Siakap Keli

“Jangan Jadi Doktor Google, Bukan Semua Sakit Perlukan Antibiotik,”Doktor Beri Penerangan Bila Waktu Sesuai Ambil Ubat Antibiotik

Menurut laporan Statistik Ubat-Ubatan Malaysia 2008 yang dikeluarkan oleh  Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Pusat Kajian Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia, antibiotik merupakan salah satu jenis ubat yang paling kerap digunakan di negara ini.

Antibiotik telah menjadi subjek yang sangat penting di dalam bidang perubatan sejak ianya dijumpai sehingga hari ini dan telah digunakan secara meluas ke serata dunia. Sesuai dengan kesannya yang terbahagi kepada dua iaiu membunuh bakteria (bactericidal) atau  merencatkan aktiviti bakteria (bacteriostatic), ubat ini hanya berperanan untuk melumpuhkan bakteria dari terus merebak dan bukannya membunuh virus.

Sebenarnya tidak semua penyakit boleh diubati dengan pengambilan antibiotik semata-mata berikutan ianya hanya berguna untuk membunuh bakteria selian boleh mendatangkan pelbagai kesan sekiranya diambil secara berlebihan.

Oleh itu, entri kali ini akan berkongsi penulisan dari Dr Ezairy M.Sallih tentang pengambilan ubat antibiotik yang bersesuaian dengan keadaan pesakit.

Semoga penerangan dari beliau ini mampu memberi pencerahan dan menyelesaikan kekeliruan sesetengah pihak tentang penggunaan sebetulnya ubat ini.

Selamat membaca!

 

“Jangan jadi doktor google”

Tidak semua demam dan masalah kesihatan perlukan ubat antibiotik!

“Anak saya demam, batuk… saya nak ubat antibiotik…” rintih seorang ibu.

Ramai ibu bapa yang begitu risau jika anak mereka mengalami demam panas. Ada yang cepat saja nak ambil ubat antibiotik. Rasa kalau tak makan ubat, penyakit anak tidak akan sembuh. Kalau doktor tak beri, siap pesan kepada doktor supaya beri antibiotik. Betul?

Tuan-tuan dan puan-puan… Hakikatnya ubat-ubatan yang diberi kepada pesakit khususnya kepada kanak-kanak perlu ada rasionalnya. Kena ada sebab. Ia perlu ada indikasi.

Doktor tidak akan dengan mudah memberi ubat kepada pesakit tanpa justifikasi klinikal yang sepatutnya.

Anak-anak kita mengalami demam pasti ada sebab. Peningkatan suhu yang tinggi juga berlaku hasil daripada tindak balas di dalam sistem tubuh kita. Demam boleh berlaku oleh banyak sebab! Tidak semestinya setiap jangkitan yang berlaku perlukan antibiotik.

Beberapa keadaan yang lazimnya tidak perlukan ubat antibiotik:

1. Hanya mengalami sakit tekak sahaja

2. Rasa tidak sedap badan, lenguh-lenguh sendi sahaja.

3. Ujian darah menunjukkan tiada bacaan signifikan menunjukkan adanya jangkitan bakteria.

4. Jangkitan virus tidak perlukan antibiotik.

Oleh sebab itulah, ubat antibiotik tidak boleh dibeli melalui kaunter di klinik dan hospital. Ia perlu kepada pemeriksaan doktor. Bawa dulu anak-anak ke hospital atau klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

Beberapa tanda anak anda mungkin perlu kepada antibiotik

1. Demam melebihi tiga hari beserta sakit tekak, batuk dan selsema. Ini disokong selepas hasil pemeriksaan klinikal kepada pesakit.

2. Sakit telinga beserta demam panas dan cairan kuning daripada telinga. Perlu kepada pemeriksaan klinikal.

3. Masalah sinusitis atau resdung dialami dengan simptom berat kepala, sakit pada kawasan sinus, demam dan lendir serta hingus kuning atau kehijauan.

4. Banyak lagi simptom-simptom lain yang perlukan ujian klinikal, ujian darah dan sampel kahak untuk mengesahkan jangkitan kuman.

Jumpalah doktor. Anda akan dibantu. Diagnosis tepat akan diberi.

Jumpalah doktor jika anda ada sebarang masalah kesihatan. Jangan jadi doktor ‘google’.

Sumber- Dr Ezairy M.Sallih

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar