Siakap Keli

”Macam Tu Je Keputusannya, Kata Anak Pensyarah?”, Tak Cemerlang Akademik Inilah Anak Yang Paling Membanggakan

Kecemerlangan akademik sering menjadi kayu ukur kepada pencapaian seseorang. Mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran selalunya akan dipinggirkan kerana dikatakan tidak pandai atau mempunyai masa depan yang baik. Tambahan pula jika lahir dari latar belakang keluarga yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

Pemikiran sebegini seharusnya diubah kerana setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Ada anak yang pandai belajar tapi tidak tahu melakukan perkara lain. Ada yang lemah dalam akademik, tapi dia cemerlang dalam kokurikulum.

Seperti coretan ibu ini, Puan Ezatul Marini berkenaan anak lelakinya yang sejak kecil tidak mempunyai pencapaian akademik yang baik. Puas disindir dan diperli dek kerana ayat keramat ‘kepandaian harus diwarisi’ memberi satu tamparan hebat kepada mereka. Tapi siapa sangka anak yang dulunya tidak cemerlang akademik, kini dia paling membanggakan mak ayah.

”Ishhh, takkan macam itu je keputusannya? Kata anak pensyarah, anak cikgu.”

“Hai takkan mak ajar English, ayah ajar Matematik, anak tak boleh score dua subjek ni?”

Biasa. Dah terlampau selalu dan biasa kami dihenyak dengan terjahan sebegitu. Bukan sekali dua juga kami disindir perli dek kerana tidak direzekikan anak yang cemerlang akademik.

Syamil, sebaik pandai bertutur sudah saya sediakan dengan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Tidak lupa juga asas ilmu agama yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk diajarkan kepada anak-anak.

Namun, segalanya seolah tidak menurut perancangan asal kami. Syamil tidak berkembang menjadi anak yang bijak, pencapaian akademiknya hanya sederhana. Beliau selalu diletakkan di kelas kedua hujung kalaupun tidak di kelas paling belakang.

Saya tidak dapat membayangkan apa perasaan abahnya bila terpaksa menelan perasaan terkilan kala menerima keputusan UPSR yang diumumkan. Biarpun tidak berkata apa-apa, dari riak wajahnya saya pasti sang abah menyimpan rasa kecewa namun berjaya disorokkan dengan terus-terusan memberi semangat dan dorongan kepada si anak.

Berbeza sekali dengan saya yang menangis hiba hingga tidak mampu memandang wajah anak dek rasa sedih dan terkilan. Bertubi-tubi saya mengasak anak yang tentu sekali juga sedang sedih dengan pertanyaan dan kecaman yang bila difikirkan semula tidak sepatutnya saya hamburkan sama sekali kepadanya.

“Rupanya untuk reda itu tidak mudah sama sekali. Meminta orang untuk reda dan sabar itu sangat mudah tetapi bila ia terjadi kepada diri sendiri…nyata sebaliknya” seorang rakan baik memujuk saya yang akhirnya sudah mula mampu menerima tamparan pertama cabaran “kepandaian itu bukan boleh diwariskan”.

Gambar Hiasan

Melepasi pendidikan menengah rendah, Syamil masih menunjukkan prestasi yang sederhana. Namun, anak ini ada kelebihan dalam bidang sukan, kepimpinan dan beliau menyerlah dalam aktiviti kokurikulum hingga mampu mewakili sekolah dan daerah.

Anak ini juga punya daya tarikan paling istimewa…beliau tertib dan beradab. Kejamnya saya sebagai ibu, saya masih belum mampu mengiktiraf kebolehannya yang bukan berasaskan pencapaian akademik. Jarang saya menunjukkan sokongan pada sebarang pencapaian bukan akademiknya.

Pengumuman keputusan peperiksaan PT3 seolah menjadi tamparan kedua kepada kami. Harapan saya untuk menghantar Syamil ke sekolah yang lebih berprestij nyata buntu. Apalah ikhtiar saya untuk memberikan sokongan dan dorongan pada anak ini.

“Syamil nak minta masuk Kolej Vokasional, Abah”.

Abahnya sedikit tidak membantah malah dengan senang hati mengaturkan temujanji untuk berbincang dengan kaunselor sekolah si anak. Kami maklum, Syamil sangat meminati bidang perikanan…dari kecil, apa sahaja yang ada kaitan dengan bidang itu amat disukainya. Saya hanya menurut apabila beliau nyatakan keinginan memohon bidang Akuakultur di KV biarpun kurang pasti apakah prospek dan potensi bidang tersebut.

“KV? Ada masa depan ke tu kalau masuk ke situ?”

Saya seolah hendak jeritkan pada mereka yang masih bertanya, sekiranya kami sebagai ibu bapa sedang mencuba sedaya upaya menyetujui dan menyokong, tidakkah mereka mampu untuk membantu kami dengan menunjukkan sokongan yang sama?

Hari ini, Syamil sudah di semester akhir Pengajian Diploma Akuakultur. Semasa cuti semester Disember 2017, beliau nyatakan hajat pada Abahnya.

“Abah boleh tak modalkan Syamil untuk beli tangki dan benih ikan keli? Syamil nak mula ternak ikan keli di rumah, besar nanti boleh jual”

Melihatkan semangatnya, kami bersetuju sumbangkan sedikit dana untuk beliau mulakan usaha kecilnya.

“Wah! Bagus Syamil, banyak ni ikannya. Kalau macam ni habis belajar nanti bolehlah mula ternak komersial” seronok benar dia bila atok memberi komen spontan semasa melawat kami pada penghujung Disember lalu.

Dan Alhamdulillah, pada petang 15 Ramadan lalu, dalam hujan lebat, abahnya dan saya bantu mengedarkan tempahan ikan keli siap siang dan cuci hasil ternakan kecil-kecilan anak kami kepada rakan-rakan yang telah membuat pesanan. Dengan ilmu dan kemahiran yang dikutipnya selama di kolej, dia mulakan usaha awal di rumah.

Sesungguhnya di penghujung petang separuh Ramadan itu, sambil menantikan waktu berbuka, saya termenung panjang mengenangkan selama 2 tahun pengajian sijil dan lebih setahun pengajian diplomanya, saat ini memberikan saya rasa yang amat berlainan.

Hari ini Allah berikan saya peluang mengutip pengajaran dari setiap satu bentuk ujian yang telah dikirimkan melalui pengalaman anak kami.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”

Pada suatu masa dahulu saya pernah merasa teramat kecewa kerana anak yang seorang ini nyata tidak mampu untuk memenuhi apa sahaja impian dan perancangan saya mengenai dirinya, dan akhirnya saya terpaksa menerima untuk menitipkan beliau di ladang ilmu dan kemahiran yang tidak pernah tersenarai dalam institusi pilihan.

Anak ini juga mengajarkan saya tentang hakikat anak yang baik bukan diukur hanya pada kecerdasan minda. Pelik kan? Sebagai seorang guru seharusnya saya maklum tentang perkara itu. Ya, saya amat maklum namun jauh di sudut hati pada suatu masa dahulu masih tersemat ilusi tidak realistik tentang hakikat itu.

Hari ini saya melihat betapa bangga seorang abah tatkala menghulurkan bungkusan ikan keli yang dipesan pembeli.

“Wahhh bagus Syamil, belum habis belajar tapi dah praktikkan apa yang dia belajar. Muda lagi dah ada minda usahawan”

Sesungguhnya dari senyum lebar sang abah, saya pasti beliau amat berbangga.

Terima kasih Allah, kurniakan kami pengajaran bermakna melalui anak ini
Terima kasih anak, memberi abah dan ummi pengalaman belajar banyak ilmu hidup yang tidak dituliskan dalam mana-mana buku. Alhamdulillah….

Sumber : Ezatul Marini

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di