Siakap Keli

Masyarakat Celaru Kerana Usaha Dakwah Tidak Diambil Berat

Masyarakat hari ini semakin bercelaru kerana tidak mengambil berat ajaran Islam dan usaha dakwah, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata kebelakangan ini, terdapat banyak suara cuba untuk menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Terdapat juga tuntutan-tuntutan yang songsang dan melawan norma kemanusiaan.

“Sewajarnya kita sebagai umat Islam berusaha untuk memartabatkan Islam bermula dengan diri kita, keluarga dan masyarakat seterusnya negara yang kita cintai ini,” katanya dalam perutusan sempena Aidiladha hari ini.

Beliau turut mengambil contoh pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang menjunjung dengan penuh ketaatan dan pengorbanan terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S

“Segala usaha dakwah dan pelaksanaan undang-undang syariah hendaklah disokong dan didokong sepenuhnya.

“Alhamdulillah, Kelantan sebagai sebuah negeri yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa komited untuk memastikan Islam dapat didaulatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mendoakan jemaah haji di tanah suci dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan beroleh haji yang mabrur.

“Bagi yang melaksanakan ibadah korban, sama-samalah kita mengikhlaskan diri dalam melaksanakan ibadah yang mulia ini. Semoga segala pengorbanan dan ibadah kita diterima di sisi Allah SWT,” katanya. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)