Siakap Keli

Insiden Bas Langgar Kereta, Rapid KL Mohon Maaf, Mana-Mana Pihak Boleh Hubungi Jika Mahu Buat Tuntutan

Semalam, media sosial dikejutkan dengan penularan sebuah rakaman video yang menyaksikan tindakan seorang pemandu bas Rapid KL yang memandu secara berbahaya dan merempuh sehingga 20 kenderaan, seperti didakwa di awalnya, dalam kejadian berlaku di Selangor.

Namun beberapa portal berita tempatan hari ini melaporkan bahawa pemandu bas tersebut hanya merempuh sebanyak 7 buah kenderaan.

Terdahulu, video tersebut yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Azri Arip mendakwa pada awalnya bas tersebut dipercayai terlibat dalam satu kemalangan berhampiran gerai burger miliknya berdekatan AU Keramat.

Dakwanya, bas tersebut mulanya telah merempuh sebuah kereta sehingga kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar gerai miliknya. Akibat daripada rempuhan kereta itu dakwanya, ibunya serta seorang bayi berusia dua bulan berada di lokasi kejadian telah terpelanting, bagaimanapun tidak dinyatakan keadaan kedua-dua mangsa.

Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah Vios, Innova, Myvi, Saga dan Alza.

Menurut laporan portal berita tempatan itu lagi, pemandu bas tersebut yang berasal daripada sebuah negeri di Pantai Timur kini sedang dirawat di salah sebuah hospital selepas cedera dipercayai menjadi mangsa belasahan orang awam yang berang dengan tindakan berbahanya.

Rapid KL dalam satu sidang media khas yang dilaporkan oleh media tempatan semalam dilaporkan memohon maaf daripada orang ramai berhubung kejadian berkenaan dan syarikat tersebut sedang menjalankan siasatan.

Sidang media khas itu yang diuruskan oleh Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof turut berkata mana-mana pihak yang ingin membuat tuntutan, boleh menghubungi talian RapidKL di 03-7885 2585, seperti dilaporkan media tempatan tersebut.

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.