Siakap Keli

Thailand Bakal Jadi Negara Asia Pertama ‘Halalkan’ Penggunaan Ganja Dalam Perubatan

Thailand yang sebelum ini terkenal antara negara mempunyai undang-undang ketat membabitkan pengedaran dadah, mungkin akan meniru langkah yang dibuat oleh Kanada dan beberapa lagi negara dan menjadi negara Asia pertama yang akan membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan.

Alasan Thailand untuk mengambil tindakan sedemikian rupa adalah ia sangat menguntungkan ekonomi mereka. Thailand suatu ketika sekitar tahun 80-an merupakan negara utama pengekskport ganja di dunia dikatakan turut mahu mendapatkan semula manfaat daripada pasaran ganja dunia yang dianggarkan bernilai USD 12.8 bilion ketika ini.

Dengan beberapa negera luar mula membenarkan penggunaan ganja dalam dunia perubatan, Organisasi Farmasi Kerajaan (GPO) di bawah Kementerian Kesihatan Awam ketika ini sedang memujuk kerajaan tentera untuk meluluskan usul tersebut.

”20 tahun yang lalu, benih pokok ganja yang terbaik adalah daripada Thailand. Tetapi kini, Kanada menjadi pembekal ganja paling berkuali di dunia dan Thailand tidak boleh menfikannya.

‘Sebab itulah, kita kena bangunkan semula industri ini,” kata Dr. Nopporn Cheanklin, Pengarah Urusan GPO.

Terdahulu, kerajaan tentera Thailand dilaporkan telah memberi kebenaran kepada pasukan penyelidik untuk menjadikan manusia sebagai bahan eksperimen untuk menguji manfaat ganja sebagai ubat.

Pasaran ganja dunia dijangka akan mencecah USD 23 bilion menjelang tahun 2022, dengan anggaran pertumbuhan sebanyak 22 peratus untuk lima tahun akan datang. Ketika ini, pasaran ganja dunia didominasi oleh dua negara berjiran, Amerika Syarikat dan Kanada dengan penguasaan sebanyak 41 peratus pasaran.

Menurut laporan Bloomberg, Kanada dan Uganda merupakan antara negara terawal yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi manakala Jerman pada tahun 2017 menjadi negara terkini yang membenarkan penggunaan ganja dalam dunia perubatan.

Bagaimanapun, Thailand mungkin tidak memerlukan masa yang lama untuk kembali sebagai kuasa dalam pasaran ganja atas beberapa alasan antaranya kos tenaga buruh lebih murah dan fakta bahawa Thailand sebuah negara tropika yang disimbah dengan cahaya matahari sepanjang tahun. Ini bermakna, pengusaha tidak memerlukan kos tambahan untuk memasang lampu tiruan dan selain boleh memanfaatkan pengalaman Thailand sebelum ini.

Kajian-kajian yang dibuat sebelum ini mendapati bahawa ganja mungkin boleh digunakan untuk merawat beberapa penyakit antaranya masalah parkinson, kanser, sawan dan autism. Manakala penanaman ganja di Thailand sebelum ini bertujuan untuk merawat penyakit seperti nausea dan membantu wanita untuk bersalin.

Bagaimanapun undang-undang Thailand ketika ini membolehkan mana-mana individu yang didapati memiliki ganja dipenjara sehingga 15 tahun.  Malah ganja turut disenaraikan sebagai dadah kategori lima, sama seperti ketum dan cendawan khayal (psychoactive mushrooms).

Sumber : Bloomberg

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.