Siakap Keli

Terlalu Ketagih Untuk Main Game Merupakan Penyakit Mental

Permainan atas talian merupakan permainan video yang dimainkan menggunakan internet. Permainan tersebut boleh dimainkan melalui medium seperti komputer riba, tablet mahupun telefon bimbit (1). Ianya merangkumi banyak genre termasuk penembak pertama (first-person Shooter), permainan strategi (strategy games) dan permainan peranan atas talian secara besar-besaran ataupun lebih dikenali sebagai massively multiplayer online role-playing games (MMORPG) (2).

Reka bentuk permainan atas talian ini terdiri daripada persekitaran berasaskan text mudah sehinggalah penggabungan grafik yang kompleks dan dunia maya (virtual world).

Contoh Text dan Grafik Kompleks dalam Permainan atas Talian (Sumber : Theverge.com)

Kewujudan komponen atas talian dalam permainan boleh terdiri daripada ciri-ciri kecil seperti papan pendahulu (leaderboards). Kebanyakkan pemain akan membentuk komuniti (kumpulan) atas talian mereka sendiri. Sementara permainan sosial berintegrasi dengan komuniti kehidupan sebenar sedia ada (3).

Leaderboards (Sumber : Trove)

Apabila disebut tentang Mobile Legend, Rules of Survival (RoS) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dari golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa mengetahui dan pernah dengar mengenainya. Malah ia boleh dimuat turun dengan mudah di Google Play Store mahupun Apple App Store secara pecuma! 

(1) Mobile Legends , Rules of Survival (RoS) , (3) Peopleunknown’s Battlegrounds (Sumber : Google)

Mungkin dahulu, permainan ini merupakan salah satu cara untuk melepaskan tekanan di tempat kerja mahupun di tempat belajar. Namun kini, dapat dilihat perlakuan ini seakan melampau apabila terdapat individu yang menghabiskan hari mereka semata untuk bermain permainan tersebut. Ada yang sampai tidak makan, minum malah langsung tidak tidur!

‘Pengorbanan’ Manusia Semata-mata Untuk Game

Manusia rela berkorban untuk mendapatkan apa yang diimpikannya seperti kemewahan, ketenangan dan sebagainya. Demi merealisasikan angan tersebut berbagai-bagai cara diakukan oleh mereka. Hal ini dinyatakan oleh seorang bekas pendidik di Chicago yang sanggup meninggalkan kerjaya berkenaan semata-mata untuk bermain PUBG (4).

Permainan atas talian nampaknya bukan sahaja ‘mengorbankan’ kerjaya seseorang namun lebih parah apabila ia turut menyebabkan seorang wanita di China kehilangan penglihatannya. Wanita berusia 21 tahun tersebut pada mulanya berasa tidak selesa di bahagian mata kanannya dan disebabkan itu, wanita tersebut menangis sepanjang malam.

Akibat tidak sanggup menanggung kesakitan, beliau dihantar ke hospital. Doktor kemudiannya mengesahkan beliau menghidapi Retinal Artery Occlusion. Retinal Artery Occlusion adalah satu kecemasan oftalmik yang memerlukan rawatan segera. Ia dapat menghalang pengaliran darah dari retina ke embolus yang menyebabkan occlusion atau pembentukan thrombuskeradangan retina, kerosakan dinding pembuluh darah dan kekejangan (5).

Embolus & Thrombus (Sumber : My Health Alberta)

Penghantaran oksigen yang kurang (tersumbat) menyebabkan individu tersebut kehilangan penglihatan di bahagian ischemic retina.  Retina ibarat sebuah kamera DSRL yang ‘menangkap’ jelas imej dan menghantarnya terus ke otak. Ia adalah lapisan di belakang bebola mata yang mengandungi sel-sel yang sensitif kepada cahaya dan bereaksi kepada ransangan. Retina memerlukan oksigen dan nutrien daripada darah untuk membolehkan ia berfungsi. Manakala ischemic pula adalah tisu yang kekurangan darah. Apabila retina tidak mendapat oksigen yang mencukupi, sel-sel yang membentuk retina akan mula mati (6).

Retina (Sumber : All About Vision)

Doktor menjelaskan keadaan wanita itu disebabkan kekerapan beliau melihat skrin telefon. Wanita tersebut mempunyai rutin bermain game dalam telefon bermula 6 pagi sehingga 4 petang. Beliau hanya berhenti untuk tidur siang sebentar dan menyambung semula sehingga pukul 2 pagi (7)

Tidak memandang terlalu jauh, Di Malaysia sendiri terdapat seorang pemuda yang maut disebabkan oleh permainan ‘berhantu’ ini. Pemuda berkenaan dipercayai bermain game selama 15 jam berturut-turut di siber cafe berdekatan rumah beliau di Pulau Pinang. Setelah pulang ke rumah, beliau menyambung semula bermain menggunakan komputer miliknya di rumah. Mayat beliau ditemui dalam bilik oleh pakciknya.

Menurut keluarga, anak lelaki tunggal mereka ketagih dengan permainan itu sejak dia berhenti kerja di sebuah restoran selepas dia terlibat dalam satu kemalangan motosikal (8)

Bukan sahaja mengorbankan nyawa, permainan ini turut ‘mengorbankan’ rumah tangga sepasang suami isteri. Si suami yang ketagihan permainan tersebut nekad menceraikan isterinya itu setelah wanita itu ‘menjual’ segala pencapaian permainan sehingga beliau terpaksa bermula dari awal.

Pada mulanya wanita tersebut menyokong penuh minat suaminya yang gemar bermain game ‘king of Glory’ dan ‘Arena of Valor‘. Malah kerana sayang, beliau juga turut bermain game tersebut untuk menemani suaminya walaupun sering dimarahi kerana permainanya yang tidak bagus.

Sumber : Google

Wanita tersebut bengang dengan tindakan suaminya yang sering ‘berdamping’ dengan permainan tersebut tanpa menghiraukan dirinya dan anak mereka. Malah si isteri turut terkesan dengan sikap suaminya yang langsung tidak menghiraukan perngorbanan dirinya (isteri) yang datang dari China semata-mata demi cinta. Namun bagi suami pula, ‘cinta’ kepada permainan maya tersebut lebih mutlak!

Setelah disahkan bercerai, wanita tersebut berniat mahu pulang semula ke China dan menuntut hak penjagaan anak mereka (9).

Satu lagi kisah berlaku pada awal tahun ini (2018), seorang isteri telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam sebuah laman di Facebook. Beliau mengakui bahawa dirinya sudah berputus asa dengan suaminya. Lelaki itu didakwa tidak mahu menolong menjaga anak, membuat kerja rumah dan sebagainya. Suami wanita tersebut hanya tahu bermain Mobile Legends sahaja!

Malah sewaktu anak mereka menangis disebelahnya, lelaki itu hanya kaku dan meneruskan permainannya. Ibarat mencurahkan minyak ke dalam api, apabila wanita tersebut mengejutkan suaminya bangun, suaminya langsung tidak terkutik sedikit pun dan tidak pergi ke tempat kerja (10).

Sumber : Kisah Rumah Tangga

Selain itu, terdapat juga isu di mana sepasang suami isteri telah mengabaikan anak mereka hanya kerana khusyuk bermain Mobile Legend di restoran. Video tersebut telah dikongsi oleh seorang pengguna Twitter memaparkan seorang kanak-kanak yang kebosanan menunggu di atas tembok restoran. Seorang pelanggan yang simpati merakam video kanak-kanak yang menjadi mangsa kedua-dua ibu bapa yang ketagih dengan permainan atas talian itu (11).

Sumber : Google

‘Dunia’ Mereka Terlalu ‘Indah’ Untuk Diganggu !

Permainan atas talian, sesetengah orang akan menganggapnya sebagai ‘anugerah’. ‘Anugerah’ yang dapat melenyapkan rasa lelah, sedih dan tekanan duniawi. Dalam ‘dunia’ tersebut manusia mampu menjadi apa sahaja yang mereka angankan. Nak jadi hero? Nak jadi ketua? Nak punyai harta? Nak wajah tampan? Nak senjata canggih? Mereka mampu dapatkan semua!

Manusia berupaya memiliki satu lagi ‘jasad berbeza’ dalam ‘dunia’ tersebut. Segala mimpi buruk dunia sebenar hilang sebentar apabila mereka masuk ke ‘dunia baru’ itu. Hilang segala beban belajar! Hilang segala ‘derita’ berkeluarga! Hilang segala ‘cerita sengketa’ di tempat kerja! Bahkan mereka melupakan semuanya.

Namun mimpi indah tak selamanya berterusan, kadang kadang ia terhenti dek kerana sinar mentari mengejut lena. Itu yang berlaku kepada seorang pemuda berusia 17 tahun yang dimarahi oleh neneknya ketika bermain game di sebuah kafe komputer di Quezon City. Permainan Defense Of The Ancients (DOTA) nya terganggu kerana leteran wanita tua tersebut menyuruh dia pulang ke rumah.

Sumber : Humor Tech

Sampai rumah, mulut neneknya masih terkumat kamit memaki hamun dirinya. Ah! Dia bengang! sudah beberapa kali dia dimarahi oleh perempuan tua 68 tahun itu! Tanpa dia sedar, tangannya lantas menggapai pasu seramik dan menghentak kepala wanita tua itu! Dia masih tak puas, dia memukul tubuh tua itu bertubi tubi. Segala amarahnya ‘dihambur’ saat itu, sudah lama dia simpan, ini masa untuk dilunas!

Baginya, hutang ‘darah’ dibayar dengan ‘darah’. Neneknya itu telah ‘membunuh’ keseronokan ‘dunianya’, wanita tua ini wajar mendapat pembalasan setimpal, bisik hatinya (12).

Sumber : Mirror UK

Fantasi Pembunuhan Menjadi Realiti

Dia memejamkan mata, wajah rakannya Stefan Pakeerah bermain di tubir mata. Dia sengaja mengajak rakannya itu pergi ke sebuah pondok kayu. Tidak Semena-mena, laju tangannya menghentak penukul besi ke kepala Stefan. Kenapa? Dia Sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu, tangannya yang bergerak tanpa menerima arahan ‘melari-larikan’ penukul besi ke tubuh rakannya. Tidak cukup dengan itu, dia menikam lebih daripada 50 kali tubuh berusia 14 tahun tersebut menggunakan pisau yang dibawanya.

Petikan Akhbar Mengenai Leblanc (Sumber : Daily Mail)

Ya, dialah Warren Leblanc, pemuda berusia 17 yang telah membunuh rakannya sendiri dengan tragis. Kejam? Tidak baginya. Kerana dia sudah biasa melihat adegan persis seperti itu dalam permainan video kegemarannya, Manhunt! Sebuah permainan di mana seorang lelaki (watak dalam permainan tersebut) membunuh sesiapa sahaja yang ditemuinya di jalan menggunakan senjata (13).

Grand Theft Auto (Sumber : Fandom)

Pernah dengar tentang Grand Theft Auto? Sebuah permainan aksi yang melibatkan pemanduan kereta (drift), penembak ketiga, main peranan (role-play), elemen mencuri dan sebagainya.

Dewin Moore telah disabitkan bersalah apabila telah menembak dua orang polis dan seorang penghantar barang ketika beliau hendak mencuri kereta. Moore mengatakan bahawa beliau terpaksa berbuat demikian kerana takut akan ditangkap pihak polis.

Namun apa yang membuatkan orang curiga apabila mendengarkan kata-kata yang diucapkan oleh Moree ketika ditangkap di Mississippi. “Benar hidup ini umpama permainan video, sesekali seseorang perlu mati”.

Ya, dia terpengaruh dengan permainan tersebut! (14)

Moree Ditangkap Pihak Polis (Sumber : Daily Mail UK)

‘Malaikat Kecil’ juga Tahu ‘Berseronok’

Jelas, bukan orang dewasa sahaja yang tahu tentang permainan Grand Theft Auto. Kejadian berlaku di Louisiana apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun tergamak menembak neneknya sendiri!

Wanita yang ditembak di bahagian kepala itu adalah Marie Smothers (87 tahun). Smothers ditembak oleh cucunya sendiri ketika beliau sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Kanak-kanak itu mengaku tidak sengaja menembak neneknya itu tetapi pengakuan tersebut telah ditolak oleh pihak polis. Namun ‘malaikat kecil’ itu tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang kerana berusia di bawah 10 tahun.

Ramai yang percaya bahawa kanak-kanak berkenaan ingin meniru perlakuan seperti di dalam permainan video itu (15)

Saksi Kes (Sumber : WAFB)

Bukan ‘Al-kisah’ Basi!

Mungkin ada di kalangan pembaca yang akan mengatakan bahawa kes-kes tersebut sudah lapuk! Hanya berlaku dahulu sekitar 2015!

Nah, fikirkan semula!

Kini Siakap Keli menyajikan anda semua dengan fakta baru yang akan membuat pembaca menganggukkan kepala sambil berkata ‘oh, baru aku tahu!’

Permainan The Slender Man merupakan adaptasi daripada mitos lampau. ‘Tayangan’ mitos tersebut mengambarkan Slender Man sebagai makhluk supernatural yang memiliki tubuh persis seorang manusia tanpa wajah!

Gambaran Slender Man (Sumber : TheSlenderMan)

Ia dikatakan muncul dengan memakai suit hitam, berlengan panjang dan mempunyai ketinggian dan saiz badan yang aneh berbanding manusia normal (16).

Sekumpulan kanak-kanak berusia 12 tahun begitu obses dengan karakter Slender Man telah pergi ke hutan berdekatan Waukesha, Wiconsin. Mereka menyusur masuk ke hutan itu untuk membuktikan kewujudan makluk fiksyen tersebut.

Mereka terdiri daripada tiga orang iaitu Anissa Weier, Morgan Geyser dan Payton Leutner. Tanpa Leutner sedari dirinya sebenarnya dijadikan ‘tebusan’ untuk ‘menyeru’ makhluk berlengan panjang itu keluar. Kedua rakan Luetner kononnya mendapat ‘wahyu’ untuk membunuh beliau.

Siapa sangka kanak-kanak 12 tahun mempunyai ‘kegilaan’ seperti itu.

Morgan & Anissa (Sumber : IBTimes UK)

Luetner telah ditikam oleh kedua rakannya sebanyak 19 kali dan dibiarkan ‘membusuk’ di situ. Namun benar kata orang, selagi roh belum sampai ke leher, selagi itu manusia masih sempat mencari ‘nyawa’. Luetner merangkak sedaya boleh ke untuk keluar dari hutan tersebut.

Nasibnya baik apabila dia ditemui oleh seorang pemuda berbasikal yang melalui jalan di pinggir hutan tersebut (17).

‘Kegilaan’ Tersebut Merupakan Gangguan Mental

Pada tahun 2018, pihak World Health Organization (WHO) menafsirkan kelakuan tersebut sebagai gangguan mental atau lebih mudah disebut sebagai Gaming Disorder. Dr. Vladimir Poznyak yang merupakan salah seorang ahli di jabatan Kesihatan Mental dan Penyalahgunaan Bahan menyatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh mereka adalah meliputi perubahan serta perkembangan (trend) dalam populasi masyarakat dan bidang profesional.

Dr. Vladimir Poznyak (Sumber : Add Resources

Satu standard diagnosis International Classification of Diseases (ICD) akan mengintepretasi semua jenis penyakit dan keadaan kesihatan yang berkaitan. Penyelidik kebiasaannya menjadikannya sebagai rujukan untuk mengkaji kematian, kecederaan dan sebarang gejala. Manakala para doktor serta pengamal perubatan menganggap ‘kitab suci’ tersebut sebagai rujukan berkenaan diagnosis penyakit dan sebarang keadaan lain.

American Psychological Association (Sumber : Psych Central Professional)

Menurut  American Psychological Association melaporkan lebih daripada 160 juta golongan dewasa di Amerika bermain permainan video namun peratusan individu yang ‘menghidapi penyakit’ tersebut masih kecil. Dimaklumkan juga putara umur pemain bawah 18 tahun hingga lebih 50 tahun antara lelaki dan perempuan adalah hampir sama (19).

Antara simptom awal yang boleh dilihat terjadi kepada ‘pesakit’ adalah :

  1. Tingkahlaku bermain game secara tidak terkawal selama 12 bulan berturut-turut.
  2. Lebih mementingkan permainan (game) tersebut daripada keperluan asas harian seperti makan, minum, tidur dan sebagainya (secara berterusan).
  3. Mempunyai perasaan bahawa permainan (game) itu adalah segalanya tanpa menghiraukan hubungan sekeliling. Individu yang ‘menghidapi penyakit’ ini akan mengabaikan pendidikan , pekerjaan dan sebagainya (secara berterusan).

Cuba lihat sekilas diri anda, adakah anda seorang gamer yang memiliki gejala di atas? Jika ya, masih tidak terlambat untuk mencegah. Bukan berhenti mendadak tetapi secara berperingkat. Individu boleh mencuba hobi baru seperti meluangkan masa melakukan aktiviti luar.

Sumber : Giphy

Malah hidup ini juga merupakan sebuah permainan (game). Kita adalah manusia yang berada dalam permainan yang sama (dunia) cuma berbeza peringkat (level) dan berdepan dengan berlainan dugaan. Kita sebagai watak dalam permainan tersebut diberi beberapa pilihan, beberapa jalan dan beberapa kepentingan.

Andai salah caturan, kita akan ‘terjatuh’. Jangan takut untuk bermula semula (reset) kerana tiada siapa yang tahu bila dan di mana kita akan ‘terjumpa’ dengan harta (kejayaan).

Rujukan

(1) Andrew Rollings; Ernest Adams (2006). Fundamentals of Game Design. Prentice Hall.

(2) Quandt, Thorsten; Kroger, Sonja (2014). Multiplayer: The Social Aspects of Digital Gaming. London: Routledge. ISBN 978-0415828864

(3) Hachman, Mark. (2015) “Infographic: A Massive History of Multiplayer Online Gaming”. PC Magazine.

(4) Cecilia (2017), Guy Who Just Quit His Job To Stream Battlegrounds Explains Why, Sumber dipetik daripada https://kotaku.com/guy-who-just-quit-his-job-to-stream-battlegrounds-expla-1820309727

(5) Lee J, Kim SW, Lee SC, Kwon OW, Kim YD, Byeon SH. (2014), Co-occurrence of Acute Retinal Artery Occlusion and Acute Ischemic Stroke: Diffusion-Weighted Magnetic Resonance Imaging Study. American Journal of Ophthalmology. 1;157(6):1231–8.

(6) Kathleen Koviak, MPH Candidate Reviewers: Stephen G. Odaibo, MD and Gale Oren, MILS (2015), Retinal Ischemia, Sumber dipetik daripada med.umich.edu/1libr/Ophthalmology/Retina/RetinalIschemia.pdf

(7) Tracy, (2017), The woman in China played games for eight hours and lost sight in the right eye, Sumber dipetik daripada http://www.dailymail.co.uk/news/article-4955870/Woman-blinded-one-eye-playing-games-day.html

(8) Suara Insan, (2013) Seorang remaja di Penang maut main game 15 jam tanpa henti, Sumber dipetik daripada http://www.suarainsan.net/seorang-remaja-di-penang-maut-main-game-15-jam-tanpa-henti/

(9) The Star, (2017), Hubby throws wife out for protesting his game addiction, Sumber dipetik daripada https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/12/25/hubby-throws-wife-out-for-protesting-his-game-addiction/#F0OOTW6pmWoyYCL7.99

(10) The Reporter, (2018), Sebab game bodoh tu je dia tak boleh tengok (jaga) anak’ – Isteri bengang suami lebih penting game Mobile Legend dari anak menangis, Sumber dipetik daripada http://www.thereporter.my/2018/01/sebab-game-bodoh-tu-je-dia-tak-boleh.html

(11) Oh My Media, (2017), Angkara Mobile Legends Suami Isteri Ini Sanggup Abaikan Anak Sendiri Di Restoren, Sumber dipetik daripada http://www.ohmymedia.cc/trending/masyarakat/angkara-mobile-legends-suami-isteri-ini-sanggup-abaikan-anak-sendiri-di-restoran-30106/

(12) Reinir Padua, (2014), Teen kills grandma for interrupting game, Sumber dipetik daripada http://news.abs-cbn.com/nation/metro-manila/03/09/14/teen-kills-grandma-interrupting-game

(13) Nick Britten, (2004), Teenager gets 13 years for ‘video game’ murder, Sumber dipetik daripada https://www.telegraph.co.uk/news/uknews/1470929/Teenager-gets-13-years-for-video-game-murder.html

(14) Brian Dakss, (2003), Teen Charged In Ala. Cops Shooting, Sumber dipetik daripada https://www.cbsnews.com/news/teen-charged-in-ala-cops-shooting/

(15) Lauren Rusell, (2013), Police: 8-year-old shoots, kills elderly caregiver after playing video game, Sumber dipetik daripada https://edition.cnn.com/2013/08/25/us/louisiana-boy-kills-grandmother/index.html

(16) Slender Man, 2017, Sumber dipetik daripada https://www.urbandictionary.com/define.php?term=Slender%20Man

(17) Clemence and Jennifer, (2017), Lucky to be alive: Family release new photo of teen who was stabbed 19 times and left fighting for life by her two friends who wanted to prove Slender Man was real, Sumber dipetik daripada http://www.dailymail.co.uk/news/article-4126850/Payton-Leutner-two-years-Slender-Man-stabbing.html

(18) Jennifer Golbeck, (2017), Video Gaming Disorder Is Now a Mental Health Condition – The World Health Organization diagnostic manual will name the condition in 2018 – Psychology Today

(19) Cameren Rogers, (2018), WHO Calls ‘Gaming Disorder’ Mental Health Condition, Sumber dipetik daripada https://www.webmd.com/mental-health/addiction/news/20180620/who-recognizes-gaming-disorder-as-a-condition

 

 

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.