Siakap Keli

32.4 Juta Jumlah Rakyat Malaysia, Ternyata Tahun 2018 Lelaki Lebih Ramai Dari Wanita

JUMLAH penduduk Malaysia yang terkini dianggarkan seramai 32.4 juta orang bagi tahun 2018. Menurut laporan Jabatan Statistik Malaysia, angka itu menunjukkan peningkatan jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sebanyak 1.1 peratus berbanding 2017.

Jabatan itu turut memperincikan lagi jumlah itu kepada nisbah jantina bagi lelaki, 16.7 juta dan wanita, 15.7 juta.  Mungkin selama ini ramai yang menyangka, jumlah wanita lebih ramai daripada lelaki, tetapi hakikatnya, tahun ini menyaksikan nisbah jantina bagi tahun 2018 kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan berbanding 2017.

Walaupun kita lihat kaum wanita mendominasi pusat pengajian tinggi mahupun sektor pekerjaan awam khususnya, namun sangkaan itu sama sekali meleset. Walau apa pun persoalan yang timbul, statistik tetap statistik.

Anggaran semasa ini dibuat dengan mengambil kira 3 komponen utama perubahan penduduk iaitu kelahiran, kematian dan penghijrahan.

Sementara itu, peratusan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) pada 2018 menurun daripada 24.1 peratus pada 2017 kepada 23.8 peratus.

Manakala peratusan penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6 peratus pada 2017 kepada 69.7 peratus pada 2018.

Peratusan penduduk 65 tahun dan lebih (umur tua) pula meningkat daripada 6.3 peratus kepada 6.5 peratus bagi tempoh yang sama.

Peningkatan komposisi penduduk umur bekerja dan umur tua memberi kesan kepada peningkatan umur penengah pada 2018 iaitu 28.6 tahun.

Statistik

Sumber: Jabatan Statistik Negara

Nur Farra