Siakap Keli

(Video) “Dia Perempuan, Kau Laki S*al, Baik Kau Mati Dari Kecik”, Wanita Diseret, Peragut Dibelasah

Seorang pembantu jualan di kedai farmasi nyaris hilang nyawa apabila rambutnya tersangkut pada roda motosikal peragut dan diseret beberapa meter atas jalan sebelum  diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian ragut di sini, hari ini,

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa, wanita berusia 31 tahun itu sedang berjalan kaki di belakang pusat membeli belah Boulevard Mall Miri di sini sebelum dihampiri suspek dari arah belakang dan meragut beg tangan mangsa,

Bagaimanapun, mangsa terjatuh atas jalan dan rambutnya tersangkut pada rodamotosikal dan diseret sebelum suspek turut  terjatuh dari motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak, SAC Denis Leong, dalam kenyataan, berkata orang awam yang melihat kejadian itu terus memberi bantuan dengan menangkap suspek dan mendapatkan semula beg tangan mangsa.

Akibat berang dengan perbuatan kejam itu, orang awam di tempat kejadian bertindak  membelasah suspek dengan teruk sebelum menyerahkannya kepada polis.

Leong berkata mangsa hanya mengalami sedikit kecederaan manakala suspek berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. – Bernama

Rakaman Video Mangsa

Nur Farra