Siakap Keli

Sebak, Kira Wang Seringgit Demi Beli Durian, Besarnya Pengorbanan Ayah Untuk Anak

Tidak ramai yang bernasib baik dalam kehidupan. Ada ibu ayah yang terpaksa bekerja keras membanting tulang demi mencari sesuap nasi untuk keluarga. Setiap permintaan anak-anak tetap cuba ditunaikan walau kemampuannya terbatas.

Seperti coretan pengalaman dari Cikgu Syafik ini. Kisahnya cuma sebiji durian, tapi cukup membuatkan air mata bergenang menahan sebak. Teringat pengorbanan ayah yang berhempas-pulas demi menggembirakan anak-anak walau sesusah mana hidup.

KISAH SEDIH TENTANG DURIAN

Saya ada satu kisah sedih tentang durian. Kisah yang membuatkan air mata mengalir setiap kali mengenangkan kisah ini. Kisah realiti yang tak semua orang rasai. Semoga perkongsian kisah ini boleh diambil ibrah kepada para pembaca.

Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas, ketika saya berhenti di sebuah gerai menjual durian di pasar malam. Ketika sedang memilih durian, datang seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama anak lelakinya berusia kira-kira 8 tahun turut membelek-belek durian di sebelah saya.

“Berapa harga sekilo ni?” tanya lelaki tadi kepada penjual.

“Sekilo RM 18 bang,” balas penjual

“Oo…,” diam seketika lelaki tadi sambil berbisik kepada anaknya.

Tiba-tiba anak lelakinya seakan merengek sedikit. Mungkin merajuk. Ketika itu dilihat ayahnya mengeluarkan duit dari poketnya. Dikira sehelai demi sehelai wang kertas RM 1.

Allahu…Nampak sedikit berkerut dahi lelaki tersebut sambil berpatah balik ke gerai tadi. Diambil durian yang bersaiz paling kecil.

“Berapa kilo tu bang?” soalnya kepada penjual.

“900 gram bang. 15 ringgit sudahla bang,”

“Ok, boleh.”

Tersenyum anak kecil tersebut apabila ayahnya membelikan durian.

Kisah realiti yang berlaku di depan mata kita selalu menjadi tazkirah buat diri yang sangat berharga.

Dalam soal ini, saya tak mahu nak salahkan kejamnya peniaga durian hari ini yang menjual durian menggunakan sistem timbang.

Kalau zaman dahulu, tak wujud langsung sistem durian timbang kilo seperti sekarang ini. RM 50, kita boleh dapat 3 atau 4 longgok. Tapi sekarang, sebiji durian boleh mencecah RM 50.

Apa yang merobek emosi saya ketika itu adalah betapa besarnya pengorbanan seorang ayah untuk memenuhi keinginan anaknya. Walau dia tahu kemampuannya terbatas, namun kerana anak emosi seorang ayah boleh tewas.

Justeru, duhai insan yang bernama anak. Jika ayahmu masih dipinjam Tuhan di atas dunia, berbaktilah kembali kepadanya dengan sebenar-benarnya. Andai boleh diundurkan masa, betapa tidak dapat dinilai berapa harga jasa mereka.

Jika mereka sudah kembali kepada Tuhan Pencipta, jangan pernah lekang bibir kita mendoakannya. Moga Allah tempatkan mereka di dalam Syurga.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Kisah tentang durian bukan sekadar menceritakan betapa sedapnya rasa durian atau jenis-jenis durian. Kisah tentang durian ini juga membicarakan tentang kehidupan dan erti kamanusiaan.

Siapa potong bawang malam-malam ni???

Aduh! Sah, kotak tisu abang mana sah?

“Sah” itu merujuk kepada Nor Hafsah Omar.

Sumber : Cikgu Syafik

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.