Siakap Keli

Harga Tiket Penerbangan Kekal Jika Terus Dikecualikan SST – MAB

Malaysia Airlines Bhd (MAB) menjangkakan kadar tambang  udara tidak akan terjejas akibat pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya ia terus dikecualikan daripada rejim cukai itu seperti sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata tiket penerbangan sememangnya dikecualikan  daripada SST sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April 2015.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih lagi menunggu panduan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian selama setahun antara MAB dengan empat pengendali khidmat umrah di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaafar.

Mengulas laporan media bahawa MAB sedang dalam usaha memilih institusi kewangan bagi membiayai pembelian sembilan pesawat Boeing 737 MAX, Izham sebalilknya tidak menafikan atau mengesahkan laporan itu.

Sebaliknya beliau menegaskan langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan nasional itu untuk menimbang pilihan yang sedia ada.

“Ini satu amalan biasa perniagaan apabila sesebuah syarikat itu meninjau dan meneliti pilihan yang ada, tidak kiralah jika kita berhasrat membiayainya sendiri atau mendapatkan pinjaman,” katanya.

Izham berkata, MAB juga telah membuat pengesahan tempahan bagi 25 pesawat Boeing 737 MAX yang dimeterai pada dua tahun lepas.

“Kita juga mempunyai pilihan bagi (pembelian) 25 pesawat Boeing 737 MAX yang belum dilakukan lagi,” katanya.

Selain itu, mengulas pelaksanaan had atau harga siling tiket penerbangan domestik khusus ketika musim perayaan, beliau berkata MAB juga masih menunggu arahan lanjut Kementerian Pengangkutan serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berhubung perkara tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme sesuai untuk mengawal harga tiket penerbangan domestik dan tidak hanya tertumpu kepada musim perayaan tetapi juga untuk sepanjang tahun.

Menurut Loke, MAVCOM perlu meneliti mekanisme terbabit dan akan membentangkan rangka kerja berkaitan kepada kementerian itu, bulan ini.

Sementara itu, perjanjian yang ditandatangani hari ini akan membabitkan usaha MAB menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas untuk empat pengendali umrah – KRS Travel, ATS Global Travel & Charter, Rayhar Travels dan Eco Riths Leisure Travel & Tours, bagi musim umrah akan datang mulai Oktober 2018 sehingga Jun 2019.

MAB berkata di bawah perjanjian itu, syarikat penerbangan nasional itu akan membawa lebih 70,000 jemaah bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga negara jiran seperti Indonesia.

“Ini merupakan angka paling banyak dari segi jumlah penumpang membabitkan khidmat sewa khas umrah dan merangkumi 149 penerbangan yang menggunakan pesawat Airbus A380-800 MAB,” kata syarikat itu. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di