Siakap Keli

“Denda Tetap Denda”, Tips Daripada Seorang Ibu Didik Anak Supaya Tak Menyesal Kemudian Hari

Setiap pasangan ibu bapa mempunyai cara didikan yang tersendiri terhadap anak-anak mereka.  Didikan yang dilentur sedari awal ini akan memberi kesan kepada anak-anak apabila mereka besar nanti.

Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya sering kali disebut apabila isu ini dibangkitkan.  Dalam kaedah mendidik anak, ia terpulang kepada ibu bapa itu selagi ia tidak melangkaui batas sehingga sanggup mencederakan dan membebankan anak.

Setiap kesalahan itu harus dijelaskan kedudukannya.  Ini adalah untuk membentuk tingkah laku yang lebih baik serta memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kesalahan yang dilakukan.

Perkongsian daripada Puan Mastura dibawah ini boleh dijadikan contoh buat para ibu bapa di luar sana untuk sentiasa mencari tahu cara terbaik dalam mendidik anak-anak tanpa memberi kesan buruk kepada mereka.

Ini raina.

Minggu ni dia didenda tak boleh langsung tidur dengan ibu.

Kenapa?

Sebab hari ahad kelmarin dia ada buat salah. Tamak.

Dan kena sangat dengan peribahasa “Orang tamak selalu rugi”.

Dia berebut milo crunch yang tinggal sikit saja dengan abam shariff. Dalam mangkuk dia dah ada lebih banyak dari shariff, tapi dia nak lebih lagi. Bergaduh, dan ibu kata dengan shariff, takpe abang bagi je. Shariff pun bagi milo crunch dia hingga tinggal suku saja.

Ibu pesan, “Raina, orang tamak selalu rugi tau.” Dia jeling tajam. Ok tak apa.

Seminit kemudian, Kak Yang masuk dapur. Nak juga milo crunch. Shariff kata, “Takpe share dengan abang.”, sebelum ibu buka mulut minta abam shariff kongsi dia punya.

Kenapa tak minta raina kongsi?

Sebab tahu dari jelingan dan perilaku dia tadi, dia takkan kongsi dengan sesiapa.

Tak sampai beberapa detik, entah macamana, raina tertekan mangkuk milo crunch dia, dan habissss milo crunch jatuh ke lantai, tinggallah suku saja di dalam mangkuk dia.

Sambil senyum, ibu kata, “Raina, orang tamak selalu rugi.” Dia jeling lagi, sambil kata, “Mana ada!”

Waktu nak capai susu dalam botol plastik 2 liter di atas meja, susu terbalik.

Jatuh. Tumpah. Kena baju dia. Bersepah dan basah meja dengan susu.

“Raina, orang tamak selalu rugi. Ibu dah pesan tadi. Lepas makan kemas balik. Lap semua yang tumpah.”, sambil ibu berlalu keluar dari dapur.

Tiba-tiba shariff kata, “Ibu raina buat macam ni masa ibu cakap tadi.”, sambil tunjukkan mimik muka mengejek, dengan gaya mulut herot, mata ke atas.

“Takpe, ibu nampak.”

Kebetulan malam hari ahad bukan giliran raina tidur tepi ibu. Giliran Kak Yang. Tapi malam tadi, adalah giliran raina.

Dia dah siap-siapkan tempat tidur, sekali tergamam bila ibu cakap,

“Raina, disebabkan raina tak dengar cakap ibu semalam, tamak, ambik milo crunch abang, ejek ibu, jawab kasar, malam ni ibu denda raina tak boleh tidur dengan ibu seminggu.”

via GIPHY

“Raina nak tidur jugak!” Jerit raina, tak puas hati. Memberontak.

Sambil menahan rasa, “Ok, macam ni. Abang tidur tepi ibu malam ni. Kalau raina nak tidur jugak, ibu angkat raina letak luar bilik.”

Terus dia berlari masuk bilik dan baring di tempat dia, tepi tempat tidur ibu.

Dan dia terpaksa beralah dengan shariff bila dah tutup lampu bilik, dan badan shariff yang besar menolak badan dia yang kurus kering.

Baru nak lelapkan mata dalam gelap, dengar dia menangis perlahan. Ingatkan kesejukan. Dah diberi selimut lain, pun masih menangis.

Tiba-tiba, sayup dengar suara dia mengeluh dan bercakap sesuatu.

…..perlahan. Kurang jelas. Ibu diam sebab kurang jelas mulanya.

Dia ulang lagi, masih kurang jelas.

“Raina nak apa, tadi dah bagi selimut. Cuba cakap kuat sikit. Berhenti menangis kalau nak cakap. Ibu tak dengar kalau raina tak berhenti menangis.”

Nampak dia terkebil-kebil di dalam gelap bila dilimpahi cahaya dari lampu jalan.

…”Raina nak salam ibu.” Perlahan..mendayu suara. Sedih.

Ibu diam tanpa respon. Tak lama kemudian,

“Oklah, sini.”

Terus dia datang dan peluk ibu yang sedang baring. Terdengar esakan dia di tepi telinga. Sebak pula rasa.

“Raina dah salam, dah minta maaf, tapi denda tetap denda ok. Minggu depan baru raina boleh tidur tepi ibu. Faham?” Tetap ibu berkeras supaya rasa kasihan nak batalkan denda tu dapat dilawan.

Angguk.

Denda tetap denda. Jika tak didenda, dia akan ulang dan tak beringat.

Arwah abah sangat pantang kalau ada anak-anak berperangai macam tu. Silap-silap dilempang. Jika dimarahi, semua diam membisu. Tak berani angkat muka. Tak berani bersuara. Nak melawan jauh sekali, takut lempang singgah di muka.

Dan ibu sangat pantang bila ada yang sengaja buat muka waktu dimarahi. Apatah lagi mengejek. Bila didenda tak dapat tidur sebelah ibu jika tiba giliran dia, haruslahhh dia akan teringat semula kesalahan dia.

Nak denda anak bukan mudah. Berperang dengan rasa kasihan. Berperang dengan rasa, “Teruk betul aku ni.”

Tapi biarlah melentur buluh dari rebung. Kegagalan mendidik anak waktu dulu tak bermaksud boleh mengulang kesilapan yang sama.

Habis makan, lap meja.
Habis makan, cuci pinggan.
Habis makan, lap meja, sapu sampah sendiri.
Buat salah, mesti tegur.
Melampau, mesti didenda.

Lain ibu bapa, lain cara didikan. Yang penting, peribadi yang dibawa anak bila dewasa nanti.

“Orang tamak selalu rugi”.

Fiona,
Cuba yang terbaik

Sumber: Mastura Rashid

Nur Farra