Siakap Keli

RMT Dan Buku Nilam, Ini 7 Kenangan Sekolah Rendah Yang Tidak Dapat Dilupakan

Setiap orang pasti melalui zaman sekolah rendah. Perasaan kali pertama menjejakkan kaki di sekolah buat kali pertama tidak mungkin akan dilupakan. Datang ke sekolah berpakaian baru, beg baru dan semangat baru, berjumpa dengan rakan-rakan dan gu-guru baru adalah antara kenangan yang tak mungkin boleh dilupakan oleh sesiapa sahaja.

Berbanding suasana persekolahan hari ini yang sudah berubah, namun buat pembaca kami yang lahir pada tahun penghunjung 80-an serta era 90-an, terdapat banyak kenangan sekolah rendah yang tak mungkin anda boleh lupakan. Mungkin ada dalam kalangan pembaca kami yang kini sudah pun bergelar ibu bapa dan menghantar anak ke sekolah setiap hari, apa kata kita imbas kembali beberapa kenangan zaman sekolah rendah yang tak mungkin anda lupakan.

1. Buku Nilam

Bila kali terakhir anda mendengar perkataan Buku Nilam? Kalau penulis, zaman buku nilam ini berakhir bila penulis tamat sekolah menengah. Kalau anda nak tahu, program buku nilam ini bermula sejak tahun 1998 dan masih berjalan hingga sekarang. Program buku nilam ini memang program yang dinanti-nantikan oleh sebahagian pelajar, tetapi mungkin tidak pada yang lain.

Anda diwajibkan membeli buku nilam yang dijual di sekolah, kalau tak silap penulis ketika zaman penulis bersekolah, sebuah buku ini dijual pada harga RM 1.50. Malah, ada sesetengah sekolah dimana gurunya terutama Guru Pusat Sumber mewajibkan pelajar-pelajar ini menulis dan menghabiskan sebuah buku nilam.

2. Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

RMT adalah program makanan tambahan yang dikelola, diselia dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak tahun 1979 lagi. RMT tak disediakan untuk semua pelajar, tetapi penulis yakin ramai daripada kita pernah mengambil makanan RMT walaupun nama tiada dalam senarai penerima kan?

RMT ini bertujuan untuk memberi makanan tambahan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah, terutamanya yang bersekolah di luar rendah, datang daripada keluarga yang susah dan bertujuan untuk memperbaiki keadaan fizikal kanak-kanak serta galakkan akademik untuk kanak-kanak hadir ke sekolah.

3. Gosok Gigi Tepi Longkang

Yang ni pun seronak juga kalau nak di kenang. Biasanya guru kelas akan pesan sehari sebelum program ini dijalankan kepada pelajar-pelajar kelas jagaannya. Masa inilah, kepala ligat fikir nak bawa cawan yang macam mana kan? Bila datang ke sekolah keesokkan harinya dan kalau anda mungkin datang daripada keluarga yang sedikit senang, bolehlah anda ‘action’ lebih sikit dengan cawan dan berus gigi yang cantik atau berjenama anda bawa.

Selalunya, anda akan dibawa berbaris di tepi longkang dan akan ada seorang jururawat yang bertindak memberi arahan cara-cara menggosok gigi dengan betul. Penulis tak pasti sama ada program sebegini masih dijalankan di sekolah rendah atau tidak, tetapi ia antara memori terbaik yang penulis ada.

4. Program Susu Sekolah

Program Susu Sekolah ini dijalankan serentak dengan RMT dengan kumpulan sasaran dan tujuan yang sama. Penulis masih ingat, disebabkan penulis dahulu adalah seorang pengawas dan sering dipilih oleh guru untuk membantu mengagihkan susu-susu ini bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas yang lain, biasanya kami akan dapat lebih beberapa kotak susu berbanding pelajar-pelajar yang lain.

5. Hari Kemerdekaan

Tidak seperti sekarang, Hari Kemerdekaan di peringkat sekolah rendah adalah acara yang wajib disambut dengan penuh kemeriahan. Boleh dikatakan, Hari Kemerdekaan yang disambut disekolah rendah melibatkan semua pelajar yang ada, dengan murid-murid ini diberi kebebasan untuk mengenakan pakaian kebangsaan atau pakaian etnik masing-masing untuk hadir ke sekolah.

Selain itu, pelbagai program juga akan dilaksanakan di peringkat sekolah antaranya pertandingan menyani lagu kebangsaan. Kalau dahulu, antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan ketika Hari Kemerdekaan adalah lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang, Warisan, Inilah Barisan Kita dan pelbagai lagi. Penulis fikir, kita mungking lebih patriotik ketika zaman sekolah rendah berbanding sekarang, walaupun ketika itu belum faham sepenuhnya erti kemerdekaan.

6. Perang Kapur

Perang Kapur, yang ini penulis yakin sudah tidak ada pada zaman sekarang disebabkan kebanyakkan sekolah sudah pun beralih daripada menggunakan papan hitam kepada papan putih ketika ini. Walaupun ia perbuatan yang salah, tapi penulis yakin ramai daripada kita sebenarnya pernah terlibat dalam perang kapur ini.

Selalunya yang terlibat dalam perang kapur ini adalah pelajar-pelajar lelaki yang sedikit nakal, dan lagi best kalau ketua darjah pun terlibat sekali dalam perang kapur ini, disebabkan hanya ketua darjah sahaja diberi kebenaran untuk mendapatkan bekalan kapur daripada pejabat sekolah.

7. Perkhidmatan Kesihatan Sekolah

Perkhidmatan Kesihatan Sekolah ini adalah antara yang paling ditakuti oleh pelajar-pelajar sekolah rendah. Sebabnya di bawah program ini, pelajar-pelajar akan menerima rawtan gigi dan vaksinisasi. Yeala, siapa yang tak takut kan bila tahu nak kena cucuk atau kena cabut gigi. Waktu inilah ada pelajar yang tak kesekolah atau lepak di tandas untuk menyorok daripada dipanggil ke bilik rawatan.

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.