Siakap Keli

Tersebar Video Rakaman Didakwa Suara Pemandu Bas, Katanya Dia Dipukul Punca Kejadian Rempuhan Berlaku

Semalam pengguna jalan raya di sekitar kawasan Ampang di ibu negara dikejutkan dengan satu insiden yang mendebarkan apabila sebuah bas dipandu laju hingga merempuh beberapa buah kenderaan lain.

Video rakaman kejadian itu menjadi viral di media sosial apabila orang awam menjerit sambil menunggang motosikal dalam usaha mengejar bas tersebut supaya memberhentikan kenderaannya.

Susulan kejadian tersebut, timbul pelbagai spekulasi antaranya dengan menyalahkan pemandu bas tersebut yang memandu dengan cuai sehingga merisikokan nyawa orang ramai.

Dalam satu rakaman suara yang tersebar di laman facebook, pemandu bas yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang tampil menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku.

Menurutnya, insiden bermula apabila bas berhenti di sebuah lampu isyarat. Ketika lampu isyarat bertukar hijau, dia membunyikan hon kepada sebuah kereta di hadapan yang masih tidak bergerak.

Kemudiannya pemandu kereta yang tidak berpuas hati, memberi simbol jari tengah kepadanya dan bertindak memberhentikan kereta bagi menahan bas tersebut di satu perhentian bas.

Dia yang tidak menghiraukan pemandu kereta tersebut meneruskan pemanduan seperti biasa kerana tiada penumpang yang hendak diturunkan di situ.

Namun tidak semena-mena pemandu kereta terus bertindak memblok bas yang dipandunya secara mengejut. Dia yang tidak dapat mengawal bas yang dipandu kemudiannya terus melanggar kereta tersebut.

Akibat dari pelanggaran itu, dia terpaksa menurunkan semua penumpang kira-kira 5 orang yang berada di dalam bas.

Jelasnya lagi, dalam keadaan yang cemas itu tiba-tiba sahaja ada seorang lelaki yang menaiki bas melalui pintu belakang yang tidak ditutup.

Lelaki terbabit terus memukulnya dan pada masa yang sama menarik perhatian orang ramai untuk mengejar bas tersebut. Dalam usaha menyelamatkan diri, dia tidak dapat mengawal pemanduan dan melanggar semua kenderaan yang berada di depan.

Dia yang dikatakan ditumbuk berkali-kali pada bahagian muka tidak dapat menahan sakit lantas bertindak terjun dari bas ketika bas berhenti dalam kesesakan lalu lintas.

Malangnya, dia dipukul oleh orang ramai yang berang melihat kejadian tersebut.

Tiada kecederaan orang awam dilaporkan dan polis sedang giat menjalankan siasatan bgai mengenalpasti punca kejadian.

Sumber : Bunga Querida

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.