Siakap Keli

Pesawat 9 Penumpang Terhempas Di Pergunungan Papua

Sebuah pesawat kecil PAC750 XSTOL milik Dimonim Air, dilaporkan hilang dan dikhuatiri terhempas di kawasan pergunungan di Papua, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Papua, Suryadi Diaz, pesawat berkapastiti 10 penumpang itu dinaiki sembilan orang dipercayai berkemungkinan terhempas di kawasan Pergunungan Bintang, Provinsi Papua.

Pesawat yang dinaiki tujuh penumpang, dikendalikan seorang juruterbang dan pembantu juruterbang berlepas dari lapangan terbang Tanah Merah Kabupaten Boven Diguel menuju lapangan terbang Oksibil, Kabupaten Pergunungan Bintang pada jam 1.50 petang waktu tempatan.

“Pesawat Dimonim Air seharusnya sudah mendarat di Bandara Oksibil pada pukul 2.30 petang waktu Indonesia Timur,” katanya.

Pihak berkuasa kini menggerakkan operasi mencari pesawat berkenaan.

“Penduduk Kampung Okatem di Oksibil mendakwa mereka terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan pergunungan berdekatan kampung itu,” katanya.

Berdasarkan maklumat syarikat penerbangan Dimonim Air, Suryadi berkata pesawat itu dinaiki sembilan orang termasuk juruterbangnya, kapten Lassie dan pembantu juruterbang, Wayan Sugiarta.

Tujuh penumpang yang berada dalam pesawat tersebut dikenal pasti sebagai Sudir Zakana, Martina Uropmabin, Hendrikus Kamiw, Lidia Kamiw, Jamaludin, Naimus dan Jumai. -BERNAMA

Nur Farra