Siakap Keli

Bekas Naib Presiden Argentina Dijatuhi Hukuman Penjara Lima Tahun 10 Bulan Kerana Rasuah

BUENOS AIRES, 8 Ogos (Bernama) — Sebuah mahkamah di Argentina menjatuhkan hukuman penjara lima tahun 10 bulan terhadap bekas naib presiden Amado Boudou, kerana didapati bersalah melakukan rasuah dan menjalankan urusan perniagaan bertentangan dengan prinsip perkhidmatan awam, lapor agensi berita Xinhua pada Selasa.

Boudou, 55, memegang portfolio itu dari tahun 2011 hingga 2015, ketika di bawah pentadbiran bekas presiden Cristina Fernandez, yang juga tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan serta didenda 90,000 peso (US$3,214).

Boudou disabitkan bersalah oleh mahkamah jenayah persekutuan berhubung kes Ciccone, yang mana beliau didakwa memperoleh keuntungan menerusi pemberian kontrak kerajaan kepada Percetakan Ciccone, satu-satunya syarikat swasta yang dibenarkan mencetak wang.

Kes tersebut dibicarakan sejak 2012, turut menyaksikan bekas pemilik syarikat cetakan itu Nicolas Ciccone didakwa melakukan penyelewengan. Bagaimanapun, Boudou menafikan semua tuduhan itu.

“Ahli politik yang menuruti jejak mereka yang berkuasa, tidak berdepan masalah. Sebaliknya, ahli politik yang cuba untuk mengubah realiti akan dianiaya, pertamanya oleh pihak media dan kemudian oleh sistem perundangan,” kata Boudou.

Sementara itu, ketua badan anti-rasuah nasional, Laura Alonso, memuji perbicaraan kes tersebut yang dianggapnya sebagai bersejarah.

”Buat kali pertama di Argentina, bekas naib presiden disabitkan bersalah. Institusi kehakiman bebas untuk menghukum mereka yang dibuktikan bersalah melakukan rasuah,” tambahnya.

— BERNAMA

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu