Siakap Keli

(Video) Ribuan Etnik Muslim Hui Keluar Protes Pertahan Masjid Besar Weizhou Daripada Diroboh

Beratus-beratus penduduk beragama Islam di wilayah Ningxia di China keluar beramai-ramai dan berkumpul di sekitar sebuah masjid yang baru dibina, Masjid Besar Weizhou yang ingin dirobohkan oleh kerajaan pusat berfahaman komunis itu.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, meraka perlu merobohkan masjid tersebut atas alasan rumah ibadat umat Islam itu dibina tanpa permit yang sah daripada kerajaan.

Bagaimanapun, penduduk-penduduk tempatan beragama Islam berikrar untuk tidak membenarkan mana-mana wakil kerajaan menyentuh kemudahan baru tersebut. Menurut rekod, China mempunyai penduduk Islam sekitar 23 juta dengan Ningxia menjadi wilayah tumpuan kumpulan minoriti itu.

Pergerakkan Hak Asasi Global sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan pusat seringkali mengamalkan pendekatan berbentuk penindasan terhadap pengamalan agama-agama yang dianggap berasal daripada luar China, terutamanya agama Islam.

Masjid Besar Weizhou, yang mempunyai beberapa kubah misalnya antara lain menjadi sasaran kerajaan kerana dikatakan dibina dengan unsur-unsur Timur Tengah.

Sebelum ini, untuk berdekad lamanya, etnik Muslim Hui mendirikan rumah ibadat mereka berdasarkan reka bentuk tempatan. Pemerhati berpendapat bahawa pembinaan Masjid Besar Weizhou dengan reka bentuk dunia Arab mungkin dilihat sebagai cubaan untuk ‘mengarabkan’ budaya orang-orang Cina.

Protes bermula

Menurut kenyataan rasmi, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan notis pada 3 Ogos yang menyatakan bahawa masjid tersebut akan dirobohkan atas alasan ia tidak mendapat kebenaran yang sah untuk dibina.

Notis tersebut lantas tersebar dengan meluas dalam kalangan etnik Muslim Hui melalui plarform median sosial. Ada dalam kalangan pemimpin etnik Muslim Hui ini kemudian membangkitkan persoalan mengapa kerajaan tidak mengarahkan pembinaan masjid ini dihentikan sebelum ini jika ia tidak mendapat kebenaran, bukannya mengarahkan perubahan masjid selepas ia sudah siap dibina, yang mengambil masa dua tahun untuk disudahkan.

Peserta protes mula berkumpul di sekitar Masjid Besar Weizhou sejak Khamis dan berlarutan sehingga Jumaat, menurut laporan media antarabangsa. Bebarapa keping gambar daripada lokasi kejadian juga turut dimuat naik dan dikongsi dalam media sosial.

Salah seorang peserta protes turut memaklumkan bahawa perbincangan yang dijalankan antara komuniti Hui dengan kerajaan sering berhadapan dengan jalan buntu.

”Kami kini dalam keadaan bersedia. Orang awam (Muslim Hui) tidak akan membenarkan masjid ini diroboh. Manakala penguatkuasa kerajaan pula tidak mahu berganjak dari lokasi mereka berada,” kata salah seorang peserta protes yang tidak mahu dikenali.

Bagaimanapun menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah pergerakkan Islam di China berkata, notis pengrobohan tersebut tidak bermaksud kerajaan mahu merobohkan keseluruhan struktur masjid, sebaliknya kerajaan mahu ia diubah suai agar sesuai dengan budaya-budaya tempatan, selain mahukan saiznya dikecilkan.

Laporan seterusnya juga menyebut bahawa kerajaan mengarahkan kesemua 8 kubah masjid tersebut diruntuhkan. Bagaimanapun, menurut laporan Associated Press, persetujuan tersebut tidak dicapai melalui rundingan dengan komuniti tempatan dan mereka tidak menerima keputusan yang dibuat itu.

Kebebasan beragama di China

Secara dasarnya, menurut perlembagaan China, mana-mana rakyatnya diberi kebebasan untuk memilih agama, bagaimanapun wujud sekatan terhadap pengamalan sesuatu agama secara terbuka.

Gereja yang merupakan rumah ibadah penganut Kristian misalnya, sudah sekian lama tidak dibenarkan meletak tanda salib di bahagian luar, dengan kerajaan memberi alasan ia melanggar peraturan-peraturan mendirikan sesuatu struktur.

Keadaann ini diburukkan lagi apabila parti politik dominan China, Parti Komunis Cina yang didakwa berfahaman atheis merasa bimbang dengan perkembangan agama-agama asing di bumi China sekaligus mendesak kerajaan menjalankan kempen untuk mencinakan agama asing (sinicise religion).

Antara sasaran kempen tersebut adalah gereja-gereja tidak rasmi orang Kristian di China yang diusahakan oleh mubaligh-mubaligh asing yang sering dikunjungi jutaan Cina Kristian tempatan.

Bagi penganut Islam pula, ketika etnik Muslim Hui sebelum ini dilihat berjaya berintegrasi dengan budaya Cina dan dibiarkan untuk mengamalkan agama Islam, nasib berbeza menimpa etnik Muslim Uighar di wilayah Xinjiang yang sudah sekian lama ditindas oleh kerajaan daripada masa ke masa.

Kumpulan Hak Asasi manusia berpendapat etnik Muslim Uighar dilayan secara kasar berbanding etnik Muslim Hui disebabkan amalan-amalan agama yang diamalkan secara terbuka antaranya pemakaian tudung ditempat awam dan keengganan etnik tersebut untuk menonton rancangan-rancangan awam yang disiarkan di stesen televisyen milik kerajaan.

Kumpulan hak asasi manusia juga mendakwa bahawa beribu-ribu orang etnik Muslim Uighar juka dikatakan dihantar ke pusat-pusat pemulihan dimana mereka dikatakan dipaksa untuk menukar etnik dan kepercayaan agama mereka.

Namun insiden terbaru kerajaan yang mahu merobohkan Masjid besar Weizhou ini dilihat sebagai petanda kerajaan kini cuba mengawal aktiviti agama kumpulan Muslim yang lain, bukan lagi terhad kepada etnik Muslim Uighar sahaja, kata Amnesty International.

Awal tahun ini, di wilayah Gangsu, pihak berkuasa tempatan mengenakan larangan dimana remaja Muslim berusia dibawah 16 tahun tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti keagamaan, sekaligus mencetuskan kemarahan dalam kalangan ulamak tempatan.

”Kini, ia menjadi semakin jelas bahawa penindasan kerajaan tidak lagi terhad kepada kumpulan minoriti Muslim Uighar sahaja,” kata Patrick Poon kepada BBC.

”Muslim Hui selama ini dilihat sebagai kumpulan sederhana dan tidak menimbulkan suasana tegang, namun insiden ini menunjukkan kerajaan mahu mengenakan kawalan sepenuhnya dan pendekatan lebih berat terhadap semua kumpulan etnik Muslim di seluruh China,” katanya lagi.

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.