Siakap Keli

(Video) Sup Daging Termahal Di Dunia, Katanya Guna 12 Bahan ‘Supermewah’ Dari Langit, Tanah Dan Air

Apakah harga sup daging mahal paling mahal pernah anda nikmati? RM 10, 100 atau 1,000? Jika kami katakan bahawa sup termahal di dunia ketika ini adalah berharga RM8,235 (13,800 Yuan), sanggupkah anda membelanjakan wang untuk mendapatkan semangkuk biasa sup daging tersebut? Tak masuk akal, semangkuk sup daging yang mungkin hanya mengandungi beberapa potong isi daging itu ironinya, lebih mahal daripada seekor lembu biasa.

Tetapi, itulah kegilaan baru yang ada di China ketika ini, malah ia pantas menjadi bualan netizen di sana. Apatah lagi, sehingga kini sup daging paling mahal dunia sebelum dipintas sup di atas, hanya bernilai sekitar RM 1,346 sahaja yang disediakan oleh Restoran Niu Ba Ba di Taiwan.

Sup daging termahal di dunia atau sup daging lembu Haozhonghao yang dijual di Restoran Niu Gengtian di Shijiazhuang ini dikatakan dihasilkan menggunakan 12 bahan supermahal yang mana masing-masing 4 bahan diperoleh daripada langit, tanah dan air, dedah pemilik restoran tersebut, Yan. Dia bagaimanapun enggan berkongsi lebih lanjut maklumat terperinci bahan-bahan yang digunakannya itu.

Yan turut mendakwa bahawa untuk menghasilkan semangkuk sup tersebut, mereka memerlukan kepakaran seramai 12 orang tukang masak selain pelanggan yang berhajat untuk menikmati sup Haozhonghao perlu membuat tempahan sekurang-kurangnya sebulan sebulan lebih awal.

Menurut Yan, tempahan sebulan lebih awal itu bagi membolehkan pihaknya mengumpul 12 ramuan masakan tersebut yang dikatakan amat sukar untuk diperolehi. Maka tak hairanlah, sejak sup Haozhonghao dimasukkan ke dalam menu enam bulan lalu, hanya empat mangkuk sahaja berjaya dijual setakat ini.

Walaupun terdapat dakwaan bahawa dia menipu pelanggannya, Yan menjelaskan bahawa dia tidak membuat keuntungan hasil jualan menu terbarunya itu memandangkan ia sukar dijual selain perlu membayar kos 12 orang chef dan ramuan yang mahal.

Pada awalnya, ketika pelanggan-pelanggan yan melihat menu tersebut dan iklan yang digantung di luar restorannya, mereka beranggapan bahawa ia satu gurauan. Bagaimanapun hasil tinjauan dibuat oleh media tempatan, kewujudan menu baru itu memang sahih.

Harga sup daging lembu yang tidak masuk akal itu juga menjadi bahan jenaka netizen di China. Malah ada yang mengambil langkah lebih berani apabila mengadukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun pihak berkuasa mendapati bahawa Yan tidak melakukan sebarang kesalahan memandangkan Yan tidak menyembunyikan harga sup tersebut daripada pelanggannya.

Jadi, jika anda superkaya dan tidak kisah untuk berbelanja ribuan ringgit untuk semangkuk sup supermahal, anda bolehlah berkunjung ke restoran milik Yan.

Di bawah adalah video mengenai sup kedua termahal dunia yang dijual oleh Restoran Niu Ba Ba yang sebelum ini diiktiraf sebagai sup termahal di dunia.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=FzapTAjtD2E]

 

Sumber : Oddity Central

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.