Siakap Keli

KFC Bukan Setakat ‘Ayam’ Lagi, Kini Keluarkan Koleksi Pakaian Termasuk Baju Renang

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan jenama makanan segera ini. Popular sejak dahulu lagi, sebut sahaja KFC (Kentucky Fried Chicken) pasti semua orang terbayangkan keenakkan ayam gorengnya yang rangup.

Kini, syarikat rangkaian makanan segera itu melangkah lebih jauh lagi dalam menunjukkan rasa cinta mereka kepada ayam goreng Kolonel dengan bakal tampil dengan koleksi pakaian sendiri mereka tidak lama lagi.

Sudah tentu KFC akan mengekalkan identiti mereka dengan mengikut tema makanan segera yang selama ini sudah sinomin dengan mereka. Jadi, pakaian bagaimanakah yang akan dikeluarkan?

Antara koleksi yang bakal dilancarkan ialah seluar sukan dengan cetakan corak nugget ayam dan kentang goreng serta pelbagai aksesori fesyen bertemakan makanan.

Selain itu, turut ditawarkan ialah rantai emas yang bertulis slogan rasmi mereka “finger lickin good” (sedap hingga menjilat jari).

Terdapat juga stokin kaki yang ditulis ”nug life” dan t-shirt putih bertulis ”100% original recipe” dan pastinya tulisan berwarna merah mewakili jenama itu.

Bukan itu sahaja, mereka turut menjual papan luncur ombak dengan logo KFC serta pakaian renang berwarna merah putih, simbolik warna rasmi rangkaian makanan segera itu.

Bagi mereka yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendapatkan koleksi pakaian itu, ia malangnya hanya akan dikeluarkan di Australia sahaja.

Hasil jualan itu akan disalurkan ke kempen Yayasan Belia KFC yang bertujuan membantu golongan muda yang tidak bernasib baik untuk mempelajari kemahiran yang diperlukan.

Sumber : Mirror.UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.