Siakap Keli

(Video) Kenali Cochineal, Kumbang Halus Penyumbang ‘Warna’ Merah Dalam Industri Makanan Dan Fabrik

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang lelaki bahawa pewarna makanan tiruan yang dihasilkan daripa serangga Cochineal difatwakan haram oleh mufti. Lelaki itu turt berkongsi beberapa produk pewarna makanan yang didakwanya mempunyai kod yang sama seperti kod yang dikeluarkan melalui kenyataan mufti yang dikongsikannya itu.

Walaupun dakwaan tersebut tidak tepat, malah fatwa haram yang disebarkannya itu turut tidak benar memandangkan Muzakarah Fatwa peringkat kebangsaan dan negeri antaranya Selangor dan Pahang telah pun membuat keputusan sebelum ini bahawa pewarna yang dihasilkan daripada serangga cochineal adalah harus digunakan.

Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak telah mencetuskan rasa panik dan ingin tahu orang ramai mengenai fakta bahawa ia dihasilkan menggunakan serangga. Tipulah kalau anda tidak terkejut dan ingin tahu bagaimana rupa serangga tersebut dan bagaimana ia dihasilkan.

Sebenarnya, serangga cochineal ataupun kumbang cochineal ini sudahpun digunakan buat sekian lamanya oleh manusia. Beratus-ratus tahun dahulu, sekurang-kurangnya seawal kurun ke-15 oleh penduduk-penduduk asal di Amerika Utara, Tengah dan Selatan. Tetapi ketika itu, mereka menggunakan warna yang terhasil daripada kumbang ini dalam industri pembuatan fabrik.

Tetapi pada hari ini, anda mungkin perlu menerima hakikat bahawa pewarna merah yang digunakan di dalam makanan anda seperti kek, gula-gula, ais krim serta gincu terhasil daripada puluhan bahkan jutaan serangga seperti ini.

Jauh beribu-ribu batu daripada rumah kita, di Amerika Selatan khususnya di Peru, ramai penduduknya mencari rezeki dengan mengusahakan ladang-landang penternakan kumbang cochineal ini. Dikatakan, bagi menghasilkan satu paun pewarna makanan merah ini, peladang memerlukan sehingga 70 ribu ekor kumbang cochineal. Jadi, anda bayangkanlah sendiri berapa kumbang cochineal diperlukan untuk menghasilkan semua pewarna merah yang anda pernah telan selama ini.

Anda mungkin tidak akan melihat perkataan kumbang atau serangga yang tertera pada label pewarna tersebut tetapi undang-undang yang dibuat oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat menetapkan syarat pewarna makanan yang dihasilkan daripada kumbang Cochineal dilabel dengan nama ‘carmine’.

Serangga ini biasa dijumpai tinggal di atas pokok-pokok kaktus yang terdapat di serata padang pasir di kawasan Amerika Selatan, Tengah dan Utara. Serangga-serangga ini menghabiskan keseluruhan hidupnya dengan menghisap cecair daripada pokok kaktus tersebut. Cochineal kemudian menghasilkan satu bahan asid yang dikenali sebagai asid carminic yang mempunyai rasa pahit dan bewarna gelap. Tujuan penghasilan asid carminic adalah untuk menghalau pemangsa-pemangsa Cochineal.

Bagaimana Ia Dikumpul?

Berbanding memungut kumbang-kumbang ini setiap hari daripada pokok kaktus, peladang-peladang cochineal di Peru ini mengerat bahagian kaktus yang didiami kumbang tersebut dan dibawa pulang ke kawasan bangsal milik mereka dimana ia diternak.

Kaktus-kaktus ini dicakuk dengan dawai besi dan dibiarkan tergantung untuk beberapa hari bagi membenarkan kumbang tersebut membesar sehingga ia boleh diambil.

Anda pasti tertanya-tanya kan bagaimana kumbang-kumbang ini mendapat warna merah tersebut. Jawapannya terletak pada satu bahagian buah beri bewarna yang tumbuh pada pokok kaktus tersebut.  Kumbang-kumbang ini akan berkumpul pada bahagian buah tersebut.

Sebaik sahaja kumbang-kumbang ini menemui tempat yang sesuai untuk didiami pada bahagian kaktus tersebut, kumbang-kumbang ini akan mula menyerap cecair yang terhasil di dalam kaktus itu dan kekal tinggal di situ untuk meneruskan kehidupan.

Memandangkan kumbang-kumbang ini terikat kuat dengan pokok kaktus dan sukar ditanggalkan, selain jumlahnya banyak, peladang-peladang ini menggunakan satu berus khas untuk memberus permukaan kaktus tersebut sehingga kumbang-kumbang ini terpisah. Yelah, nak hasilkan satu paun pewarna merah ini memerlukan 70 ribu ekor kumbang cochineal, takkanlah nak kutip satu per satu kan.

Kalau anda perhatikan daripada awal tadi, anda pasti tertanya-tanya kenapa badan haiwan itu tidak bewarna merah sebaliknya dipenuhi dengan debu berwarna putih. Sebenarnya debu-debu berwarna putih tersebut dihasilkan oleh kumbang-kumbang itu sendiri dan tujuannya adalah untuk melindungi badannya daripada panas cahaya matahari dan menghalang kehilangan terlalu banyak air.

Sekiranya anda memicit badan kumbang tersebut sehingga pecah, anda akan menemui satu cecair bewarna merah yang tersimpan di dalam badan haiwan tersebut.

Ketika era kolonial, pewarna merah cochineal menjadi antara barangan eksport paling bernilai buat Mexico, kedudukan kedua selepas mineral semula jadi, perak. Peladang-peladang ini akan mengeringkan terlebih dahulu kumbang-kumbang ini sebelum dikisar menjadi serbuk halus seperti tepung. Bagi mendapatkan warna merah tersebut, pengguna hanya perlu menambahkan air sahaja.

Serbuk-serbuk asli cochineal ini apabila diproses menjadi campuran akan mempunyai beberapa warna merah yang berbeza-beza sekaligus ia membolehkan cochineal ini digunakan dalam pelbagai produk.

Video dibawah adalah bagaimana pewarna yang dihasilkan daripada kumbang cochineal digunakan dalam industri fabrik.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=svrDU8gRx0c]

 

BACA : Isu Pewarna Tiruan Cochineal, Fatwa Kebangsaan Sebenarnya Kata Harus Digunakan, Bukan Haram

Sumber : Bussiness Insider, The Huffington Post

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.