Siakap Keli

(Video)Bencana Lombok : Gempa Susulan, Berkekuatan 6.9 Magnitud Gegarkan Pulau Di Indonesia Itu Sebentar Tadi

Seperti yang diketahui, Pulau Lombok di Indonesia ketika ini sedang berduka akibat di landa bencana gempa bumi sejak kebelakangan ini.

Awal pagi tadi kami ada membawakan kepada anda berita duka mengenai dua gegaran gempa bumi dengan gempa pertama berkekuatan 3.4 magnitud manakala gempa kedua berkekuatan 6.5 magnitud, masing-masing pada pukul 6.47 dan 11.10 pagi.

Namun, nampaknya Lombok ketika ini masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga apabila gempa susulan berkekuatan lebih besar iaitu pada 6.9 magnitud dikhabarkan baru sahaja menggegarkan salah satu pulau negara jiran itu.

Menurut laporan portal berita antarabangsa berpangkalan di United Kingdom, Express UK, yang melaporkan bahawa Jabatan Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat pada awalnya meletakkan gegaran tersebut pada 7.2 magnitud sebelum diturunkan kepada kekuatan 6.9 magnitud.

Gempa yang berpusat pada kedalaman kira-kira 1 kilometer itu dilaporkan dikesan berpusat pada 4 kilometer timur Pulau Lombok. Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik buat sementara ini.

Manakala dalam satu kemas kini Twitter yang dibuat oleh jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho meletakkan kekuatan gempa bumi tersebut pada 7.0 magnitud.

”Gegaran kuat dirasai di Timur Lombok. Gegaran turut dirasai di kawasan Bali, Sumbawa, Jawa Timur dan Makasar,’‘ katanya.

Sehingga kini, gempa Lombok yang bermula kira-kira sebulan lalu telah pun meragut 460 nyawa, salah seorang daripadanya merupakan rakyat Malaysia.

BACA : (Video) Tanah Runtuh, Debu Bertebaran Di Udara, Lombok Di Landa Gempa Kuat Lagi Sebentar Tadi

Sumber : Express UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.