Siakap Keli

Terima Aduan Ramai Doktor Pelatih’Dicabul’, Badan Penyiasatan Bebas Mula Siasat – Menteri

Sebuah Badan Penyiasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital, kata Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya badan penyiasatan itu menggabungkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan.

Beliau berkata penubuhan badan itu hasil mesyuarat pengurusan tertinggi KKM bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Timbalan Menteri Hannah Yeoh lewat petang ini, bagi membincangkan tindakan wajar diambil.

“Susulan pembongkaran kes ini, lebih ramai pegawai perubatan termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan yang serupa kepada pejabat Menteri Kesihatan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pelbagai saluran.

“KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, lisan, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat e-mel [email protected],” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menegaskan bahawa KKM memandang serius isu berkenaan, Dr Dzulkefly berkata KKM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan itu.

Pada Ahad, laporan muka depan akhbar The Star bertajuk ‘A sex predator is in the house’ menyebut terdapat seorang Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital KKM di Lembah Klang, beberapa kali membuat gangguan seksual terhadap beberapa Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di bawah seliaan beliau. – Bernama

Nur Farra