Siakap Keli

Mahkamah Rayuan Benarkan Anak Luar Nikah Berbinkan Bapa

Beberapa hari lalu, sebuah akhbar tempatan ada melaporkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan bapanya, walaupun ia bertentangan dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Keputusan itu dibuat oleh tiga panel hakim yang berpendapat bahawa anak yang dilahirkan di luar nikah layak berbinkan bapanya menurut undang-undang negara.

Keputusan tersebut sekali gus menolak keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak semakkan kehakiman yang dibuat oleh ketiga-tiga perayu; kanak-kanak anak luar nikah berusia 7 tahun serta ibu dan ayahnya.

Mahkamah Rayuan juga membuat keputusan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bertindak di luar bidang kuasanya apabila mendaftarkan ”Abdullah” sebagai nama bapa kepada kanak-kanak tersebut.

Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu yang beragama Islam, berkahwin pada 24 Oktober 2009 manakala kanak-kanak lelaki tersebut dilahirkan pada 17 April 2010 iaitu 5 bulan 24 hari (kalendar masihi) atau 5 bulan 27 hari (kalendar Qamariah Islam) selepas tarikh perkahwinan.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini menetapkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau mana-mana lelaki yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, anak tidak sah taraf adalah :

1. Anak yang dilahirkan akibat perbuatan zina atau akibat rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

2. Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah (2 saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tersebut telah mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam, ulama dan ahli perundangan Islam, mengikut laporan yang dibuat oleh satu lagi akhbar tempatan.

Akhbar tersebut turut membawa pendapat daripada beberapa orang mufti dan bekas mufti yang berkata mahkamah perlu merujuk dan menghormati fatwa yang sudah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum membuat sebarang keputusan kerana perbuatan memberi kebenaran itu melanggar syarak.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan itu disokong oleh seorang mufti terkenal sebuah negeri yang berpendapat keputusan itu seiring dengan fatwa negerinya yang membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapanya.

Malah, akhbar yang sama turut melaporkan bahawa mufti tersebut mendakwa fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan itu menzalimi anak terbabit dan ibu bapanya sepanjang hayat.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.