Siakap Keli
fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jenazah Ikon Penyiaran Negara, Allahyarham Mahadzir Lokman Selamat Dikebumikan

Semalam, negara digemparkan dengan berita sedih pemergian Ikon penyiaran negara, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, dan hari ini portal berita BERNAMA melaporkan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut BERNAMA, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Kolej Islam Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya kira-kira 9.35 pagi sebelum disolat dan dikebumikan kira-kira . 10.10 pagi.

fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Majlis pengebumian tersebut yang diselubungi suasana pilu turut dihadiri ratusan anggota keluarga, rakan artis dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan akhir kepada Allahyarham.

Ida Lokman, adik kepada Allahyarham memberitahu bahawa arwah abangnya seorang yang sangat rapat dengan keluarga malah sentiasa memberi galakkan kepadanya semasa beliau kehilangan suami 15 tahun lepas.

“Abang saya (Mahadzir) seorang yang bermotivasi dan saya sering dimotivasi olehnya untuk terus berusaha dan berjaya dalam hidup.

“Saya mendengar nasihatnya kerana itulah saya mampu untuk berdikari demi membesarkan anak-anak saya,” katanya.

Kata Ida lagi, arwah abangnya itu meninggal dunia selepas menunaikan solat Subuh akibat kesukaran bernafas dan ditemui terbaring di atas bkatil di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Arwah mungkin kepenatan akibat sering ‘travel’ atas urusan kerja. Tambah, arwah bukannya sihat sangat kebelakangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi rock tanah air, Amy Search berkata, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar dalam industri penyiaran negara dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang kelakar dan suka mengusik rakan-rakannya.

“Kali terakhir saya jumpa beliau (Mahadzir) adalah di sebuah majlis Hari Raya Aidilfitri lalu, di mana waktu itu Allahyarham masih sihat. Kami memang rapat dan beliau sangat menyayangi kawan-kawannya, saya amat terkejut dengan pemergian Allahyarham dan saya akan rindukan usikan dia,” katanya.

Bagi Pengerusi Yayasan Artis Malaysia, Datuk DJ Dave pula, Allahyarham adalah seorang Master of Ceremonies (MC) yang mempunyai kepakaran dan sentiasa berjaya menghidupkan suasana ketika mengacarakan sesuatu majlis.

Ida Lokman – fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Beliau seorang yang kelakar dan pandai menarik perhatian orang ramai ketika menjadi pengacara, seorang yang serba boleh kerana boleh menjadi penyanyi dan pelakon dalam satu masa. Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Menurut BERNAMA, Allahyarham Mahadzir yang disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi semalam dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang dihidapinya, pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Mahadzir memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita bahasa Malaysia dan Inggeris pertama di stesen TV3, pada tahun 1984 dan pernah menjadi pengacara pertama bagi beberapa program televisyen terbitan stesen itu, antaranya Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.

Allahyarham kerap diundang sebagai pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa kerana kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.