Siakap Keli

“Bahaya Buat Keputusan Ikut Kawan,” Lepas SPM Kerja Atau Sambung Belajar?

Adik-adik, apabila keputusan SPM dibuat, adik-adik akan mendapat banyak nasihat dari pelbagai orang tentang perkara yang perlu anda lakukan selepas ini.

Umumnya, orang-orang disekeliling adik-adik akan cuba memberi pelbagai pendapat dari sudut pemikiran mereka untuk menentukan arah tuju adik-adik. Ada beberapa nasihat dan kata-kata mereka sangat berguna dan pastinya anda perlu titik beratkan.

Terutamanya jika orang yang memberi pendapat itu adalah seorang yang berpengalaman dengan latar belakang perindustrian yang kuat dan menyedari pasaran pekerjaan zaman kini(Rujukan 1).

Namun, segala keputusan ditangan individu itu sendiri. Hanya adik-adik yang boleh menentukan halatuju adik-adik selepas tamatnya zaman persekolahan.

Gambar : theborneopost.com

Pilih Antara Dua

Selesai peperiksaan SPM, anda boleh memillih diantara dua pilihan iaitu :

  • menyambung pengajian ke peringkat universiti
  • berehat selama beberapa tahun sebelum sambung belajar(Rujukan 2)

Bagi adik-adik yang ingin terus menyambung pengajian ke peringkat universiti, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititik beratkan. Berikut merupakan perkara-perkara tersebut, iaitu:

  1. Tentukan kursus yang anda minat mengikut kelayakan – Adalah penting untuk memilih bidang subjek yang anda minati dan mengikut kelayakan keputusan SPM anda. Dari situ, para lepasan SPM boleh merancang sebaiknya memilih untuk memasuki universiti awam mahupun swasta.
  2. Mencari biasiswa – Permohonan biasiswa dibuka setelah keputusan SPM dikeluarkan. Oleh itu, ia merupakan satu peluang kepada adik-adik untuk memohon biasiswa awal sebelum menyambung pelajaran. Terdapat juga pelbagai jenis biasiswa untuk kursus pra-universiti, sarjana, pascasiswazah dan juga kursus profesional. Jadi cari yang paling sesuai untuk anda.
    Gambar : berkeley.com
  3. Meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris – sebelum menyambung pengajian ke peringkat universiti, latih diri untuk fasih berbahasa Inggeris. Ini kerana lancar berbahasa Inggeris membantu anda semasa sesi temuramah ketika pendaftaran universiti, untuk memohon biasiswa atau mendapatkan pekerjaan kelak. Tambahan pula, MUET Bahasa Inggeris juga sama pentingnya dengan persiapan awal dalam meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris.
  4. Persiapkan diri untuk memasuki alam universiti – Kehidupan universiti adalah kehidupan yang bebas dek kerana anda akan berjauhan dengan keluarga dan tinggal bersama rakan-rakan kolej yang lain. Sekarang mungkin masa yang sesuai untuk anda belajar bagaimana untuk mencuci pakaian anda sendiri, membuat makanan yang mudah dan menguruskan masa anda dengan baik kerana tidak akan ada lagi yang akan mengejut anda setiap pagi(Rujukan 1).

Tetapi, jika adik-adik tidak mahu menyambung pengajian setelah selesai SPM, adik-adik haruslah memikirkan jalan yang terbaik untuk diri sendiri agar tidak membuat ibu bapa risau dan membebankan mereka.

Gambar : Malaysia Students

Daripada adik-adik menganggur dan membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah, lebih baik anda bekerja.

  1. Menjana pendapatan – Antara salah satu sebab mengapa segelintir daripada mereka gemar untuk terus bekerja daripada menyambung pengajian adalah ingin merasa gaji lebih awal berbanding rakan lain yang meneruskan pengajian ke kolej atau universiti. Boleh kumpul wang lebih awal untuk persiapan hari tua, beli rumah, kereta dan sebagainya.
  2. Menimba pengalaman dan mengasah kebolehan – Apabila mereka bekerja awal, mereka berpendapat bahawa mereka akan dapat mengasah bakat terpendam tanpa perlu ke kelas atau mengambil peperiksaan di universiti. Mereka dapat terus menjalani latihan praktikal dan mengasah bakat dalam bidang yang minati. Lumrah zaman kini yang memerlukan pekerja yang berpengalaman dan berkemahiran berbanding pelajar ‘fresh graduate'(Rujukan 3).

Konklusinya, adik-adik perlu tanya diri sendiri, adakah adik-adik sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti atau bersediakah adik-adik untuk menempuh alam pekerjaan yang penuh liku.

Minta pendapat ibu bapa atau guru-guru untuk membantu adik-adik dalam membuat pilihan. Atau mungkin, adik-adik boleh bertanya terus kepada mereka yang telah berjaya di dalam bidang yang mereka ceburi.

Harus diingatkan agar tidak membuat keputusan kerana ingin mengikut kawan. Bahaya kerana matlamat mereka mungkin tidak sama dengan matlamat anda.

Tapi, macam mana pula kalau adik-adik harus menyambung pengajian kerana arahan ibu bapa? Mohon berbincang sebaik mungkin dengan ibu bapa jika adik-adik tidak bersetuju dengan pendapat merekadan elakkan dari bertengkar.

Pertimbangkan juga laluan kerjaya yang adik-adik pilih untuk masa depan adik-adik bagi memudahkan untuk mendapatkan pekerjaan setelah bergelar graduan kelak serta kos pengajian dan juga kos sara hidup sepanjang pembelajaran(Rujukan 4).

Walau bagaimanapun, mungkin niat untuk sambung belajar itu ada cumanya belum masa yang sesuai atau belum timbul lagi kesedaran untuk melanjutkan pengajian. Mungkin apabila ianya diperlukan kelak boleh sambung sebagai pelajar separuh masa PJJ.

 

Rujukan :

  1. AfterSchool.my
  2. easyuni.my
  3. AfterSchool.my/work
  4. ebook Kerjaya

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey