Siakap Keli

Gaji Minimum Akan Dilaksanakan Beransur-Ansur – Tun M

Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan dibuat secara beransur-ansur bagi membolehkan pemulihan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sekiranya Malaysia mula membelanjakan wang yang ia tidak ada, ia tidak elok bagi negara untuk tempoh jangka panjang.

“Jika kita mendesak gaji minimum yang lebih tinggi, kos pengeluaran akan meningkat dan kita tidak akan menjadi kompetitif. Kos hidup juga akan meningkat, justeru, rakyat tidak boleh membeli apa yang mereka telah biasa beli,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Parlimen, di sini, hari ini.

Dr Mahathir sebaliknya mencadangkan gaji minimum yang berhubung kait dengan produktiviti.

“Produktiviti perlu bertambah baik dengan gaji yang lebih tinggi. Jika ia tidak bertambah baik, kos hidup akan meningkat dan gaji yang lebih tinggi tidak akan memberikan anda kuasa beli tambahan,” katanya.

Pada 10 Ogos, Perdana Menteri berkata kenaikan gaji minimum di Malaysia akan dilaksanakan secara beransur-asnur dan tidak akan ada semakan semula gaji bagi penjawat awam sekarang kerana kerajaan perlu memberikan keutamaan untuk membayar hutang negara.

Gaji minimum yang distandardkan di seluruh negara pada RM1,500 itu adalah sebahagian daripada manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Ketika ini, gaji minimum di Semenanjung Malaysia ialah pada RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir berkata keutamaan untuk menaikkan gaji minimum akan diberikan kepada penduduk di Sabah dan Sarawak. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)