagal kerana tidak mencuba lebih teruk!

Rujukan 

(1) History of Top Ittipat, 2013, Sumber dipetik daripada History-of-science.blogspot.com/2013/05/history-of-top-ittipat.html

(2) Definition of ‘DVD player’, 2007, Sumber dipetik daripada https://www.collinsdictionary.com/dictionary/english/dvd-player

(3) Entrepreneurship, 2016, Sumber dipetik daripada http://myentrepreneurship42016.blogspot.com/2016/05/aitthipat-kulapongvanich-or-top-ittipat.html

(4) Thai 24-year-old millionaire, 2014, Sumber dipetik daripada https://pposh.wordpress.com/2014/04/20/thai-24-year-old-millionaire/

(5) Naazneen, 2017, The ‘Little Boss’ Who Reaped A Bounty From Flavored Seaweed, Sumber dipetik daripada https://www.forbes.com/sites/naazneenkarmali/2017/05/30/the-little-boss-who-reaped-a-bounty-from-flavoured-seaweed/#7076023bbb43

(6) Andrew Stotz, 2017, Business DNA: Taking Seaweed to the Masses, Sumber dipetik daripada http://becomeabetterinvestor.net/blog/business-dna-taking-seaweed-to-the-masses/

(7) True story: 19-year old self-made Millionaire from Thailand, 2012, Sumber dipetik daripada https://www.thefastlaneforum.com/community/threads/true-story-19-year-old-self-made-millionaire-from-thailand.41570/

(8) Naazneen, 2018, Thailand’s Richest 2018: Top Heavy List Sees Wealthiest Add Close To $25 Billion, Sumber dipetik daripada https://www.forbes.com/sites/naazneenkarmali/2018/05/02/thailands-richest-2018-top-heavy/#61ae5ef537ab

(9) The Billionaire, 2011, Sumber dipetik daripada https://www.imdb.com/title/tt2292955/plotsummary

 

 

 

 

 

fildza Zainal

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di