Siakap Keli

(Video) Bayi Cyclopia, Derita Dilahirkan Bermata Satu, Tapi Sedihnya Bila Orang Kita Panggil Ia Bayi Dajjal

Anda tentu pernah melihat satu video viral suatu ketika dahulu apabila seorang bayi yang baru dilahirkan dengan bermata satu dikatakan adalah bayi Dajjal. Lebih teruk lagi, tuduhan tersebut dikuatkan lagi dengan dakwaan bahawa bayi tersebut dilahirkan di negara Israel.

Sempat juga video tersebut menjadi bualan dalam masyarakat kita selaian disebarkan melalui paltform media sosial dan sebagainya. Tapi tahukah anda, bayi yang dilahirkan dengan mata satu itu sebenarnya menanggung derita satu penyakit ganjil yang jarang-jarang berlaku, bukannya dilahirkan sebagai Dajjal. Rasa kesal dengan masyarakat kita apabila tuduhan / hoax sebegitu suatu ketika sangat cepat tersebar, dan ada juga yang mempercayai.

Penyakit dan simptom

Jadi, bayi bermata satu ini dilahirkan dengan penyakit apa? Sebenarnya, bayi-bayi ini dilahirkan dengan satu penyakit yang dikenali sebagai Cyclopia, iaitu satu penyakit yang sangat-sangat jarang berlaku di seluruh dunia. Pesakit cyclopia mengalami keadaan dimana otak seolah-olah tidak berpaut pada bahagian kiri dan kanan kepala.

Simptom paling utama yang sering ditunjukkan oleh bayi yang dilahirkan dengan penyakit cyclopia adalah mereka seringkali dilahirkan dengan hanya satu mata di bahagian tengah kepala atau sepasang mata yang sedikit sahaja bahagian terpisah. Selain itu, bayi cyclopia juga tidak mempunyai hidung tetapi mempunyai satu saluran yang biasanya tumbuh dibahagian atas mata, berfungsi seperti saluran pernafasan.

Tidak mampu bertahan

Ibu yang mengandung bayi menghidap penyakit cyclopia sering mengalami keguguran dan jarang sekali bayi tersebut berjaya dilahirkan ke dunia. Malah, jika bayi tersebut berjaya dilahirkan, kebiasaannya bayi tersebut hanya mampu bertahan untuk tempoh masa beberapa jam sahaja.

Puncanya, bayi-bayi tersebut dilahirkan dengan set organ yang tidak sesuai untuk membolehkan seseorang itu meneruskan kehidupan. Bukan semata-mata kerana mereka dilahirkan dengan bermata satu, tetapi hakikatnya pahit yang perlu diterima adalah bayi-bayi cyclopia ini sudah mengalami kecelaruan fungsi (mulfunction) otak sejak awal kandungan lagi.

1 dalam 100 ribu

Selain Cyclopia, bayi bermata satu juga dikenali dengan nama alobar holoprosencephaly yang hanya terjadi kepada 1 dalam 100 ribu kelahiran bayi (termasuk yang mati ketika dilahirkan). Selain manusia, cyclopia juga turut menyerang kandungan haiwan. Sehingga kini, ahli perubatan masih belum menemui cara untuk menghalang atau merawat penyakit ini.

Punca-punca

Sama seperti rawatan, ahli perubatan sehingga kini turut gagal memahami secara jelas bagaimana cyclopia boleh menyerang bayi-bayi dalam kandungan.

Secara mudahnya, cyclopia dianggap sebagai satu kecacatan kelahiran yang dikenali sebagai holoprosencephaly. Ia bermakna otak hadapan embrio tidak terbahagi kepada dua hemisfera. Otak hadapan sepatutnya mempunya kedua-dua hemisfera cerebral, iaitu thalamus dan hypothalamus.

Penyelidik percaya beberapa faktor mungkin menjadi penyebab kepada meningkatnya risiko serangan cyclopia untuk bayi dalam kandungan dan kes-kes holoprosencephaly lain. Salah satu puncanya dikaitkan dengan masalah kencing manis ketika hamil yang dikenali sebagai gestational diabetes.

Suatu ketika, terdapat dakwaan bahawa bayi-bayi ini menanggung penyakit cyclopia disebabkan berlaku pendedahan kepada bahan kimia atau radiasi. Namun, penyelidik gagal untuk mencari persamaan sekaligus tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Cara cyclopia dikesan

Cyclopia yang menimpa mana-mana bayi biasanya dapat dikesan melalui ultrasound ketika ia masih lagi di dalam kandungan. Malah, cyclopia mula menunjukkan tanda-tanda seawal usia kandungan 3 hingga 4 minggu. Jika ultrasound dilakukan ketika usia kandungan sudah melebihi 4 minggu, tanda-tanda cyclopia lebih jelas kelihatan atau tanda-tanda lain holoprosencephaly. Selain kewujudan mata satu, tanda-tanda pembentukan otak dan organ dalaman yang abnormal juga boleh dilihat dengan jelas.

Sekiranya ultrasound berjaya mengenasan tanda-tanda cyclopia, namun tidak dapat memberikan gambaran yang jelas, doktor akan beralih menggunakan teknologi MRI. MRI menggunakan medan magnetik dan gelombang radio untuk memeta imej organ-organ, fetus, dan pelbagai lagi ciri-ciri dalaman. Kedua-dua teknologi ultrasound dan MRI tidak memberikan kesan berbahaya kepada bayi dan siibu.

Andai cyclopia tidak dapat dikesan ketika masih dalam kandungan, ia dapat dikesan sebaik sahaja bayi itu dilahirkan melalui pemeriksaan fizikal.

Kesan kepada bayi cyclopia

Bayi yang menghidap penyakit cyclopia seringkali tidak berjaya untuk hidup sejak daripada peringkat dalam kandungan lagi. Ia disebabkan otak bayi tersebut gagal untuk membentuk dengan sempurna. Otak bayi cyclopia sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan semua sistem yang badan perlukan untuk kekal hidup.

Jangkaan cyclopia

Cyclopia adalah satu penyakit yang sungguh menyedihkan, namun ia sangat-sangat jarang berlaku. Timbul kebimbangan dalam kalangan ahli perubatan bahawa para ibu yang pernah menghamilkan bayi cyclopia serta si bapa berkemungkinan membawa genetik yang sama dan boleh memberi risiko kepada kandungan seterusnya. Namun seperti yang dikatakan tadi, kes bayi cyclopia sangat-sangat jarang berlaku.

Ibu bapa yang mempunyai genetik ini disarankan untuk membuat ujian klinikal dan bertemu dengan pakar perubatan. Walaupun ia tidak menjanjikan jawapan yang tepat, tetapi sekurang-kurangnya komunikasi dengan ahli peubatan adalah sangat penting.

Di bawah adalah video pembentukan cyclopia pada haiwan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=oeQsZupdMhU]

 

Sumber : Healthline.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.