Siakap Keli

”Rakyat Tak Kisah Janji 100 Hari, Atau Janji Lain Dalam Manifesto” – Respon KJ Mengenai Manifesto Kerajaan

Sejak beberapa hari lalu, portal media tempatan dan netizen di media sosial rancak berbicara mengenai 10 Janji 100 Hari yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan setelah berjaya membentuk kerajaan pemerintah di peringkat Persekutuan yang baru.

Rata-rata masyarakat berbicara mengenai sama ada janji tersebut dapat ditunaikan atau sebaliknya serta menilai sama tahap kejayaan semua janji tersebut dilaksana.

Tidak terhad kepada kepada media arus perdana, alternatif dan netizen, Janji 100 Hari ini turut menjadi ‘peluru’ buat blok pembangkang (BN, PAS, Bebas) untuk ‘menembak’ kepimpinan kerajaan semasa.

Antara ahli politik yang dilihat versatil, ada ‘isi’ dan vokal dalam menjadi penyemak kepada dasar-dasar kerajaan dan janji-janji mereka kepada rakyat adalah Ahli Parlimen Rembau, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun kali ini, berbanding berkongsi pendapatnya mengenai janji 100 hari kerajaan, YB Khairy merasakan pembangkang, khusunya UMNO-BN perlu memberi lebih perhatian kepada survival dan hala tuju parti sendiri daripada terus memperkatakan Janji 100 Hari kerajaan.

”Media tanya saya berkenaan 100 hari kerajaan PH. Saya kata, rakyat tak kisah tentang janji 100 hari atau janji lain dalam manifesto. Tak laksana pun rakyat tak kisah. Mereka hanya mahu buang UMNO-BN pada PRU14. Justeru, parti saya kena fikir strategi baharu,” katanya.

Katanya lagi, tidak cukup untuk UMNO-BN semata-mata bercakap mengenai Janji 100 Hari kerajaan kerana pengundi hari ini tidak terlalu memikirkan mengenai manifesto tersebut.

”Mereka kata “lebih baik dari kamu dulu.” Dan “tak dapat tunai sebab hutang yang di tinggalkan BN.” Jadi, kita kena cari naratif baharu dan hujah baharu,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, kerajaan sendiri melalui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui manifesto tersebut dihasilkan ketika mereka (PH) tidak sangka boleh menang.

”Sebab itu janji dibuat tanpa memikirkan implikasi kewangan dan lain-lain. Dan rakyat terima. Sebab rakyat hanya nak buang UMNO-BN. Bukan setuju dengan manifesto PH,” tambah YB Khairy.

Sehubungan itu katanya, UMNO-BN memerlukan hala tuju baru, dan perlu terus bergerak ke hadapan daripada terus menjual naratif Janji 100 Hari.

YB Khairy turut berkongsi perbincangannya dengan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta beberapa orang lagi Ahli Parlimen BN mengenai pembentangan Bajet Alternatif.

”Boleh dibentang semasa sesi Parlimen akan datang sekali dengan Belanjawan oleh kerajaan PH. Dulu PH pun buat perkara sama.

”Sekurang-kurangnya, rakyat boleh nilai polisi dan cadangan dari kedua-dua belah pihak. Perbahasan juga lebih bermatlamat sebab ada rujukan kepada dua pilihan berbeza dalam menguruskan ekonomi negara”.

Sumber : Twitter Khairy Jamaluddin

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.