Siakap Keli

“Peranan Suami Sangat Penting Ketika Isteri Gagal Kawal Emosi”, Wanita Ini Kongsi Pengalaman Lalui Fasa Stress Semasa Mengandung

Kemurungan adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan berlakunya tekanan perasaan yang serius kepada lelaki mahupun perempuan. Penyakit ini boleh terjadi kepada individu tanpa mengira lapisan umur.

Jikalau berbicara soal kemurungan, penyakit yang melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kekecewaan, putus asa dan hilang semangat secara berterusan ini acap kali dikaitkan dengan golongan wanita kerana kes-kes kemurungan yang berlaku terhadap wanita adalah lebih serius berikutan golongan ini lebih gemar bermain dengan emosi dan mudah berada di bawah tekanan.

Seringkali kita dengar dikaca televisyen dan dicorong radio berita mengenai kes kemurungan yang dialami oleh wanita yang membawa kepada kemudaratan.

Bagaimanapun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan. Hanya yang pernah melaluinya saja tahu betapa sengsaranya penyakit kemurungan ini sekiranya berlaku.

Oleh itu, entri kali ini akan berkongsi tentang pengalaman Puan Nurull Halawati yang pernah melalui fasa stress yang boleh membawa kemurungan.

Selamat membaca dan semoga bermanfaat.

WANITA , KEMURUNGAN & STRESS

Membaca kes-kes ngeri melibatkan isteri meroyan dan kemurungan, mengingatkan saya pada kes diri sendiri.

Iya, saya sendiri pernah mengalami fasa stress hingga hampir kemurungan yang agak teruk waktu mengandungkan Hafii. Ditambah pula masa tu kami baru tahu emak ada kanser payudara, dalam masa sama kami sekeluarga sibuk dengan persiapan kawin adik perempuan. Semua itu bergabung membentuk satu tekanan EMOSI yang sangat hebat. Masa tu ada juga watsap kawan yang kerja doktor untuk bantu carikan tempat untuk terapi. Pembawaan budak barangkali, hari-hari menangis dan merasa semua keadaan mengecewakan.

Kesedihan dan keserabutan hidup juga berkait dengan masalah kebersihan. Bukan mengada-ngada, tapi sejak kecik lagi saya memang penggeli, dan sangat berkira bab kebersihan ni. Sampai balik kampung pun saya bertinggung je tak nak duduk atas papan kayu yang ada lubang-lubang nampak tanah tu (rumah kampung lama).

Sampai sekarang, pergi mana-mana pun wajib saya bawa kain bersih@ cadar untuk lapik tempat baring saya dan keluarga. Sebab saya bayangkan tilam tu terbiar lama dan penuh habuk. Tak boleh lena bila fikir tidur atas beribu-ribu habuk dan hama..hahaha. Saya rasa itu penyakit saya (geli habuk). Pergi hotel pun saya akan lapik juga tempat tidur saya. Kalau ada kain batik pun jadilah, asalkan berlapik.

Setengah orang boleh tidur di mana saja, bawah meja, celah timbunan baju dll. Tapi saya, zaman sebelum kawin dulu sebelum tidur bilik kena rapi, senyap dan tenang. Sebelum tidur sembur minyak wangi dulu, baca doa dan tidur. Renyah kan..tapi gitulah kekdahnya.huhu..

Jadinya, keadaan di rumah wajiblah indah dan menenangkan. Dari dulu hobi saya hias rumah, susun bunga, deko macam-macam. Masa dekat asrama bilik hostel saya paling bersih dan cantik, dapat hamper lagi.

Masa dapat Anis, rumah mantain bersih dan kemas lagi. Masuk anak kedua, dah bersepah sikit dan jenuh jugalah mengemas. Masa mengandungkan Hafii, maya dah 3 tahun dan dia paling suka sepahkan rumah. Jenis tumpah air merata-rata, makanan pun bersepah satu rumah. Carpet pun pakai jenis yang boleh basuh selalu. Disitulah bermula stress saya, merasa diri macam bibik yang terlebih waktu kerja.

Saya akan kemas rumah hari-hari, malam mengemop, vacuum. Hari-hari, berulang-ulang sampai naik penat. Tambahan pula saya menulis, jadi selagi rumah bersepah selagi itulah otak ‘jammed’, blur je rasa.

Sampai ada sekali tu, saya tak mampu lagi kawal emosi, bungkus baju dan angkut dua beradik ni pergi hotel. Dengan mengandung, beg lagi, budak kecik 2 orang ni lagi…nangis2 macam dalam drama tv tu(sendiri tulis skrip sendiri berlakon..haha).

Masa tu rasa nak lari jauh-jauh, ke hujung dunia gitu. Memang rasa PERLU SANGAT untuk keluar dari rumah yang macam Titanic karam tu. Saya pun ambil grab, turun depan Hotel Sunway. 20 minit dari rumah.(jauh sangat dah tu).

Suami balik kerja petang tu dia relax-relax je dekat rumah, ingat saya pergi rumah mak. Orang punyalah merajuk, tunggu panggilan dia memujuk, dia tak sedar pun tragedi itu (surat cinta atas meja pun dia tak baca..eee..geram rasa) . Masa ni memang rasa lawak sebab tak macam dalam drama bila laki kuar dalam hujan cari bini dia..kui..kui.

Lepas dah sedar saya takde di rumah mak baru dia kaget dan watsap saya tanya dimana. Baru dia kelam-kabut datang ke hotel saya dan anak-anak. Duduk situ 2 hari rasa tenang dan hilang keserabutan.

Sejak kes drama tak jadi tu, saya dan suami berdiskusi panjang. Suami pun menasihati+memujuk+kaunseling bagai. Keadaan berubah, anak2 akan selalu buat sepah, saya kena belajar menerima keadaan tu. Tak larat tak perlu kemas.(panjang la tarbiah dia sambil usap-usap kepala saya macam anak kecil). Isteri pun nak dimanja tau.

Akhirnya perlahan-lahan saya cuba berubah. Kalau dulu hari2 mop, vacuum, sekarang seminggu sekali. Kalau dulu pantang bersepah saya macam lipas terbang kemas rumah, sekarang lebih santai dan pejamkan mata je.huhuhu.. Dulu selalu cuci mata tengok FB Deko Rumahku Syurgaku, sekarang memang tak tengok dah, bimbang penyakit lama datang balik.haha

Bersabar jelah sambil tunggu anak-anak membesar. Dah lama tak beli pasu bunga cantik2. Ku tahan saja keinginan itu. Siap berazam lagi, nanti bebudak ni dah besar saya nak upah ID datang umah, buat konsep macam hotel gitu.

Kesimpulan dari drama diatas, peranan suami sangatlah penting ketika isteri gagal mengawal emosi, ketika isteri merungut tentang keletihannya, ketika isteri bersikap kalah anak-anak kecil. Kerana mereka bukan robot atau bidadari syurga yang takde nafsu untuk marah atau kecewa. Layani mereka, dengari mereka dan tenangkan mereka dengan kata-kata yang indah. Mereka penat memanjakan anak-anak, sesekali mereka juga mahu dimanjakan sang suami.

Masalah saya selesai, stress saya berjaya diatasi apabila suami menjadi pendengar dan penasihat yang baik. Suami perlu jadi tenang saat berdepan dengan isteri yang sedang menghamburkan lahar kepenatannya.

Buat isteri dan ibu diluar sana, jangan sesekali memendam semua keperitan rasa, luahkan dan dengarkan pada seseorang(seharusnya suami), supaya keadaan tidak bertambah teruk di masa depan. Ibu bahagia keluarga harmoni.

Sumber- Puan Nurull Halawati

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar