Siakap Keli

(Video) Gempa Bumi Kuat Landa Pulau Lombok, Rakyat Malaysia Antara Yang Dilaporkan Terkorban

Gempa bumi berskala 6.5 magnitud melanda destinasi pelancongan popular, Pulau Lombok di Indonesia pada Ahad. Angka korban tercatat setakat ini adalah seramai 10 orang serta berlaku kerosakkan harta di kawasan kejadian, lapor pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan BERNAMA, seorang rakyat Malaysia turut dilaporkan terkorban dalam bencana tersebut. Portal berita tersebut turut menyatakan bahawa mangsa dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30 tahun. Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa masih belum diperoleh setakat ini. Jenazah mangsa ketika ini ditempatkan di Klinik Sembalun, Lombok.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata pihak kedutaan sedang mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian itu.

Gempa bumi tersebut melanda Pulau Lombok awal pagi tadi ketika orang ramai masih lagi sedang tidur. Seramai 12 orang tercedera ketika melarikan diri daripada rumah masing-masing menuju ke kawasan lapang bagi menyelamatkan diri daripada ditimpa runtuhan rumah dan bangunan.

”Kami segera meninggalkan tempat tidur bagi mengelak daripada ditimpa runtuhan rumah,” kata Jean-Paul Volckaert yang memberitahu bahawa dia tersedar sebaik sahaja gempa bumi berlaku.

”Saya meninjau kawasan sekitar, setakat ini tiada kerosakkan besar berlaku. Kami sangat terkejut melihat air di dalam kolam beralun-alun seperti di laut,” katanya lagi.

Pusat gempa bumi itu dikesan 50 kilometer timur laut bandar Mataram, iaitu bahagian selatan Pulau Lombok, kata Pusat Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira pukul 6.47 pagi tadi pada kedalaman kira-kira 7 kilometer sahaja, menjadikan kesan gegaran berlaku dirasai kuat. Gempa kedua menyusul kurang sejam kemudian. Gempa bumi pada skala tersebut dianggap kuat dan berkemampuan untuk menghasilkan kesan bencana lebih teruk.

Menurut Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, pihaknya kini memberi fokus kepada usaha-usaha menyelamat dan pemindahan penduduk-penduduk yang terjejas daripada lokasi kejadian.

Sutopo juga dilaporkan berkata terdapat kira-kira 43 gegaran susulan berlaku selepas gegaran pertama melanda dengan gegaran susulan terbesar berlaku pada skala 5.7 magnitud.

Malah katanya, gempa bumi di Pulau Lombok boleh dirasai sehingga ke Pulau Bali, pulau jiran yang menjadi lokasi pelancongan utama Indonesia.

”Gunung Rinjani akan ditutup buat sementara waktu setelah wujud kebimbangan bahawa lokasi tumpuan pelancong tersebut turut terjejas dalam bencana ini, katanya.

Bencana gempa bumi adalah perkara biasa di Indonesia dengan negara republik tersebut berada di atas lingkaran seismik yang aktik dikenali sebagai ”Lingkaran Api” mengelilingi Laut Pasifik.

Bagaimanapun, tiada kejadian tsunami dilaporkan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=RNDUDxKrbf8]

 

Sumber : Reuters , BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.