Siakap Keli

Prediksi Mencipta Analogi Kematian Kelab 27

Semua Manusia ‘Dikejar’ Kematian 

Bunga melur bunga melati,
Tumbuh di samping pohon angsana,
Sesiapa yang hidup pastikan mati,
Bila suratan ajal tiba (1).

Dalam bahasa Yunani ‘kematian’ disebut sebagai thanatos. Thanatos menghuraikan tentang semua perkara berbahaya dan ancaman kematian. Ia juga menginterpretasikan keadaan seseorang yang nazak melalui saat kematian yang tidak terungkap dek mata kasar(2). 

Simpson (1895) menafsirkan kematian sebagai satu proses yang boleh diketahui secara klinikal melalui pemerhatian perubahan yang berlaku kepada seseorang (mayat). Perubahan akan berlaku selepas pemberhentian bekalan oksigen. Manifestasi daripada keadaan itu dapat dilihat selepas beberapa minit dan jam.

Kematian menurut Papalia (2008) adalah satu fakta biologi yang memiliki aspek sosial, kebudayaan, sejarah, keagamaan, psikologi, perubatan dan etika. Semua aspek tersebut mempunyai hubungkait antara satu sama lain. Pihak Perubatan Forensik dan Toksilogi juga menambah bahawa kematian boleh ditakrifkan sebagai pemberhentian fungsi badan yang lengkap dan tidak dapat dipulihkan terutamanya otak, peredaran darah dan pernafasan (3).

Sumber : The Telegraph

Kita sendiri sebagai manusia tertanya-tanya mengapa manusia begitu mencintai kehidupan dan membenci kematian. Nyata jawapannya sudah diketahui, kerana kehidupan merupakan ‘penipuan’ yang sangat indah manakala kematian merupakan ‘kebenaran’ yang jujur. Manusia lebih memilih penipuan yang terlihat berbanding kematian yang ‘tersembunyi’.

Semua makhluk di dunia ini akan merasai mati, namun bila dan di mana masih menjadi sebuah enigma. Kematian adalah pasti dan tidak akan tertangguh hatta satu saat! Tiada apa yang dapat menghalangnya waima wang berjuta sekalipun. Bahkan kekayaan tidak mampu ‘menyogok’ maut!

Radiasi ‘Mitos Keunggulan’ Kelab 27

Tragedi menjadi sebuah sejarah, sejarah membentuk sebuah lagenda dan lagenda mencorak sebuah mitos. Mitos kembali ‘membina’ obsesi masyarakat untuk mengetahui tentang ‘hakiki’ sebuah tragedi. Ya, semuanya akan berputar dan berulang ke titik asal.

Malam (3 Julai 1969)

Jari Anna Wohlin menari-nari di permukaan telefon rumah cuba menghubungi hospital berdekatan. Jantungnya berdentum mahu pecah. Baru sebentar tadi dia datang ke rumah kekasih hatinya itu. Dia melaung-laung nama lelaki itu, diam tanpa jawapan.

Sewaktu ‘meliar’ ke kolam rendang, matanya tertancap pada sekujur tubuh yang tenggelam di dasar. Ya tuhan! Jones!

Lekas dia tuju ke arah tubuh kaku tersebut, kudrat wanitanya tak mampu mengangkat sekaligus tubuh kekar itu. Apa yang dia buat adalah menarik tangan lelaki itu hingga ke tepi kolam, lantas dia memeriksa nadi kekasihnya itu, masih hidup!

Brian Jones (Sumber : Gloucestershire Live)

Anna menangis teresak-esak sewaktu pasukan kecemasan sampai. Namun tangisan tersebut tidak mampu ‘memberi nyawa’ kepada Brian Jones, seorang penyanyi, penulis lirik, pemain gitar dan harmonika kumpulan terkenal Rolling Stones. Kekasih hatinya itu disahkan mati akibat kegagalan fungsi hati dan jantung berikutan pengambilan alkohol serta dadah yang berlebihan (4).

Setahun kemudian (18 September 1970)

Monika Dannemann tersedar daripada lenanya. Dilihat wajah lelaki disebelahnya, Jimi Hendrix , seorang pemain gitar dan pencipta lagu terhebat di Amerika malah mungkin suatu hati bakal ‘terlukis’ sebagai lagenda dunia. Betapa beruntungnya dia dapat memiliki lelaki tersebut.

Jimi Hendrix (Sumber : Billboard.com)

Dannemann menepuk-nepuk tubuh Hendrix, cuba untuk menggugah lena mengejutkan lelaki itu. Tiada reaksi. Eh, Hendrix masih bernafas! Tapi kenapa dia tak sedar? Kenapa dia tidak bangun? Wanita itu panik lantas menelefon ambulans.

Sampai sahaja di hospital  St Mary Abbot’s, Doktor John Mannister  mengesahkan bahawa Hendrix telah ‘tiada’. Hendrix dikatakan maut akibat tertelan muntahnya sendiri. Bukan sesuatu yang enteng apatah lagi bahan jenaka!

Ia adalah satu ‘tragedi’ yang dipanggil sebagai pulmonary aspiration. Ini disebabkan oleh kemasukkan bahan seperti makanan, minuman, kandungan perut dari saluran oropharynx atau gastrointestinal ke kotak suara dan saluran lebih rendah. Akibat kemasukkan bahan tersebut ke saluran yang salah, individu itu akan menarik nafas sambil ‘menarik’ bahan asing tersebut. Akibatnya, individu tersebut akan mengalami kesesakan nafas dan termuntah (5).

Juri mahkamah mengatakan kematian Hendrix sangat mencurigakan, mereka tidak menolak dakwaan bahawa Hendrix berkemungkinan cuba membunuh diri (tanpa niat yang jelas). Doktor juga mengesahkan bahawa Hendrix telah makan 9 biji tablet pil tidur  Vesparax iaitu 18 kali ganda dari dos yang disyorkan (6).

Kedudukan Oropharynx (Sumber: Cancer.gov)

17 hari selepas itu (4 Oktober 1970)

Paul Rothchild ralit membelek jam di tangannya. Dia mengingat kembali jadualnya, hari ini sepatutnya dia merakam trek suara ‘mutiara kesayangannya’ Janis Joplin untuk lagu Buried Alive in the Blues. Ah! Sudah tengahari tapi kenapa artis rakamannya itu masih belum muncul? Tidak mahu urusannya hari ini tertangguh, lantas didail nombor pengurus Joplin.

John Cooke menekan kuat pedal minyak menzahirkan geram dengan artis bawah pengurusannya itu. Sudah di telefon berkali-kali tetapi tidak diangkat! Nah, sekarang dia perlu bersusah payah mencari ke hingga ke bilik bernombor 105 di Landmark Motor Hotel (7).

Janis Joplin (Sumber: Nextribe.com)

Tombol pintu dipulas kasar, Cooke melilau mencari gentayangan Joplin. Tiada. Kakinya diorak menuju ke ruangan berkatil. Mata terbuntang apabila melihat sekujur tubuh terbongkang di tepi katil! Joplin! Cooke berlari mendapatkannya, digoncang tubuh wanita itu namun tiada reaksi.

Joplin disahkan meninggal akibat dos dadah yang berlebihan dan ditambah dengan pengambilan alkohol (banyak) pada waktu yang sama. Menurut Cooke, Joplin dipercayai diberikan dos yang berlebihan oleh pembekal berikutan terdapat beberapa pelanggan yang mati pada minggu itu (8).

Setelah setahun berlalu (3 Julai 1971)

Pamela Courson terduduk. Air mata merembes keluar dari liang matanya. Sedih? Marah? Pilu? Semua perasaan bercampur baur. Dia langsung tidak menyangka perubahan temannya itu memberi petunjuk ‘pemergiannya’.

Dia melihat sendiri perubahan radikal Morrison. Morrison lebih suka menghabiskan masa berkhayal, bersendirian dan berjalan tanpa arah keliling bandar. Malah Morrison juga mencukur jambang kebanggaannya!

Jim Morrison (Sumber: The Telegraph UK

Terbayang di tubir mata Courson tubuh susut Morrison ‘terdampar’ dalam tab mandi. Hanya jasad tanpa nyawa! Semestinya tiada autopsi dilakukan kepada Morrison berikutan undang-undang Perancis yang tidak mewajibkannya. Namun laporan rasmi menyatakan kematian Jim Morrison disebabkan kegagalan jantung (9).

23 tahun kemudian (8 April 1994)

“He’s the one who likes all our pretty songs, and he likes to sing along, and he likes to shoot his gun, But he knows not what it means.”

– In Bloom (Nirvana) –

Sebut sahaja Nirvana, semua akan bersorak-sorak ‘menitikan’ semula lirik sakti mereka. Sangat meriah. Dari golongan kanak-kanak hingga tua semuanya tahu tentang kumpulan lagenda tersebut. Seolah-olah masa pun tidak mampu menafikan Nirvana pemilik ‘syurga dunia’ ketika itu!

Gary Smith masuk ke dalam kediaman mewah di Lake Washington Boulevard East, SeattleWashington. Sudah lama dia bekerja sebagai seorang juru elektrik dan hari ini dia ditugaskan untuk memasang sistem keselamatan di rumah tersebut. Smith memulakan kerjanya di bahagian rumah hijau kediaman tersebut.

Ketika kepalanya menjenguk ke tingkap balkoni, matanya lekas tertancap pada seseuatu. Kelihatan sesuatu seperti manikin terbaring statik. Oh, patung mungkin! Namun hati Smith yang diburu rasa ingin tahu segera menuju ke situ.

Dekat, makin dekat. Manusia rupanya! Namun manusia itu tidak terkutik walau sedikit pun, tidur mungkin. Namun Smith seakan mahu menjerit melihat shotgun di dada lelaki tersebut! Lebih parah apabila dia melihat ada darah yang meleleh di sekitarnya. Dia panik (10)!

Kurt Cobain (Sumber: imdb.com)

Ya, lelaki yang di sangka patung tersebut merupakan vokalis Nirvana iaitu Kurt Cobain. Cobain dikatakan membunuh diri berikutan terdapat sepucuk surat yang ditemui disampingnya. Isi surat yang terkandung beribu penyesalan Cobain tentang kehidupan.

Surat Bunuh Diri Kurt Cobain (Sumber: Daily Mail)

Pagi (23 Julai 2011)

Andrew Morris memandang kerusi yang diduduki Amy Winehouse. Kelihatan kerusi itu bergoyang-goyang mengikut rentak tawa Amy. Beberapa saat kemudian Amy terdiam. Dia mula menangis. Berkecamuk!

Morris yang maklum dengan ulah majikannya itu hanya diam di sudut dinding. Sudah beberapa hari dia menyaksikan penyanyi bervokal kontralto berkenaan mabuk. Ah, biarlah! Tugasnya hanya sebagai pengawal peribadi bukan ‘penjaga peribadi’. Kakinya mula mengorak langkah pulang, dia mahu berehat.

Amy Winehouse (Sumber: Popsugar)

Pukul 3 petang, Morris datang semua ke rumah itu. Namun keadaan tidak sama, yang terdengar hanyalah tiupan angin. Sepi tanpa bunyi tawa atau tangis.

Nah, kali ini mungkin dia yang akan menangis apabila melihat jasad wanita itu tidak terkutik di katil. Sudah dikejut berkali tidak terjaga, sudah dipanggil nama berkali tidak terjawab! Amy masih kaku.  Morris lantas berlari mencapai telefon, dia perlu melakukan sesuatu.

Amy disahkan mati di atas katilnya sendiri. Kematiannya berpunca daripada pengambilan alkohol yang berlebihan. Beberapa ketika setelah ‘pemergiannya’, Amy berjaya memecahkan Guinness World Records keduanya apabila muncul sebagai penyanyi wanita yang lagunya kerap berada di carta (11).

Satu petang (18 September 2018)

Telefon di telinganya diletakkan ke bawah. Dia baru sahaja menelefon talian kecemasan untuk memaklumkan satu perkara. Hati Kim So-dam tidak tenteram. Sebentar tadi dia menerima pesanan (KakaoTalk) dari adik lelakinya. Apa yang mengusarkan, pesanan aneh tersebut seolah-olah menunjukkan ‘masa depan tragik’  adiknya!

Pihak polis dan penyelamat bergegas ke kediaman Kim Jong-Hyun setelah menerima laporan tersebut. Masuk ke dalam, terlihat satu jasad terbujur tidak sedarkan diri. Segera tubuh tersebut di bawa ke Hospital Universiti Konkuk untuk rawatan kecemasan.

Kim Jong-Hyun (Sumber: US Weekly)

Namun ajal datang tidak terlambat walau sedetik, Jong-Hyun tidak berjaya sedar dan disahkan ‘tewas’ tepat pada jam 6.32 petang. Pasukan penyiasat percaya kematian Jong-Hyun disebabkan oleh terhidu asap toksik hasil daripada briket arang batu yang dibakar dalam kediaman tersebut. Tanpa menjalankan autopsi ke atas si mati, mereka mengisytiharkan bahawa Jong-Hyun berkemungkinan membunuh diri (12).

Persamaan Unik Kelab 27

Kelab 27 telah menjadi fenomena besar pada tahun 90-an dulu. Kelab yang lebih dikenali sebagai Forever 27 ini ‘menghimpunkan’ semua selebriti dunia yang mati pada usia 27 tahun!

‘Anggota’ Kelab 27 (Sumber: The Young Folks)

Kelab ini bukanlah sebuah kelab yang ditubuhkan secara rasmi. Ia sebenarnya berpunca daripada sebahagian syarikat penerbitan majalah, jurnal dan akhbar harian yang kerap kali menggunakan perkataan ‘27 club‘ tersebut. Oleh itu, nama Kelab 27 tersebut terus meniti di bibir-bibir manusia dari dahulu sehingga kini.

Petikan Berita CNN (Sumber: Da Capo Press)

Benar, 7 nama yang disebut sebelumnya merupakan salah seorang ‘anggota’ kelab misktikal ini. Jones, Hendrix, Joplin, Morrison, Cobbain, Amy dan Jong-hyun  ‘tewas’ pada umur 27 tahun semasa ‘mendaki’ ke puncak kejayaan. Malah mereka bukan sahaja mati pada usia 27 tetapi berkongsi beberapa ciri persamaan yang lain (13).

Kesemua mereka adalah seorang yang sukses dalam bidang masing-masing ketika itu. Agak mustahil seorang berada di puncak ingin membunuh diri bukan? Perlakuan tersebut seolah-olah tidak timbal! Tidak mungkin sesorang yang berjaya memperolehi ‘astral‘ setelah berusaha bertahun-tahun ingin membunuh diri sesaat kemudian!

Bahkan kematian mereka juga amat mencurigakan. Jika dilihat punca kematian adalah sama iaitu disebabkan dadah, alkohol dan bunuh diri. Bukan itu sahaja, mereka juga seolah-olah dapat menebak bahawa ajal mereka akan tiba awal.

Suatu hari, tidak semena-mena Amy Winehouse mengatakan kepada pengurus peribadinya bahawa dia dapat merasakan dia akan mati tidak lama lagi. Manakala sewaktu Kurt Cobain berusia 14 tahun (lama sebelum dia terkenal) dia pernah mengatakan kepada rakannya:

“Aku akan menjadi seorang pemuzik yang sangat berjaya dan aku akan mati ketika aku sedang berada di puncak kejayaan seperti Jimi Hendrix”

Sementelah dia menggunakan nama Jimi Hendrix yang turut tergolong dalam Kelab 27 sebagai contoh!

Jaket yang Dipakai Oleh Kim Jong-Hyun (Sumber: Koreaboo)

Di samping itu, di salah satu persembahan terakhir Kim Jong-Hyun, para peminat menyatakan rasa kurang senang dengan koordinator pakaian Jong-Hyun. Hal ini berikutan dia (Jong-Hyun) diberi pakai sehelai jaket yang direka bersama surat bunuh diri Kurt Cobain yang merupakan sebahagian dari Kelab 27!

Ada juga pihak yang mendakwa mereka terlepas pandang ‘SOS‘ daripada Jong-Hyun. Mereka mengatakan bahawa Jong-Hyun seolah cuba untuk meminta pertolongan tersirat dalam ‘persembahan’ yang tersurat (14).

Analogi Di Sebalik Prediksi

Pemetik Api Putih

Sebagai manusia biasa, perkara sebegini akan menjadi topik yang menarik untuk diperkatakan. Pelbagai andaian dan teori yang ‘dibentang’ untuk mencari solusi kepada injaksi tragedi tersebut. Antaranya adalah sumpahan pemetik api putih.

Pemetik api ini diangkat sebagai lagenda urban apabila dikatakan sebagai pembawa nasib malang! Hal ini berkait rapat dengan penemuan pemetik api putih berhampiran jasad Hendrix, Joplin, Morrison dan Cobain.

Pemetik Api Putih (Sumber: Pinterest)

Namun prediksi ini telah ditolak oleh Snoope.com yang menjelaskan bahawa syarikat yang mengeluarkan pemetik api (Bic) sudah lama berhenti memproduksikan pemetik api putih tersebut. Malah pemetik api yang dijumpai di samping Cobain sebenarnya bukanlah berwarna putih (15)!

The Saturn Return

Analogi seterusnya dikaitkan dengan ilmu astrologi. Planet Saturn atau dalam Bahasa Melayu dipanggil sebagai Zuhal merupakan planet keenam daripada matahari. Planet tersebut mempunyai gelang atau cecincin yang terdiri dari air batu, batu dan debu. Ia juga mempunyai lingkaran asteroid yang mengelilingi mataharu di antara orbit Marikh dan Musytari.

Planet Zuhal (Sumber: NASA’s Solar System Exploration)

Teori mengenai ‘The Saturn Return‘ ini membahaskan tentang keadaan apabila planet Zuhal berputar dan kembali semula ke posisi yang sama dengan tahun kelahiran seseorang.

Analoginya seperti ini, Putaran planet Zuhal mengelilingi matahari mengambil masa selama 29.5 tahun. Sekiranya secara kebetulan seseorang itu lahir pada tarikh yang sama dengan putaran lengkap planet Zuhal. Maka individu tersebut akan mengalami sesuatu fasa yang sangat sulit.

Kedudukan Planet Zuhal, Bumi & Matahari (Sumber: Earthsky.com)

Hal berikut disokong oleh ahli astrologi yang mengatakan bahawa umur 27 tahun atau insiden The Saturn Return merupakan fasa dimana seseorang manusia akan masuk ‘dunia baru’ dalam kehidupan.

Percaya atau tidak, dalam lingkungan 27 tahun itu, individu mengalami satu situasi yang sangat ‘sibuk’. Manusia akan terikat untuk memilih kerjaya, kehidupan sosial, cinta dan sebagainya. Semuanya akan jadi berkecamuk!

Tekanan yang parah tersebut dipanggil sebagai krisis kehidupan suku tahun (Quater-life crisis). Pada usia ini manusia akan diuji dengan pelbagai dugaan. Ada yang ‘selamat’ lalu menjadi lebih kuat dan ada juga yang tidak lalu terkandas di pertengahan jalan.

Terdapat kajian yang dilakukan berkenaan dengan anxiety, depression, motor-vehicle accidents and alcohols banyak terjadi dalam lingkungan umur 18 sehingga 28 tahun.

Universiti Clark telah membuat undian (berkaitan) melibatkan 1000 orang dewasa seluruh dunia. Hasilnya di dapati 72% mengatakan mereka sangat tertekan dan 33% menjelaskan bahawa mereka sering mengalami kemurungan dalam tempoh tersebut (16).

Kerosakkan Tubuh Akibat Dadah

Kerosakkan badan akibat dadah (drug decay) juga dijadikan salah satu punca kematian anggota Kelab 27. Seperti yang diperjelaskan sebelumnya, kehidupan golongan selebbriti tersebut dipenuhi dengan semua ‘hiburan’ termasuk dadah dan alkohol.

Disebutkan bahawa ketika usia 27 tahun itu merupaka usia terakhir bagi mereka yang sememangnya sudah ‘mengenal’ dengan dadah sejak muda. Hal ini disebabkan oleh tubuh badan sudah tidak mampu menahan kerosakkan tesebut. Teori ini disokong kerana hampir semua anggota Kelab 27 mengamalkan pengambilan dadah.

Tubuh Amy Winehouse yang Kurus Akibat Dadah (Sumber: The Telegraph)

Semakin lama mereka ‘menggunakan’ dadah maka makin tinggi dos yang mereka perlu ambil untuk capai ‘kepuasan mereka’. Perkara itu sudah semestinya akan mendatangkan perubahan negatif kepada tubuh badan.

Dadah bukanlah perkara baru dalam industri hiburan. Bukan sahaja di negara luar malah di Malaysia sendiri. Akbar tempatan turut menjelaskan bahawa sindekit dadah ini mensasarkan jualan mereka kepada golongan dalam industri tersebut (17).

Sesungguhnya kematian bukanlah isu yang boleh sewenang-wenangnya ‘dijatuhkan hukum’. Ia merupakan perkara yang sangat sensitif dan segala coretan ini dihuraikan untuk menjadi panduan dan pengajaran kepada setiap individu.

Tiada yang kekal di dunia ini. Rupa, harta dan popular tidak menjamin apa-apa di ‘kehidupan kedua’ kelak. Berusahalah untuk jadi yang terbaik untuk diri sendiri dan orang sekeliling.

Bangkit berdiri bila tersungkur, duduk sebentar rela bersyukur, ketentuan semua sudah diatur.

Rujukan

(1) Abu Fairuz. (2015). Pantun Kematian. Sumber dipetik daripada https://www.abufairuz.com/2015/pantun/pantun-kematian/

(2)“Thanatos, n”. (2014). OED Online. Oxford University Press.

(3) Papalia, D. E., Old, S. W., Feldman, & R. D. (2008). Human Development    (Terjemahan A. K. Anwar). Jakarta: Prenada Media Group.

(4) Wyman, Bill. (2002). Rolling With the Stones. Dorling Kindersley. ISBN 0-7513-4646-2.p. 10 & 16

(5) Heatly. (2009). pp. 64–65: post-modern soundscapes of “Are You Experienced?”; Larkin 1998, p. 45: a diversity of styles; Unterberger. (2009) p. 45: “Third Stone from the Sun”.

(6) Brown, Tony (1992). Jimi Hendrix – A Visual Documentary. Omnibus Press. ISBN 978-0-7119-2761-2.

(7) Amburn, Ellis. (1992). Pearl: The Obsessions and Passions of Janis Joplin : A Biography. Time Warner. ISBN 0-446-51640-6.

(8) Friedman, Myra (September 15, 1992). Buried Alive: The Biography of Janis Joplin. Crown Publishing Group. ISBN 0-517-58650-9.

(9) Ben Fong-Torres. (1971). “James Douglas Morrison, Poet: Dead at 27,” Rolling Stone.

(10) Carrie Barzillo. (2014). When Kurt Cobain Died: Former Billboard Editor Recalls Being On the Scene When It All Happened. Sumber dipetik daripada https://www.billboard.com/articles/news/6039661/when-kurt-cobain-died-former-billboard-editor-recalls-being-on-the-scene-when

(11) Britt Stephen. (2018). The Details of Amy Winehouse’s Death Are Almost Too Sad to Handle, Even 7 Years Later. Sumber dipetik daripada https://www.popsugar.com/celebrity/How-Did-Amy-Winehouse-Die-45023827

(12) Emma Kelly. (2018). SHINee’s Jonghyun ‘sent final goodbye message to sister’ before dying in apparent suicide. Sumber dipetik daripada https://metro.co.uk/2017/12/18/shinees-jonghyun-sent-final-goodbye-message-sister-dying-apparent-suicide-7168447/

(13) Howard. (2013). A History of the 27 Club through the Lives of Brian Jones, Jimi Hendrix, Janis Joplin, Jim Morrison, Kurt Cobain, and Amy Winehouse. ISBN 978-0306821684.

(14) Bonnie Faller. (2017). Was Jonghyun Crying Out For Help Before Suicide? Why Fans Are Sure They Missed A Red Flag. Sumber dipetik daripada https://hollywoodlife.com/2017/12/20/jonghyun-crying-for-help-before-suicide-kurt-cobain-jacket/

(15) Lauren Martin. (2013). Stoner History 101: The Myth Of The White Lighter. Sumber dipetik daripada https://www.elitedaily.com/life/culture/the-myth-of-the-white-lighter

(16) Shanon Kaiser. (2014). The Skinny on Saturn Returns: What Doesn’t Kill You Makes You Stronger. Sumber dipetik daripada https://www.huffingtonpost.com/shannon-kaiser/saturn-returns_b_4275974.html

(17) Ain Mohammad. (2018). Drug syndicates targeting local entertainment industry. Sumber dipetik daripada https://www.nst.com.my/news/nation/2018/02/339487/drug-syndicates-targeting-local-entertainment-industry

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.