Siakap Keli

“Mereka Kata Harta Ni Semua Abang Mereka Punya,” Suami Meninggal Dunia, Ibu Tunggal Terkilan Adik-Beradik Tuntut Harta

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Fitrah manusia, bila bercakap pasal duit, seperti gelap mata tak boleh berfikir dengan waras.  Tambahan pula, apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah pasti kita berdepan dengan masalah pembahagian harta pusaka terutama antara suami dan isteri.  Menurut Mazhab Shafie, urusan pembahagian harta pusaka, perlu mengikut sistem faraid kepada ahli waris.

Peringkat pertama, hendaklah diselesaikan hutang yang masih ada ke atas harta peninggalannya. Contohnya, jika arwah suami ada meninggalkan rumah, tanah atau kereta, manakala pinjaman bank terhadap harta-harta tersebut masih belum selesai, hutang ini harus diselesaikan terlebih dahulu.

Peringkat keduanya pula, harta pusaka tersebut akan diguna untuk perbelanjaan pengurusan jenazah dan pengkebumian arwah suami. Bagi peringkat ketiga, segala hutang piutang arwah hendaklah diselesaikan.

Harta sepencarian juga merupakan antara hutang piutang yang perlu dilunaskan kepada isteri arwah, sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut sistem faraid. Bahagian yang akan dapat bergantung kepada sumbangan kewangan atau tenaga usaha yang  telah berikan dalam memperoleh harta tersebut.

Perkongsian daripada pakar hartanah,  Tuan Azizul menceritakan situasi dimana seorang isteri yang terpaksa melalui perebutan harta suami yang telah meninggal dunia dengan keluarga suaminya sendiri.  Situasi ini menyukarkan si isteri untuk mencari tahu jalan penyelesaiannya.  Mari baca perkongsian daripada beliau, semoga memberi manfaat kepada semua orang.

BILA ISTERI DAN ANAK KENA KELUAR DARI RUMAH?

Isteri ini baru kehilangan suami tercinta. Dia dulu pernah bekerja, demi menjaga dua anak gadis tercinta dia lepaskan jawatan jururawat demi keluarga.

Dia pernah menyumbang RM25k untuk membeli rumah impian keluarga kerana suaminya tentera tidak mampu biaya.

Hari ini keluarganya menuntut secara faraid kediaman itu sedangkan dia telah tidak bekerja.

Cadangan saya.

1. Buat tuntutan harta sepencarian, dulu kediaman dibeli RM200k. Kini nilainya dah jadi RM400k.

2. Dia boleh menuntut 50% dari nilai semasa sebagai harta sepencarian. Sediakan bukti juga segala wang yang dia sumbangkan RM25k sebelum ini.

3. Isteri akan dapat 1/8 dari baki, ibu ayah akan dapat 1/6 dan anak anak gadis yang tersayang dapat 2/3 bahagian (2 anak gadis) .
Selebihnya akan pergi ke waris yang berhak menuntut.

4. Suami tercinta, sebelum bencana ini berlaku pada keluarga kita. Ambilah hibah takaful yang boleh gantikan pendapatan suami .

Bayaran ini agensi takaful akan bayar dalam tempoh 60 hari selepas kematian. Bayaran minimum serendah RM25 sebulan bergantung kemampuan kita.

5. Buatlah wasiat di Amanah Raya dengan kos bayaran RM350 untuk keluarga kita.

6. Atau jual bahagian sepencarian yang bernilai RM200k tersebut, dapat duit beli rumah kecil bernilai RM100k. Gunakan baki RM100k untuk mulakan hidup baru.

Jangan tinggalkan bencana kewangan buat anak isteri kita wahai suami kacak bergaya.

Santuni mereka bila kita tiada dengan baik. Sekadar pandangan saya

Sumber: Azizul Azli, Sisterinislam

Nur Farra