Siakap Keli

Bayi Lelaki Empat Bulan Meninggal Bukan Akibat Tersedak Susu Tapi Jangkitan Kuman – Polis

MELAKA, 24 Julai – Kematian bayi  lelaki empat bulan, Yusof Al-Baihakki Zainal  Abidin  di sini semalam, berpunca daripada  jangkitan kuman di paru-paru  dan bukan tersedak susu, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad.

Beliau berkata punca kematian bayi itu diketahui hasil  bedah siasat yang dilakukan oleh pihak Hospital Melaka.

“Siasatan polis sehingga kini mendapati  tiada sebarang unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita hari di sini hari ini.

Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang juga merupakan anak anggota polis di negeri ini dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.

Afzanizar berkata pihaknya masih belum dapat merakam percakapan daripada ibu bapa bayi tersebut.

“Mayat bayi terbabit selesai dibedah siasat pada pukul 1.05 pagi dan jenazahnya telah selamat dikebumikan di Kelantan sebelum solat Zuhur tadi,” katanya. – BERNAMA

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu