Siakap Keli

Selepas Lebih Empat Tahun, Akhirnya Laporan Penyiasatan Kehilangan MH370 Didedahkan

Satu pasukan penyiasatan bebas yang menyiasat misteri kehilangan pesawat MH370 akhirnya mendedahkan laporan penyiasatan mereka, lebih empat tahun selepas tragedi tersebut berlaku.

Bagaimanapun melalui laporan tersebut, pasukan penyiasat tidak dapat memberikan jawapan tepat bagi menjawab punca pesawat tersebut hilang tanpa berita.

Melalui laporan yang sama, penyiasat menegaskan bahawa pesawat yang dalam penerbangan ke China dari Kuala Lumpur itu mengubah haluan secara sengaja dan terbang selama 7 jam selepas komunikasi terputus. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa punca kehilangan tersebut tidak dapat dikenalpasti dan ”kemungkinan campur tangan pihak ketiga tidak boleh diabaikan”.

‘Kami tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian ini berlaku. Tidak, sehinggalah pesawat itu ditemui,” kata ok Soo Chon, Ketua Pasukan Penyiasat.

Laporan ini didedahkan dua bulan selepas kerajaan Malaysia menamatkan operasi pencarian bawah air yang dijalankan oleh sebuah firma swasta untuk mengesan kedudukan bangkai pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang. Kehilangan MH370 pada 8 Mac, 2014 itu dianggap salah satu daripada misteri terbesar yang pernah terjadi dalam dunia penerbangan.

Penyiasat ketika ini sedang mencari jawapan kepada soalan kenapa pesawat jenis Boeing 777 dengan kod penerbangan MH370 mengubah haluan, jauh daripada laluan asal dan terbang ke Lautan India. Malah, penyiasat juga percaya, transponder pesawat tersebut dimatikan oleh seseorang dengan sengaja sebelum pesawat tersebut terbang ke haluan berbeza.

Laporan tersebut bagaimanapun bukanlah laporan akhir memandangkan pesawat tersebut masih belum ditemui. Perdana Menteri Malaysia sebelum ini turut berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyambung semula pencarian pesawat itu sekiranya bukti-bukti baru ditemui.

Sumber : Today Online, AP News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.