Siakap Keli

Bukan Graduan Saja, Orang Ramai Pun Keliru Antara Resume Atau CV Mana Lagi Banyak Diterima Untuk Mohon Kerja?

Pernahkah anda berada dalam situasi dimana anda telah memohon di banyak syarikat yang menawarkan jawatan kosong, namun semuanya senyap dan tidak memberi maklum balas kepada anda?

Sehingga hari ini, dikatakan masih ramai lagi di luar sana yang keliru antara CV (curriculum vitae) dan Resume. Kalau anda nak tahu, kekeliruan ini juga mungkin menjadi punca anda tidak dipilih untuk sebarang panggilan temuduga.

Resume

Resume berasal dari perkataan Perancis yang  bermaksud ‘ringkasan‘ dan merupakan ringkasan kepada:

  1. Latar belakang pendidikan si pemohon
  2. Kemahiran dan kebolehan si pemohon yang berkaitan dengan kerja yang dipohon
  3. Latar belakang pengalaman kerja sebelumnya
Gambar : Novoresume

Kebiasaannya, resume hanya memerlukan antara 1 hingga 2 muka surat sahaja. Resume yang melebihi 2 muka surat adalah dianggap tidak professional dan kebiasaanya majikan tidak berminat untuk membaca resume yang panjang.

Mereka hanya berminat untuk tahu maklumat pemohon yang berkaitan dengan skop kerja syarikat mereka sahaja. Jadi adalah penting untuk kita tahu kehendak majikan dalam resume supaya mereka berminat memangil kita untuk ditemuduga (Rujukan 1).

Kurikulum Vitae (Curriculum Vitae)

CV dari perkataan LATIN yang bermaksud ‘perjalanan hidup’. Jadi, ianya lebih terperinci dari resume. Disebabkan itu, bilangan muka surat CV lebih banyak dari resume iaitu antara 2 hingga 3 muka surat bergantung kepada maklumat yang diisi si pemohon(Rujukan 2).

Gambar : Kickresume

Namun, jangan melebihi 3 muka surat kerana CV yang terlalu panjang dianggap sebagai melobi diri sendiri. Dalam CV, si pemohon akan menjelaskan pengalaman dengan huraian yang panjang manakala resume hanya ringkasan sahaja.

Gambar Pada Resume Atau CV?

Tidak perlu sertakan gambar pada CV. Namun, tidak menjadi satu kesalahan jika si pemohon ingin menyertakan gambar dalam CV mereka. Manakala untuk resume,  lebih baik jika disertakan gambar(Rujukan 2).

Harus diingatkan sekali lagi bahawa resume adalah ringkasan atau review mengenai diri si pemohon. Jadi, pihak majikan juga ingin melihat siapa empunya resume sebagai rujukan.

Bagaimanapun, gambar yang disertakan haruslah kelihatan formal dan profesional. Lebih baik jika si pemohon meletakkan gambar pasport. Gambar selfie? Tidak sama sekali, okay.

Format 

Gambar : Jobs Opening

Untuk CV, si  pemohon perlu mengikut format yang ditetapkan. Format CV adalah seperti (Rujukan 3):

  • Maklumat hubungan si pemohon – Maklumat ini adalah sebagai rujukan untuk pihak syarikat menghubungi si pemohon jika terpilih yang merangkumi nama penuh, alamat tempat tinggal, nombor untuk dihubungi serta email pemohon.
  • Maklumat peribadi si pemohon – Maklumat ini juga penting untuk memberitahu pihak syarikat serba sedikit berkaitan diri pemohon seperti tarikh dan tempat lahir, status perkahwinan, dan status kewarganegaraan pemohon.
  • Sejarah pendidikan – pemohon haruslah memasukkan maklumat sejarah pendidikan pemohon dari sekola menengah sehinggake peringkat universiti beserta keputusan akademik.
  • Sejarah Pekerjaan – dalam susunan kronologi, termasuk butiran dan tarikh kedudukan.
  • Kemahiran– memasukkan maklumat kemahiran pemohon seperti kemahiran komputer atau kemahiran-kemahiran lain yang dapat membuatkan bakal majikan pemohon tertarik untuk mengambil mereka bekerja.
  • Kemahiran Bahasa – Dalam CV si pemohon,haruslah menyatakan bahasa yang pemohon mahir dan pada setiap bahasa mestilah menunjukkan tahap iaitu secara bertulis dan secara lisan seperti berikut:-  fasih, baik, sederhana (Rujukan 4).

Pastikan ia teratur dan kemas. Ini akan memudahkan CV pemohon untuk dibaca.

Bagi resume pula tiada format tetap yang perlu diikut. Kreativiti memainkan peranan yang penting bagi menghasilkan resume yang ringkas, padat dan menarik. Resume yang mempunyai info grafik juga boleh menarik minat penemuduga untuk membacanya (Rujukan 2).

Resume datang dalam beberapa jenis, termasuk format kronologifungsi, dan gabungan . Pilih format yang paling sesuai dengan jenis pekerjaan yang anda gunakan(Rujukan 3).

Objektif adalah wajib dinyatakan dalam resume. Biasanya ia diletakkan di bahagian awal/atas resume. Seperti yang tekah dinyatakan tadi, resume lebih straightforward berbanding CV.

Bagaimana Dengan ‘Cover Letter’ ?

Gambar : Monster Jobs

Mungkin ramai antara kita yang lupa untuk menyediakan cover letter. Kadang-kadang tak tahu pun cover letter tu apa. Cover letter adalah ringkasan yang menyatakan tujuan CV anda dihantar.

Ramai juga pemohon yang salah faham mengenai perkara ini. Bagi mereka, cover letter peru disertakan bersama resume dan CV. Sebenarnya, cover letter hanya perlu disertakan bersama CV sahaja kerana resume itu sendiri sudah menyatakan objektif ia dihantar(Rujukan 2).

Bila Nak Guna Resume Atau CV?

CV biasanya digunakan dalam bidang akademik, penyelidikan, dan perubatan dimana pihak majikan bidang tersebut akan memeriksa secara lebih khusus mengikut kelulusan yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon manakala Resume digunakan jika pemohon ingin meminta jawatan selain dari kelayakan akademik pemohon.

Namun, ia tetap bergantung kepada pihak syarikat yang dipohon. Mereka akan memberitahu sama ada mereka inginkan resume ataupun kurikulum vitae untuk dihantar.

Rujukan

  1. Made in UiTM
  2. SAYS
  3. Balance Career
  4. Student Job

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey