Siakap Keli

Facebook Mohon Maaf Selepas ‘Raikan’ Bencana Gempa Bumi Lombok Dengan Animasi Belon Terbang

Facebook pada Rabu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Indonesia selepas pengguna Facebook yang membuat ucapan ‘selamat’ kepada mangsa-mangsa bencana gempa bumi di Lombok mendapati ucapan itu dihiasi dengan belon dan konfetti.

Gempa bumi berukuran 6.9 magnitude melanda Pulau Lombok pada Ahad, membunuh sekurang-kurangnya 347 orang dan menyebabkan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal, mengikut laporan agensi berita milik kerajaan Indonesia, Antara.

Ramai daripada rakyat Indonesia berkongsi status di laman Facebook yang mengandungi perkataan ‘selamat’, yang bermaksud ‘selamat (to survive)’, dan juga boleh membawa maksud ‘selamat (congratulation)’, sekaligus mengaktifkan fungsi sambutan yang disediakan oleh laman sosial tersebut.

”Ciri itu (animasi automatik untuk kiriman ‘congratulation’) digunakan secara meluas oleh Facebook di seluruh dunia,” kata jurucakap syarikat pengendali laman sosial terbesar di dunia itu melalui satu kenyataan.

”Bagaimanapun kami kesal kerana ciri tersebut berfungsi dalam konteks yang salah. Oleh itu, kami telah menutup ciri tersebut untuk pengguna-pengguna kami di Indonesia,” katanya lagi.

Ramai pengguna-pengguna Facebook yang terkandas di pulau tersebut telah menggunakan kemudahan Facebook’s Safety Check yang dilancarkan pada tahun 2014 yang membolehkan seseorang menghantar pesanan kepada ahli keluarga mengenai situasi mereka selepas terperangkap dalam bencana.

Sumber : Reuters

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.