Siakap Keli

Jangan Panik, Ini Langkah-Langkah Awal Anda Perlu Buat Sekiranya Telinga Dimasuki Serangga

Sudah menjadi fitrah seorang kanak-kanak, sudah tentu sentiasa mahu bermain dan meneroka benda baru. Kalau tinggal di kota, habis satu rumah akan diselongkarnya, kalau di kampung, semua semak samun akan dimasukinya. Kadang-kadang, si ibu dan ayahnya pun naik pening fikir macam mana nak pantau 24 jam aktiviti harian anak masing-masing.

Risau takut-takut terjadi kemalangan dalam rumah. Kalau di kampung pula, risau anak-anak disengat binatang berbisa, betul tak? Tapi korang pernah tak berhadapan dengan situasi di mana telinga anak anda dimasuki serangga? Entah dimana dia main sampai serangga pun boleh masuk dalam telinga. Anda mesti panik kan, tambah-tambah bila anak anda menangis tak sudah-sudah.

Nak pergi hospital jauh, sementara nak sampai tu takkan nak biar serangga tu singgah lama-lama dalam telinga anak anda, atau barangkali telinga anda sendiri kan?

Jangan risau, Dr. Mohd Shaiful Nizam ada panduannya. Jom baca artikel di bawah untuk ketahui langkah-langkah awal yang anda perlu buat sekiranya telinga anda ataupun anak anda dimasuki serangga. Semoga bermanfaat.

Dr. Mohd Shaiful Nizam

“Dr, tolong tengokkan telinga anak saya, nampak macam ada serangga. Dia asyik menangis dan sakit dalam telinga” – Ini adalah situasi yang saya alami di klinik 2 hari yang lepas.

Ingin tahu apa LANGKAH-LANGKAH AWAL jika serangga memasuki telinga anda? Follow di bawah :

1) JANGAN PANIK/KALUT

Ini sangat penting, bukan sahaja bagi kanak-kanak, tetapi untuk orang dewasa juga (jangan terkejut, saya pernah dapat pesakit dewasa yang sangat agresif). Untuk ibu bapa, cuba tenangkan anak-anak anda dengan komunikasi yang berkesan.

2) JANGAN CUBA MASUKKAN “COTTON BUDS” / BESI / KUNCI KE DALAM TELINGA

Ini perkara yang sangat biasa berlaku. ELAKKAN!!! Kerana ia boleh menyebabkan serangga itu semakin tertolak ke dalam telinga dan juga berisiko untuk cederakan saluran telinga termasuk gegendang telinga.

3) TITISKAN OLIVE OIL / MINYAK ZAITON KE DALAM TELINGA

Ini boleh melemaskan / mematikan serangga tersebut agar tidak berlaku komplikasi yang lain disebabkan oleh serangga tersebut, lebih-lebih lagi bagi serangga yang agak besar.

4) ANDAI NAMPAK IA DILUAR, KELUARKAN.

Jika bernasib baik, bagi serangga yang sudah nampak keluar di hujung lubang/cuping telinga, boleh keluarkan samada gunakan jari anda (jika dapat) atau pengepit kecil yang boleh tangkap serangga tersebut.

5) MASIH DI DALAM, SEGERA KE HOSPITAL

Walaupun rasanya serangga itu sudah mati , anda perlu SEGERA ke Hospital untuk Doktor keluarkan kerana andai dibiarkan di dalam telinga walaupun serangga itu sudah mati, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman telinga boleh berlaku.

Sumber : Dr. Mohd Shaiful Nizam

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.