Siakap Keli

Tak Tahan Isteri Berdengkur Seperti Bunyi Motosikal, Suami Telefon Polis

Kedengaran lucu namun itulah yang berlaku. Seorang suami yang mengalami masalah tidak cukup tidur terpaksa menghubungi talian kecemasan (999) kerana isterinya berdengkur terlalu kuat.

Polis West Mindlands (WMP) di United Kingdom berkongsi rakaman audio panggilan tersebut ke internet bagi menggesa orang awam agar menggunakan talian kecemasan untuk kes kecemasan sahaja.

Suami tersebut didengari mengadu tentang isterinya yang berbunyi seperti ‘motosikal’ dan dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Polis yang menyambut panggilan itu berkata bahawa perkara itu bukanlah masalah polis dan meminta agar pemanggil mendapatkan nasihat doktor selepas isterinya terjaga daripada tidur.

WMP terpaksa mula menjalankan kempen selepas menerima panggilan harian tertinggi dalam sejarah.

Pada Sabtu, penerima panggilan mendapat 3,276 panggilan iaitu 40 peratus lebih tinggi daripada kebiasaan dalam 24 jam.

Antara panggilan tersebut melibatkan orang awam mengadu tentang itik yang cedera di terusan air dan seorang remaja meminta talian kecemasan itu menghubungi ibunya untuk memaklumkan dia telah kehabisan kredit telefon bimbit.

Menurut laporan Mirror UK, penerima panggilan, Olivia berkata: Saya menjawab hampir 50 panggilan sehari.

“Kadang-kadang ada 10 panggilan tengah menunggu giliran dan sebab itulah kami menyarankan agar orang awam buat aduan secara atas talian.

Saya pernah bercakap dengan kanak-kanak berusia 9 tahun yang memberitahu bahawa  dia didera oleh bapa tirinya,” kata Olivia.

Ketua di jabatan panggilan kecemasan, Lyndsey Swallow berkata:”Kami di sini ingin membantu dan melindungi orang awam.

“Tapi, kadang-kadang kami tak dapat nak bertindak segera kerana talian sibuk dengan isu yang kurang penting dan tidak sesuai untuk mendapat perhatian polis,” katanya.

Sumber : Metro UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.