Siakap Keli

Troli Dan Mainan Di Pasaraya Salah Satu Punca HFMD Tersebar

Troli dan alat mainan di pusat membeli-belah telah dikenal-pasti antara punca utama merebaknya penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang.

Surat bertarikh 13 Julai yang seperti yang dilaporkan oleh media, telah mengenal pasti objek yang dinyatakan menyumbang kepada penularan penyakit tersebut dengan 2,341 kes dilaporkan setakat ini.

Gambar Hiasan

Surat tersebut yang dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya menunjukkan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mendedahkan bahawa pemegang troli, mainan dan kerusi di puast membeli-belah adalah antara penyebab utama penyebaran HFMD melalui sentuhan.

Gambar Hiasan

Dalam kenyataan surat itu, turut menasihatkan pusat membeli-belah untuk membersihkan objek-objek tersebut dengan cecair peluntur bagi membasmi HFMD dari terus merebak.

Menurut laporan, jumlah kes HFMD di Pulau Pinang telah menurun selama tiga hari berturut-turut sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan akhbar berkata, penurunan itu penting kerana jumlah kes yang direkodkan pada hari Rabu ialah 78 kes diikuti 52 kes pada Khamis dan 51 kes pada Jumaat.

Walaupun begitu, katanya bilangan kes masih lagi tinggi berikutan pada tahun ini, setakat ini sahaja sudah mencapai 2,341 kes berbanding hanya 1,099 kes pada 2017 dalam tempoh yang sama.

Sejak wabak itu tersebar pada awal bulan ini, sebanyak 30 premis ditutup termasuk 10 tadika, tujuh taska, enam sekolah rendah dan satu pusat penjagaan kanak-kanak.

Antara sekolah yang masih ditutup ialah SK Sungai Bakap, SJKC Sum Min 1, SK Saujana Indah, SJKC Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik dan  SJKC Kwang Hwa.

Pada Jumaat lalu sembilan pesakit masih ditahan di wad dan menerima rawatan di hospital.

Pada masa sama, Dr Afif juga menolak laporan yang viral di facebook bahawa terdapat kematian yang disebabkan oleh virus HFMD selagi tiada pengesahan daripada jabatan kesihatan negeri.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.