Siakap Keli

Satu Pertiga Bayi Di Dunia Mempunyai Tanda Lahir, Kenali Jenis-Jenis Tanda Lahir, Boleh Dibuang Ke?

Bagi mereka yang dilahirkan dengan tanda lahir di muka, hampir pasti tiada apa-apa yang boleh mereka lakukan bagi menyembunyikan tanda lahir tersebut. Ia mungkin tidak berbahaya, tetapi tanda lahir dianggap sebagai ‘bencana kosmetik’ bagi sesetengah pihak.

Dilaporkan, kira-kira satu pertiga bayi yang dilahirkan di seluruh dunia lahir dengan tanda lahir pada wajah atau badan mereka. Tanda lahir merujuk kepada tanda berbeza warna dengan warna semula jadi kulit yang kelihatan sewaktu bayi itu dilahirkan atau membesar seiring dengan usia bayi tersebut.

Tanda lahir boleh muncul dimana-mana sahaja bahagian badan, mempunyai saiz dan bentuk yang pelbagai serta mempunyai warna yang berbeza. Adakalanya ia sedikit merah, kehitaman atau biru gelap. Ada juga mereka yang dilahirkan dengan tanda lahir berwarna koko atau keunguan.

Kebanyakkan tanda lahir ini hilang dalam tempoh jangka masa tertentu, namun ada juga berkekalan sehingga dewasa sekaligus memberikan tekanan kepada pemiliknya terutama daripada segi emosi, lebih-lebih lagi jika tanda lahir itu wujud pada bahagian yang terdedah seperti wajah.

Disebabkan ada juga tanda lahir dikaitkan dengan masalah kanser, ibu-bapa yang memiliki bayi yang baru dilahirkan dengan tanda lahir, perlu merujuk kepada pakar perubatan untuk membuat pemeriksaan.

Punca Tanda Lahir Wujud

Kenapa bayi dilahirkan dengan tanda lahir? Nampaknya anda harus bersabar kerana sehingga kini, saintis masih belum menemui jawapannya. Ia tidak boleh dihalang dan juga tidak boleh diwarisi dan juga tiada bukti yang menunjukkan bahawa tanda lahir ada kaitan dengan pendedahan seseorang wanita dapat ketika proses kehamilan.

Kategori Utama Tanda Lahir

Ahli perubatan membahagikan tanda lahir kepada dua kategori utama iaitu.

1. Tanda lahir merah – iaitu tanda lahir yang terhasil daripada pembentukan salur darah yang sangat hampir dengan permukaan kulit.

2. Tanda lahir pigmentasi – iaitu tanda lahir yang terhasil daripada pembentukan pigmentasi yang berbeza dengan warna kulit seseorang.

Jenis-Jenis Tanda Lahir

1. Macular (flat) Stains

Warnanya sama ada sedikit pudar, merah sederhana atau merah jambu. Dikenali sebagai ‘angel kiss’ dan seringkali muncul dibahagian dahi, kelopak mata, bahagian atas hidung dan bahagian atas bibir. Jika muncul dibahagian belakang leher, tanda lahir ini dikenali sebagai ‘stork bite’.

Tanda lahir ‘angle kiss’ ini biasanya akan hilang menjelang usia dua tahun bayi tersebut. Manakala ‘stork bite’ pula boleh berkekalan sehingga bayi itu menjadi orang dewasa. Kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan.

2. Hemangiomas

Tanda lahir Hemangiomas seringkali wujud pada bahagian wajah dan leher seseorang bayi, tetapi boleh juga muncul pada mana-mana bahagian anggota badan. Terdapa dua subjenis tanda lahir Hemangiomas iaitu Superficial Hemangiomas dan Deep Hemangiomas.

Superficial Hemangiomas atau ‘strawberry hemangiomas’ adalah tanda lahir dengan warna merah merah terang disebabkan kewujudan salur darah abnormal berdekatan dengan permukaan kulit. Ia biasanya tidak memerlukan rawatan dan akan hilang menjelang usia 9 tahun.

Manakala Deep Hemangiomas atau ‘carvernous hemangiomas’ biasanya bewarna biru keunguan disebabkan wujud salur darah abnormal lebih dalam dan jauh dari permukaan kulit. Walaupun kebanyakkan kes tanda lahir subjenis ini hilang menjelang usia persekolahan seseorang kanak-kanak, namun sesetengahnya memerlukan rawatan sekiranya ia memberi kesan kepada fungsi mata, hidung, mulut atau bahagian alat sulit atau menyebabkan rasa sakit pada abdomen yang sukar sembuh.

3. Port-wine (nevus flammeus) Stains

Bagi tanda lahir jenis ini pula, biasanya ia kelihatan lebih rata, berwarna kemerah-merahan, merah jambu atau keungunan. Tanda lahir ini sering kali muncul pada bahagian muka, lengan, leher atau kaki dan ianya akan kekal sampai bila-bila.

Lebih teruk lagi, warna tanda lahir jenis ini boleh bertambah lebih gelap dan tebal seiring dengan peredaran masa. Malah ia juga berkemampuan untuk menghasilkan vascular blebs, iaitu salur darah kecil yang mudah pecah. Daripada ketiga-tiga jenis ini, Port-wine merupakan tanda lahir yang paling memberi kesan kepada pemiliknya.

Rawatan Tanda Lahir

Sehingga ini tiada rawatan yang benar-benar efektif untuk mengatasi masalah tanda lahir. Bagaimanapun, tanda lahir kekal yang menjejaskan rupa paras dan keyakinan diri boleh diatasi dengan rawatan ‘covermark’.

Selain itu, doktor turut menggunakan rawatan laser bagi bagi merawat masalah tanda lahir kekal. Cahaya laser bewarna kuning akan digunakan kerana setakat ini ia agak efektif dalam menghapuskan salur darah abnormal, membolehkan tanda lahir tersebut mengecil ataupun hilang tanpa menjejaskan kulit disekitarnya.

Selepas Menjalani Rawatan Lase (Carolina.com)

Rawatan laser juga boleh merawat masalah tanda lahir jenis port-wine, namun ia hanya sekadar meminimakan kejelasan warna tanda lahir dengan kadar pengurangan antara 50 hingga 90 peratus, namun adakalanya rawatan laser langsung tidak berguna untuk merawat tanda lahir jenis ini.

Pada kami, lahir dengan tanda di wajah atau sebaliknya, tidak menjadikan anda berbeza dengan manusia lain. Berbanding sumpahan, anggap diri anda sebagai unik dan anda tetap menarik dengan cara yang tersendiri.

Sumber : AnhGlobal

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.